KUALA LUMPUR: Penyanyi, Adira Suhaimi memaklumkan, dia mahu memberi fokus membesarkan empat cahaya mata selepas dinasihatkan doktor supaya tidak mengambil risiko untuk hamil lagi.
Penyanyi berusia 31 tahun itu berkata, selepas selamat melahirkan anak keempat menerusi kaedah pembedahan atau caesarean (Czer) pada 29 September lalu, dia kini terpaksa ‘tutup kilang’.
Penyanyi lagu Pujaan Hati itu turut menjalani proses Bilateral Tubal Ligation (BTL) atau proses mengikat salur peranakan untuk mengelakkan diri daripada mengandung lagi.
“Cukuplah dua lelaki dan dua perempuan. Biarlah saya fokus dengan empat cahaya mata ini. Alhamdulillah, kehidupan saya sudah lengkap.
“Saya sangat bersyukur dengan apa yang ada sekarang sebab sudah empat kali bersalin secara pembedahan. Jadi, mungkin ada risiko kalau saya hamil lagi.
“Atas sebab tertentu dan mengikut nasihat doktor, saya bersetuju (ikat peranakan). Suami juga tidak membantah keputusan ini,” katanya ketika ditemui pada majlis anjuran Body Flasshh, semalam.
Majlis sama turut menyaksikan pelantikannya sebagai duta produk BodyFlasshh Drinks iaitu minuman yang mampu mengawal selera makan.
Adira yang mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 turut berkongsi pemilihan nama anak bongsunya, Ayub yang ringkas, sama seperti abang dan kakaknya yang lain.
“Kalau di sekolah, orang akan panggil nama pendek juga. Jadi, lebih baik saya letak nama yang mudah diingati.
“Seperti Ayub, kita tidak akan panggil lebih pendek lagi kan? Nama tiga anak saya yang lain pun ringkas iaitu Anggrek, 5, Asan, 4 dan Anggun ,3,” katanya lagi.
Menyentuh soal karier, Adira terpaksa memilih tawaran di sekitar ibu negara dan tidak memerlukannya berada terlalu lama di luar daerah kerana anak-anak masih memerlukan perhatian.
“Kalau boleh bawa anak, saya ambil juga tawaran di luar Kuala Lumpur. Kebanyakan tawaran kerja yang datang semuanya dekat. Kalau perlu menaiki pesawat, saya akan pulang sebaik sahaja selesai kerja.
“Anak tetap nombor satu, baru saya fikir soal kerjaya. Setakat ini, memang tiada halangan kerana ada yang tolong jagakan anak-anak apabila saya keluar bekerja,” katanya.