GV9: Anggap diri sekadar 'hiburan tambahan', Asheed tak kecewa tersingkir - Utusan Malaysia

GV9: Anggap diri sekadar ‘hiburan tambahan’, Asheed tak kecewa tersingkir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Meskipun impian ke final Gegar Vaganza musim kesembilan (GV(9) lebur selepas tersingkir, malam tadi, vokalis Def Gab C, Asheed tidak kecewa kerana dapat menimba banyak pengalaman sepanjang sembilan minggu bersaing.

Asheed, 49, berkata komen membina yang diterima daripada juri profesional dapat dijadikan bekalan untuk dia meneruskan kerjaya nyanyiannya dengan lebih yakin.

“Sepanjang menjadi penyanyi, saya tidak pernah mendapat komen daripada juri profesional. Jadi, dengan menyertai GV9, saya dapat mendengar sendiri komen daripada juri mengenai kelemahan dan kekurangan persembahan saya.

“Maklum sajalah, kali terakhir saya masuk pertandingan ketika zaman sekolah. Ini kali kedua dalam hidup, saya sertai pertandingan. Tentu banyak perbezaan dari segi persembahan kerana industir muzik juga berubah.

“Saya tidak menyesal kerana dapat belajar banyak ilmu baharu sepanjang program ini. Walaupun usia hampir memasuki 50 tahun, tidak semestinya saya tidak boleh belajar. Ilmu itu tidak rugi untuk saya belajar.

“Tidak apalah, saya tidak kecewa kerana sedar, keberadaan saya dalam program ini sekadar ‘hiburan tambahan’,” katanya.

Pada persaingan yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, Asheed membawakan lagu Lena Diulit Intan  yang dipopularkan Wings.

Dia yang menerima markah terendah iaitu 58.60% akur apabila diumumkan sebagai peserta tersingkir.

Asheed juga berkata, dia menerima ketentuan itu sebagai adat pertandingan yang pasti ada kalah dan menang.

Baginya, setiap peserta sudah berusaha memberikan persembahan terbaik masing-masing dan dia berpuas hati apabila dapat bertahan sehingga pusingan suku akhir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN