Meerqeen buka langkah tawan pasaran Indonesia - Utusan Malaysia

Meerqeen buka langkah tawan pasaran Indonesia

MEERQEEN semakin selesa dengan pelbagai tawaran yang membantu mengukuhkan lagi namanya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Populariti yang diraih menerusi drama rantaian Melur Untuk Firdaus tanpa diduga membuka langkah pelakon muda, Meerqeen untuk mengorak langkah di Indonesia.

Akui Meerqeen, tawaran menjayakan web drama untuk Bank Rakyat Indonesia berjudul Modus Operandi menjadi titik tolak membina nama kukuh di negara jiran tersebut.

Jelasnya, web drama itu bukan sahaja membuka langkah pertamanya ke sana, tetapi turut memberikan pengalaman baharu untuk terus meneroka peluang kerjasama dengan produksi lain di sana.

“Sebelum ini, saya ke sana untuk bertemu peminat dan memenuhi pelbagai undangan rancangan TV. Rentetan daripada kunjungan pertama itu, lebih banyak rezeki yang mula terbuka untuk saya mencuba.

“Sebagai pelakon baharu, saya gembira dengan tawaran yang datang. Mereka nampak sesuatu dalam diri saya dan ia merupakan penghormatan besar buat saya yang masih belum punya nama kukuh di sana,” kata pelakon berusia 21 tahun ini.

Modus Operandi menjalani penggambaran selama seminggu di Jakarta turut dibintangi Krito Immanuel, Yusuf Mahardika, Diandra Agatha dan Maudy Effrosina.

Menariknya, Meerqeen diberikan peranan sebagai teraju utama dalam drama berkenaan dan gembira dapat bekerjasama pengarah yang cukup berpengalaman iaitu Makbul Mubarak.

“Memang saya teruja, pada masa sama gemuruh untuk bekerjasama dengan mereka yang berpengalaman. Ini merupakan produksi pertama saya di sana dan sedikit sebanyak ada perbezaan ketara, terutama dalam cara kerja.

“Tapi, saya gembira kerana mereka banyak membantu, terutama semasa proses pra-produksi. Kami terlibat dalam sesi latihan bagi melicinkan proses seterusnya. Ini memang memberikan pengalaman berharga buat saya,” tambahnya lagi.

Meerqeen juga bersyukur apabila turut dirisik beberapa produksi lain yang melihat potensi dirinya untuk terus menyerlah dalam bidang lakonan dan pengacaraan.

Tambahnya, dia masih memikirkan tawaran yang diterima, namun tertarik dengan sebuah produksi yang berminat menggunakan khidmatnya sebagai pengacara untuk sebuah program TV.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan beberapa tawaran yang diterima. Kepercayaan yang diberikan ini membakar semangat saya untuk terus berusaha keras dan membuktikan kehadiran dalam bidang seni bukan main-main,” katanya lagi.

Modus Operandi akan mula ditayangkan pada 4 November ini menerusi saluran YouTube BRI (Bank Rakyat Indonesia).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.