SEPANJANG setengah jam temu bual, pasangan duet Nuha Bahrin dan Naufal Azrin ini memberikan reaksi yang cukup menyenangkan. Jika sifat positif itu dikekalkan, selain disertakan disiplin tinggi, mereka diyakini antara bakat baharu yang bakal menyinar dalam industri muzik.
Ada sisi merendah diri, jujur dan ikhlas dalam menyatakan pandangan. Tanpa sebarang kontroversi mahupun gosip panas, penyanyi lagu Casablanca, masing-masing berusia 22 dan 23 tahun itu berpotensi melangkah kukuh sekiranya mereka komited memperbaiki kekurangan diri.
Dengan 24 juta tontonan dalam YouTube, ia adalah pencapaian yang boleh dibanggakan untuk penyanyi baharu. Populariti lagu itu turut merentas sempadan. Tidak hanya menjadi siulan di negara jiran, Indonesia, Casablanca turut diminati peminat di Asia Barat.
Buktinya, peminat dari Casablanca, Maghribi sendiri pernah meninggalkan komen dalam ruangan YouTube supaya mereka menghasilkan sepenuhnya lagu di dalam bahasa Arab.
Permintaan itu akhirnya direalisasikan dengan pengenalan Casablanca sepenuhnya di dalam bahasa Arab bagi sasaran pendengar Asia Barat jika strategi betul digunakan dan kaedah pemasaran yang mampan.
NAUFAL BANYAK MEMBANTU
Nuha yang pernah menyertai rancangan realiti Vokal Mania memberitahu, hala tuju lagu tersebut adalah untuk menembusi pasaran di negara Arab.
Lagu berkisar kisah cinta pasangan kekasih yang banyak dikongsi di aplikasi TikTok menjadi titik lonjakan untuk single duet mereka itu diterima hebat peminat.
“Alhamdulillah, saya tidak sangka kejayaan lagu yang mendapat sentuhan magis dan kreatif daripada abang Daqmie dan Wan Salleh.
“Ini adalah hasil kreativiti pemuzik berpengalaman dan mampu menembus sempadan negara lain. Saya bangga dengan idea kreatif abang Daqmie yang mengubah lagu ini menjadi lebih santai.
“Bukan semua komposer boleh menghasilkan lagu sehebat ini. Apatah lagi, abang Daqmie dikenali menerusi lagu nasyid atau genre lebih berat sebelum ini,” katanya.
Nuha yang dilihat lebih selesa berbahasa Inggeris tidak berdepan masalah besar menyanyikan lirik lagu dalam bahasa Arab.
Katanya, selain Naufal yang banyak membetulkan lenggok dan lahjah Arab, mereka juga dibantu individu lain yang pakar dalam bahasa tersebut.
Selain suka mendengar sentuhan dalam bahasa Arab, minatnya itu akui Nuha, sedikit sebanyak membantu penguasaan lagu tersebut.
“Lagu ini menguji sejauh mana kita mampu menerapkan cara penyanyi lain mengalunkan lenggok Arab, sekali gus membantu sebutan. Apa yang penting, perlu sentiasa berlatih dan berlatih,” katanya.
Naufal pula yang sudah biasa mengaji sejak kecil dan popular dengan lagu qasidah, Ya Badratim tidak mempunyai kesukaran dalam melantunkan bait lirik tersebut.
“Semasa proses rakaman lagu ini, kami dibimbing supaya sebutan serasi dengan nuansa pasaran Arab. Saya sudah biasa mengaji sejak kecil dan perkara itu membantu secara tidak langsung,” jelasnya.
PASARAN INDONESIA
Nuha dan Naufal turut terharu kehadiran mereka mendapat sambutan menggalakkan dari peminat di Indonesia apabila dijemput ke beberapa program televisyen dan stesen radio terkenal di Jakarta.
Pencapaian itu sangat luar biasa kerana bukan semua artis baharu dari Malaysia mendapat liputan meluas, terutama diberi peluang muncul secara langsung di negara seberang.
