PENAT lelah komposer, Ezra Kong menghasilkan karya terbaik terbalas apabila dipilih sebagai penerima trofi Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi, Anugerah Badan Pelindung Hak Cipta Malaysia (MACP) 2022, Sabtu lalu.
Komposer kelahiran Pelabuhan Klang, Selangor itu mengetepikan pesaing terdekatnya, Datuk M. Nasir dan gitaris kumpulan Floor 88, Zai Hamzah.
Ezra berkata, pengiktirafan itu bagaikan bulan jatuh ke riba, terutama selepas lapan tahun berusaha mencipta nama.
“Saya tidak anggap saya merampas anugerah ini daripada M. Nasir. Sebaliknya, ia seperti dihadiahkan M. Nasir.
“Saya amat mengagumi karyanya, malah selalu mengkaji lagu dan lirik yang beliau hasilkan seperti Impian Seorang Nelayan. Saya banyak belajar daripada M. Nasir.
“Sebenarnya, kemenangan ini adalah kejayaan bersama mereka yang banyak membantu saya untuk berada pada tahap ini,” katanya.
Meniti kedudukan selesa, Ezra bagaimanapun, tidak lupa untuk terus membumi. Baginya, di sebalik kejayaan itu, banyak pihak lain yang turut berkorban.
“Di sebalik kejayaan saya, ada kejayaan orang lain. Saya bekerja dengan ramai orang yang banyak membantu, jadi saya bukan penerima tunggal trofi ini.
“Mentor dan syarikat rakaman banyak mencurahkan ilmu. Begitu juga pendengar yang menyokong lagu ciptaan saya di semua platform. Saya tidak anggap diri ini istimewa, cuma saya sangat bertuah,” kata komposer lagu Hajat dan Gila itu.
Ezra juga tidak menyangka perjalanan muziknya akan berpanjangan sehingga ke tahap ini. Katanya, apa yang dicapainya ini umpama mimpi di siang hari.
“Saya tidak sangka kerjaya muzik saya akan berjalan sejauh ini. Dahulu, saya sering dimomokkan dengan persepsi negatif tentang pekerjaan sebagai komposer dan penggubah lagu.
“Ramai menganggap pekerjaan ini tidak menjanjikan masa depan yang cerah, tidak cukup makan dan sebagainya. Sukar untuk saya percaya apa dengan apa yang dicapai ini. Ketika bermula dahulu, saya hanya mahu mencari pendapatan untuk menyara kehidupan,” tambahnya.
Ezra juga memaklumkan, semua kemanisan yang dikecapinya itu tidak datang bergolek. Sebaliknya, ia hanya diraih pada penghujung jalan yang berliku dan sukar.
“Banyak pahit manis yang saya lalui sebelum sampai ke tahap ini. Rasa putus asa, penat dan tertekan tidak pernah berakhir. Ada kalanya, saya terperangkap dengan masalah ketandusan idea, lebih-lebih lagi selepas Covid-19 melanda.
“Walaupun penat, saya gembira. Disebabkan itu, saya tidak pernah berhenti melakukan apa yang saya buat sekarang,” ujarnya.
Sementara itu, Ezra turut menasihatkan komposer muda agar terus mencuba dan melakukan apa yang mereka suka dengan sepenuh hati.
“Jangan putus asa mencuba dan terus berusaha untuk menjadi penulis yang baik. Saya bukan penulis lagu yang bagus, tetapi saya tidak pernah jemu menghantar demo dan ‘menjual’ lagu saya. Saya tidak berhenti melakukannya.
“Jangan tergesa-gesa dengan apa yang kita lakukan dan berusaha kuasai teknologi. Perisian muzik dan platform untuk menambah ilmu semakin banyak. Saya juga berdepan kesukaran untuk mengikuti trend, tetapi saya cuba untuk tidak ketinggalan,” jelasnya.
Usaha tidak mengkhianati hasil – Naim Daniel
Anugerah MACP 2022 turut menyaksikan penyanyi berbakat besar, Naim Daniel membawa pulang trofi Komposer Muda Berpotensi.
Naim memaklumkan, dia tidak terfikir menerima pengiktirafan itu memandangkan ramai komposer generasi baharu yang hebat dan berpotensi untuk memenangi anugerah itu.
“Saya sebenarnya datang semata-mata untuk memenuhi undangan. Jadi, memang saya tidak sangka apabila diumumkan sebagai penerima anugerah tersebut.
“Pada saya, ini adalah pengiktirafan yang bagus. Ramai komposer muda yang berpotensi menghasilkan material memberangsangkan, terutama selepas pandemik. Mungkin rezeki saya untuk menerima anugerah ini,” katanya.
Kata Naim, pengiktirafan yang diberikan MACP itu menyuntik semangatnya untuk terus berkarya dan berbakti dalam industri muzik.
“Saya mula melangkah dalam industri seni sejak usia lapan tahun. Bekerja dalam bidang sama untuk tempoh yang terlalu lama ada kala membuatkan kita penat, hilang inspirasi dan motivasi serta berdepan tekanan.
“Pengiktirafan ini sebenarnya mengingatkan saya, usaha tidak pernah mengkhianati hasil. Saya ambil sebagai suntikan motivasi untuk terus menulis dan menghasilkan lagu yang dapat menyentuh jiwa pendengar serta membentuk minda masyarakat,” tambahnya.







