“JIKA datang ilham, kenapa tidak?”
Ringkas jawapan penyanyi dan komposer tersohor, Altimet ketika ditanya adakah dia sudi untuk menghasilkan lebih banyak lagu menggunakan karya Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
Mana tidaknya, niat murninya untuk menyerahkan 100 peratus hak royalti lagu Aduh Malaysia kepada waris Seniman Agung itu turut membuka mata ramai pihak tentang realiti dan nasib waris anak seni selepas 50 tahun.
“Saya anggap ini adalah satu bentuk hadiah dan penghargaan daripada kita kepada seorang Seniman Agung. Ramai yang terkejut apabila mengetahui hak royalti akan terhapus selepas 50 tahun.
“Tahun hadapan adalah tahun terakhir waris Allahyarham menerima royalti. Jadi, saya mahu menyambung legasi dan meneruskan hak royalti karya agungnya kepada warisnya.
“Ini adalah penghargaan kecil saya kepada Seniman Agung yang telah banyak membuka jalan dan berhasil membawa industri seni kita ke tahap berbeza. Karyanya memberi impak kepada kita semua,” katanya.
Dalam pada itu, Altimet juga berhasrat untuk bertemu dengan waris Allahyarham P. Ramlee, Sazali dan membincangkan sendiri niatnya tentang pemberian hak royalti kepada mereka.
“Setakat ini, saya belum menghubungi mereka lagi. Tetapi, memang ada niat mahu bertemu. Insya-Allah, jika ada rezeki dan jodohnya, mungkin kita akan menyusun waktu sesuai untuk bertemu,” katanya.
Menganggap langkahnya menyerahkan hak royalti itu sebagai perkongsian rezeki, penyanyi ini berharap peminat akan terus menyokong Aduh Malaysia sebagai penghargaan kepada Seniman Agung tersebut.
“Saya percaya kepada konsep rezeki. Lebih ramai orang mendengar lagu itu, lebih banyak royalti akan diterima mereka. Kita tahu betapa besar sumbangan P. Ramlee terhadap dunia seni.
“Ini pintu rezeki mereka (waris P. Ramlee), insya-Allah pintu lain akan terbuka untuk saya,” katanya.
LANJUT KE 70 TAHUN
Hakikatnya, nasib waris hak royalti akan terhapus selepas 50 tahun. Ramai yang tidak tahu dan terkejut, malah ada yang meminta hak royalti diteruskan atau dilanjutkan kepada beberapa tahun lagi.
Bercakap soal itu, Altimet berpendapat, rata-rata hak lupus royalti akan terhapus selepas 50 atau 70 tahun pemergian pengkarya. Itu merupakan piawaian harta intelek yang diguna pakai di seluruh dunia.
“Rata-rata had lupus hak royalti 50 atau 70 tahun lepas pengkarya meninggal dunia. Ini merupakan piawaian harta intelek sedunia. Ada yang rasa adil, ada yang rasa tidak.
“Tetapi, jika ada perancangan untuk memanjangkan had lupus royalti ke usia 70 tahun untuk karya Allahyarham P. Ramlee, kita perlu adil dan aplikasikan cadangan itu kepada semua pengkarya tanah air,” katanya.
Tambah Altimet lagi, pengetahuan berhubung hak royalti sangat penting, terutama kepada penggiat seni yang mungkin segelintirnya tidak tahu mengenai perkara itu.
“Ini adalah antara cara saya untuk berkongsi ilmu dan pengetahuan berhubung hak royalti seseorang komposer.
“Pengurusan harta intelek penting untuk pemain industri kreatif. Salah satu penanda aras negara maju ialah undang-undang dan pengurusan harta intelek,” ujarnya.
TERIMA KASIH ALTIMET – SAZALI
Turut menyimpan hasrat untuk bertemu Altimet, waris Seniman Agung, Sazali berterima kasih dan bersyukur apabila ada pihak yang sedar tentang hak royalti bapanya yang bakal terhapus tahun hadapan.
“Jika benar, terima kasih Altimet. Kalau boleh saya mahu berjumpa dengannya terlebih dahulu. Perkara seperti ini perlu dibincangkan. Bukan apa, takut kena scam lagi.
“Sebelum ini, ada juga beberapa pihak yang datang menawarkan bantuan berhubung hak royalti, namun selepas itu diam sahaja. Jadi, kalau boleh saya mahu bertemu dan berbincang dengan lebih terperinci.
“Setakat ini, tiada pihak sama ada Altimet atau Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) yang menghubungi saya,” katanya.
Sazali yang kini berusia 63 tahun juga mengharapkan kerajaan mempertimbangkan cadangan untuk melanjutkan hak royalti Allahyarham P. Ramlee kepada 70 tahun.
“Saya dan isteri bergantung hidup kepada wang hak royalti itu. Duit itu digunakan untuk perbelanjaan harian, termasuk menampung kos perubatan saya.
“Saya berharap ada jalan keluar kepada persoalan dan cadangan untuk melanjutkan hak royalti tersebut,” katanya.