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa tahu. Gabungan mereka berjaya dengan lagu yang mesra pendengar sepanjang enam hari jelajah promosi di negara seberang.
“Alhamdulillah, kami dapat berjumpa ramai selebriti di sana seperti Melly Goeslaw dan berkolaborasi dengan Nisa Sabyan.
“Kami juga dijemput muncul dalam banyak program di Indonesia. Kami ada perancangan masa depan untuk meneroka lebih luas pasaran di sana. Ketika ini, kami anggap ia lebih kepada dalam proses berkenalan. Sasaran kami adalah berkolaborasi dengan lebih ramai artis dari negara itu,” katanya.
Berhubung perancangan jangka masa panjang, Naufal yang minat menyanyi sejak kecil berkata, mereka menyerahkan perkara itu kepada pihak pengurusan.
“Saya tidak meletakkan sebarang sasaran kerana semua atas keputusan pihak pengurusan BeeGood Music. Sebagai artis, kami berusaha memberikan terbaik,” katanya.
Ditanya pendapat mereka apabila penyanyi Indonesia, Rizky Fabian yang popular dengan lagu Hingga Tua Bersama menyatakan hasrat bekerjasama, kata pasangan duet itu, mereka sangat berbesar hati.
Hasrat itu disifatkan mereka seperti pucuk dicita ulam mendatang.
“Kami adalah peminat Rizky dan rasa bertuah apabila dia menyatakan perkara itu.
“Sebelum ini, kami memang mendengar lagu Rizky dan sangat terbuka kalau dapat berduet dengan penyanyi itu,” kata Nuha.
Selain Indonesia, Nuha juga melahirkan keterujaan sekiranya dapat berduet dengan penyanyi kelahiran Malaysia, Yuna.
“Yuna adalah artis yang bagus, malah pencapaiannya juga hebat apabila berduet dengan Usher. Sudah tentu, saya memasang impian untuk berkolaborasi dengan Yuna walaupun banyak menyanyikan lagu dalam versi bahasa Arab,” katanya.
Mengulas komen netizen yang mempertikai tindakan pasangan ini ‘mengarabkan’ semua lagu Melayu, kata Nuha, proses Arabisasi dibuat supaya dapat memberi nilai tambah dan komersial.
“Ada yang suka dan ada yang tidak suka. Kami buat atas dasar keinginan untuk mencari kelainan. Saya terharu apabila Melly menghantar mesej menyatakan dia menyukai versi baharu yang kami rakamkan dan turut memuat naik di Instagram,” katanya
TIADA KAITAN DENGAN ZAYNE
Kemunculan Naufal dalam industri muzik bermula dengan kumpulan Zayne di bawah naungan Inteam Records Sdn. Bhd. (IRSB) atau lebih dikenali sebagai Inteam Digital sejak 2019.
Katanya, tidak timbul isu melanggar kontrak perjanjian selepas dia memilih untuk bergerak solo dengan konsep world music, Mac lalu.
Malah, katanya, idea gabungan bersama Nuha tercetus selepas kumpulan itu tidak lagi menyambung kontrak dengan Inteam Digital.
Anak sulung tiga beradik itu juga menyatakan, tidak timbul isu peminat marah atau kecewa, sebaliknya ramai yang masih menyokong karier seninya.
“Begitulah kehidupan, ada yang suka dan tidak suka dengan kita. Jika lagu Casablanca boleh serlahkan bakat saya, apa salahnya saya menyanyi pelbagai genre lain,” katanya.
Ditanya berhubung tindakan keluar dari kumpulan disebabkan kecewa dengan sikap beberapa ahli Zayne, Naufal yang berasal dari Kuala Lumpur menjelaskan, dia tidak mempunyai sebarang masalah.
“Hubungan kami masih baik macam kawan-kawan, cuma tiada masa bertemu dan berkumpul. Saya ingin maklumkan, saya bukan ahli kumpulan Zayne lagi,” katanya.











