Artis popular gegarkan Konsert Anak Muda Gegor Bera esok - Utusan Malaysia

Artis popular gegarkan Konsert Anak Muda Gegor Bera esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYANYI rock tanah air, Amy Search dan pelakon drama fenomena Melur Untuk Firdaus, Anna Jobling antara artis yang bakal memeriahkan Konsert Anak Muda Gegor Bera yang akan berlangsung di Dewan Konvensyen Bera, pukul 8.30 malam esok.

Konsert yang diadakan sempena Karnival #KeluargaMalaysia: Anak Muda Gegor Bera itu turut menampilkan penyanyi terkenal seperti Hael Husaini, Afieq Shazwan, Zoey Rahman, Nizam Laksamana, Fazli Zainal, Santesh, Lock Up, Ex Puxxle dan Lin Kah Jun.

Konsert yang diadakan secara percuma ini bertujuan menyemarakkan semangat Keluarga Malaysia dalam kalangan penduduk Bera yang terdiri daripada pelbagai bangsa, kaum dan agama, selain muzik sebagai elemen perpaduan.

Dalam pada itu, Amy Search melahirkan perasaan teruja kerana dapat beraksi kali pertama di hadapan Keluarga Malaysia di Bera.

“Pastinya saya akan memberikan persembahan istimewa untuk peminat yang ada di Bera, malam esok. Nak tahu apa yang istimewa, kenalah datang beramai-ramai ke Konsert Karnival #Keluarga Malaysia, Sabtu ini,” kata Amy yang popular dengan lagu Isabella dan Fantasia Bulan Madu.

Sementara itu, Anna begitu teruja untuk turun ke Bera bertemu peminat, apatah lagi ramai dalam kalangan penggemarnya telah menghantar pesanan Direct Message (DM) menerusi akaun Instagram menyatakan hasrat untuk berjumpa.

“Sejak semalam, Anna tidak putus-putus menerima DM dari Bera bertanyakan tentang kehadiran pada program Karnival #Keluarga Malaysia: Anak Muda Gegor Bera,’’ katanya.

Sementara itu, Pengerusi Miat Quadra E-Sport Club, Mohamad Lukman Afiq Mohamad Faizal, yang juga penganjur Karnival #KeluargaMalaysia: Anak Muda Gegor Bera berkata, konsert itu diadakan bertujuan menyemarakkan semangat Keluarga Malaysia dalam kalangan penduduk Bera serta kawasan sekitarnya.

“Kita maklum selain sukan, bidang hiburan juga merupakan platform berkesan dalam menyatupadukan Keluarga Malaysia yang berbilang kaum,” katanya dalam satu kenyataan.

Pelbagai program menarik bakal berlangsung dalam Karnival #KeluargaMalaysia: Anak Muda Gegor Bera, antaranya Santai eGames, Karnival Kerjaya dan pemeriksaan kesihatan secara percuma bermula pukul 9 pagi sehingga 5 petang.

Konsert dibarisi artis terkenal pula akan berlangsung dari pukul 8.30 malam sehingga 11 malam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dijadual merasmikan Pertandingan eGames yang diadakan bertujuan mencungkil bakat belia dalam e-sukan, yang telah menjadi kerjaya sukan di peringkat antarabangsa pada pukul 12.30 tengah hari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya