SHAH ALAM: Persembahan solo peserta pada Separuh Akhir Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) kurang memberangsangkan sehingga menjejaskan markah yang diperoleh.
Namun, juri Datuk Syafinaz Selamat berpendapat, kekurangan itu diselamatkan persembahan duet yang memberi kelebihan kepada peserta untuk meraih markah selesa pada persaingan yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam tadi.
“Bagi saya, persembahan solo kurang menyengat, sebaliknya nyanyian secara duet memberi lebih banyak markah kepada setiap peserta.
“Jadi, saya harap semasa persaingan akhir nanti, setiap peserta memberikan persembahan yang lebih baik,” katanya pada sidang akhbar selepas persaingan Separuh Akhir GV9.
Jaclyn Victor melangkah selesa ke pusingan akhir pada kedudukan pertama selepas meraih 84.35 peratus, diikuti Shila Amzah (79.2 peratus); Bob Yusof (78.7 peratus); Tomok (75.9 peratus), Hazrul Nizam (75.8 peratus) dan VE (74.3 peratus).
Bagaimanapun, Dina yang membawakan lagu Bukan Dia Tapi Aku nyanyian asal Judika mendapat 59.2 peratus markah dan Fuad (58.3 peratus) yang menyanyikan lagu Di Alam Fana Cintamu terpaksa akur apabila diumumkan tersingkir.
Minggu Separuh Akhir bertemakan Separuh Aku, Ada Kamu menuntut peserta melunaskan dua tugasan iaitu persembahan solo dan duet dengan rakan artis.
Dalam pada itu, Ketua Juri, Datuk Ramli MS berkata, persembahan duet kumpulan VE dan Hazrul Nizam menerusi lagu Kau Pun Sama nyanyian asal Syamel melayakkan mereka mara ke pentas akhir.
Untuk persembahan solo, Ramli yang mesra disapa Tok Ram mengakui, kecewa dengan nyanyian VE disebabkan banyak melakukan kesalahan, terutama ketika membuat ad-lib.
“Ketika berduet, persembahan mereka sangat meriah dan menghiburkan walaupun mendapat markah rendah semasa persembahan solo.
“Kalau Fuad Rahman, terus terang saya cakap potong markah sebab dia sudah sepatutnya keluar dari zon selesa,” ulasnya.
Sementara itu, mengulas sekiranya masih ada peserta yang menyimpan ‘taring’ sebelum menuju pentas akhir, Hetty Koes Endang berpendapat, ia adalah strategi yang salah kerana semua perlu memberikan persembahan terbaik pada setiap minggu.