SELURUH pasukan produksi Mechamato Movie mampu tersenyum dengan kejayaan filem animasi tersebut yang setakat ini merekodkan jumlah kutipan memberangsangkan, iaitu RM10 juta selepas enam hari ditayangkan di 150 pawagam seluruh negara.
Pencapaian tersebut membuktikan filem animasi tempatan kekal mendapat tempat istimewa di hati penonton dan mampu bersaing dengan filem antarabangsa yang turut menerjah pawagam.
Ramai pengkritik dan pencinta filem berteka-teki, apakah formula diguna pakai Animonsta Studios atau Monsta sehingga berjaya meyakinkan penonton untuk ke pawagam.
Menjawab pertanyaan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Monsta yang juga pengarah dan penulis filem animasi itu, Nizam Abd. Razak memaklumkan, elemen budaya dan tradisi tempatan yang diterapkan dalam Mechamato Movie, selain tayangan ketika musim cuti sekolah menjadi antara faktor membuatkan filem ini menerima sambutan luar biasa.
“Kekuatan filem ini terletak pada gabungan elemen moden dan tradisional. Mechamato Movie yang berlatar belakangkan negeri Melaka mengetengahkan elemen budaya tempatan seperti seni mempertahankan diri pencak silat, keris serta kuih tradisional iaitu karipap.
“Kami berhasrat mahu mengangkat budaya Malaysia ke satu tahap agar ia tidak dilupakan.
“Cara ini dapat menambat hati generasi muda, sekali gus membuatkan mereka lebih menghayati tradisi dan warisan budaya kita dengan cara yang lebih menyeronokkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kata Nizam, nilai positif yang dipersembahkan menjadikan filem ini sesuai ditonton seluruh lapisan masyarakat.
“Filem ini juga merupakan produksi yang sesuai untuk tontonan seisi keluarga, lebih-lebih lagi pada musim cuti sekolah.
“Kami menerapkan nilai yang baik seperti semangat setia kawan dan banyak lagi. Bahasa yang digunakan juga sangat sesuai untuk seisi keluarga. Elemen ini bermanfaat untuk diteladani semua lapisan masyarakat,” katanya lagi.
Tambah Nizam lagi, penghasilan Mechamato Movie melibatkan penggunaan teknologi terkini yang membuatkan filem ini menepati standard filem animasi antarabangsa.
“Teknologi dan aspek teknikal yang digunakan dalam filem ini melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) berterusan. Kami sentiasa meneliti kualiti untuk memastikan ia kekal pada tahap tertinggi supaya penonton mendapat kepuasan maksimum,” katanya.
Bercakap soal sasaran kutipan pula, Nizam memaklumkan, sasaran awal yang diletakkan menyamai filem BoBoiBoy Movie 2 yang ditayangkan empat tahun lalu.
“Kami meletakkan sasaran awal menyamai kutipan BoBoiBoy Movie 2 iaitu RM30 juta.
“Ia sasaran yang realistik dan mampu memartabatkan karya seni animasi tempatan,” ujarnya.









