Pasti Tiba uji kemampuan Ara Johari bermain emosi - Utusan Malaysia

Pasti Tiba uji kemampuan Ara Johari bermain emosi

ARA muncul dengan single baharu, Pasti Tiba.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pernah berdepan masalah sakit tekak yang berlarutan selama beberapa bulan, penyanyi bersuara lantang, Ara Johari bersyukur masih diberi kepercayaan untuk tampil dengan single baharu.

Ara atau nama lengkapnya, Nurfarrah Izzatie Johari, 25, menyifatkan tanggungjawab diberikan komposer, Sharon Paul dan penulis lirik, Ahmad Fedtri Yahya sebagai ruang yang mematangkan lagi perjalanannya sebagai penyanyi.

“Pada mulanya, mereka mahukan penyanyi lain untuk membawakan lagu itu. Namun, mungkin sudah tertulis rezeki, akhirnya saya menjadi pilihan kak Sharon dan abang Fedtri.

“Semuanya berlaku dengan begitu cepat, hanya tiga minggu sebelum lagu ini dilancarkan. Alhamdulillah, proses rakaman berjalan dengan baik dan tidak mengambil masa lama iaitu sekitar tiga hingga empat jam sahaja,” katanya.

Ara yang sebelum ini mempertaruhkan single Sumpahan Salju berkata,  Pasti Tiba berkisar tentang kekasih yang setia dan telah memberi sepenuh cintanya.

“Namun,  tanpa diduga orang yang disayanginya itu dalam diam memungkiri janji dan curang. Perasaan kecewa dan hilang harapan menyelubungi diri, membuatkan dia seakan-akan tidak tahu untuk bertindak.

“Akhirnya, dia berserah kepada Tuhan kerana yakin dengan takdir dan balasan hanya milik Yang Maha Kuasa. Hanya kesabaran menjadi penguat hati dalam menempuh episod sedih perhubungan yang tidak kesampaian,” jelas Ara.

Tambah Ara, dia tidak mengalami masalah untuk menjiwai setiap bait lirik kerana nuansa balada sememangnya sudah sebati dengan dirinya.

Katanya lagi, bait lirik lagu itu pasti menikam kalbu pendengar. Lebih berkesan apabila video muzik lagu itu memperlihatkan dia banyak bermain dengan ekspresi wajah untuk menggambarkan perasaan wanita yang telah disakiti dan  dikhianati kekasihnya .

“Mainan ekspresi wajah sudah cukup menggambarkan perasaan itu dan saya amat berpuas hati dengan hasilnya, Saya berharap  lagu ini menjadi penguat semangat bagi mereka yang disakiti  supaya lebih kuat dan tabah dalam mengharungi alam percintaan.

“Saya berharap pendengar dapat menerima lagu, seterusnya menanti kemunculan album penuh yang dijangka diterbitkan tahun depan,” katanya.

Lagu itu turut menjadi latar untuk drama bersiri 40 episod, Jesnita yang ditayangkan mulai 7 November lalu menerusi saluran Astro Prima.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.