Karisma, kematangan dua dekad Marcell - Utusan Malaysia

Karisma, kematangan dua dekad Marcell

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALI terakhir penyanyi ini ke Kuala Lumpur adalah sekitar 2017 untuk menjayakan konsert Once In A Lifetime di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Selepas lima tahun, Marcell Siahaan kembali mengubat kerinduan peminat menerusi konsert Marcell Dua Dekade Live In Kuala Lumpur yang diadakan di Zepp Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Anak kelahiran Bandung, Indonesia ini memukau menerusi 20 lagu yang disampaikan, sekali gus menghadirkan senyuman kepada 1,600 peminat setianya apabila hampir semua sentuhan hits dinyanyikannya.

Konsert yang bermula pukul 9 malam dibahagikan kepada tiga segmen, tujuh lagu mengisi segmen pertama, disusuli enam lagu pada segmen kedua, manakala tujuh lagi lagu ketika segmen terakhir.

Pada usia 45 tahun, bapa tiga cahaya mata ini mempamerkan kemampuan nyanyian luar biasa, selain kelincahan aksi di pentas selama hampir dua jam setengah.

Pada malam istimewa itu, Marcell berbahagi rasa. Penuh terharu, dia meluahkan penghargaan kepada peminat yang tidak putus memberikan sokongan selama dua dekad bergelar anak seni.

“Tidak terasa sudah 20 tahun saya di sini, dalam ekosistem muzik. Masih saya ingat, 19 tahun lalu, ketika menerima penghargaan Anugerah Planet Muzik, saya berada di sekitar kawasan ini iaitu di Bukit Bintang.

“Mulai saat itu, saya sedar Malaysia turut menyimpan bahagian paling besar dalam karya saya,” katanya.

Konsert Marcell Dua Dekade Live In Kuala Lumpur menjadi ruang buat penyanyi tersebut melunaskan keinginan peminat mendengarkan persembahan lagu yang melonjakkan namanya di negara ini.

Antara lagu yang dipersembahkan pada malam itu adalah Jangan Pernah Berubah, Perih, Berhenti Berharap, Tak Kan Terganti, Hanya Memuji, Firasat dan Semusim.

Tribute istimewa

Menerusi konsert itu, Marcell menampilkan tribute istimewa buat penggiat industri muzik tempatan menerusi dua lagu, satu daripadanya pernah dipopularkan penyanyi, Salih Yaacob.

Dia memilih lagu Putri Remaja yang disampaikannya dengan cara tersendiri.

“Sejujurnya, dari kecil saya sudah terbiasa mendengar lagu, walaupun tidak sebanyak teman hidup saya (isterinya, Rima Melati Adams) yang menyukai semua lagu. Dia bahkan menggelar dirinya ‘minah rock’.

“Ketika pembikinan album, This Is Not Jazz, saya bertanyakan ibu mentua lagu Melayu yang sedap untuk dinyanyikan. Ibu mencadangkan sebuah lagu lama, bagaimanapun dia tidak tahu tajuk lagu itu.

“Lantas, saya membuat carian di Internet dan akhirnya menemukan lagu Putri Remaja yang pernah dipopularkan Salih Yaacob,” katanya.

Lebih istimewa, Marcell juga tidak melepaskan peluang menyanyikan lagu yang dipopularkan kumpulan rock legenda, Search.

“Isteri mencadangkan saya mendengar lagu Rozana di YouTube. Ternyata, ia adalah lagu yang dinyanyikan Datuk Amy Search.

“Bagaimanapun, saya membawakan sedikit kelainan apabila menyanyikannya dalam bentuk balada,” ujarnya.

Untuk segmen tribute, Marcell turut membawakan lagu Bahasa Kalbu nyanyian asal Titi DJ, Kini (Rossa), Akhir Cinta dan Berhenti Berharap.

Marcell seterusnya membawa penonton hanyut dalam emosi ketika menyanyikan lagu Tak Kan Terganti yang mengingatkannya kepada Allahyarham Adibah Noor.

Penyanyi itu katanya, banyak memberinya inspirasi, terutama dalam karier muzik.

“Saya sangat mengagumi arwah Adibah. Tidak kesampaian di sini, namun Allah pasti menjaganya di sana,” katanya sebak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×