PETALING JAYA: Calon Gerakan Tanah Air (GTA) bagi kerusi Parlimen Sabak Bernam, Datuk Seri Eizlan Yusof, memilih untuk ‘lepak minum’ sebagai cara menyantuni dan mendekati masyarakat, berbanding mengadakan ceramah atau syarahan.
Kata Eizlan, 51, perkara pertama dilakukan sejak namanya dicalonkan adalah mengenali hati budi dan mendengar sendiri luahan masyarakat di kawasan parlimen tersebut.
“Tambahan pula, saya tidak mahu menyusahkan masyarakat, terutama pihak berkuasa tempatan yang bertungkus lumus memastikan proses berkempen sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berjalan lancar.
“Saya akui tidak banyak masa untuk berkempen secara besar-besaran seperti calon lain, tetapi saya ada pendekatan tersendiri dalam memenangi hati rakyat,” katanya.
Menurut Eizlan lagi, pendekatan yang dilakukan sejak hampir seminggu berkampung di Sabak Bernam telah mendedahkannya dengan pelbagai isu dan permasalahan yang tidak pernah diketahui sebelum ini.
Antaranya isu jambatan menghubungkan Sungai Air Tawar dan Hutan Melintang, rangkaian internet, hasil pertanian, anak muda dan banyak lagi.
“Semua isu itu saya dengar sendiri daripada penduduk. Saya seolah-olah sudah bergelar YB Sabak Bernam.
“Saya orang yang bekerja, bukan ahli politik. Jika menang di sini, saya mahu bawa semua isu dan permasalahan penduduk ke peringkat Parlimen,” katanya.
Eizlan berkata, dia juga mahu menubuhkan Jawatan Kuasa Komuniti Parlimen Sabak Bernam di mana ahlinya terdiri daripada warga setempat untuk mengenal pasti isu dan permasalahan setempat.
Menurutnya, kaedah itu lebih bersesuaian kerana setiap isu dan permasalahan dapat diperkemaskan, sekali gus dibawa ke Parlimen untuk dibahas serta diperjuangkan.
Menyentuh isu anak muda, Eizlan kagum kerana mereka sangat rajin melakukan pelbagai usaha untuk merancakkan aktiviti ekonomi.
Ini terbukti pada sesi menyantuni masyarakat, baru-baru ini apabila dia telah bertemu golongan remaja dan belia yang bukan saja aktif dalam bisnes makanan dan perkhidmatan, malah ekonomi digital.
Eizlan yang mewakili GTA – Parti Pejuang bakal berdepan empat penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN), Kalam Sahlan; Shamsul Ma’arif Ismail (Pakatan Harapan – PH) dan Datuk Abd. Rahman Bakri (Barisan Nasional – BN).