Pernah terima pelawaan, Harith Iskander tolak sertai politik - Utusan Malaysia

Pernah terima pelawaan, Harith Iskander tolak sertai politik

Harith enggan sertai politik meskipun menerima pelbagai pelawaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelawak, Harith Iskander, 56, pernah didatangi beberapa wakil parti politik yang mempelawanya bertanding, namun tawaran itu ditolak dengan baik kerana berpendirian untuk tidak menunjukkan sokongan secara terbuka.

Harith berkata, dia selesa tidak membabitkan diri dalam dunia politik kerana mahukan kehidupan lebih tenang dan tidak terlalu disorot umum.

“Saya  pernah didatangi beberapa wakil daripada pelbagai parti yang mahu mempelawa saya menyertai politik. Perkara yang sama juga pernah ditanyakan pengikut di laman sosial.

“Malah ada yang pernah bertanya di ruangan komen, tidakkah saya berminat untuk menjadi Perdana Menteri? Ada yang kata, mereka sanggup mengundi kalau saya yang bertanding.

“Tahu tak menjadi Perdana Menteri itu bukan tugas mudah? Susah, sampaikan mahu berjalan pun kena sentiasa senyum,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada majlis penghargaan filem Juang, semalam.

Jelas Harith, dia khuatir sekiranya  terlibat dalam politik, masanya akan terbatas dan dia tidak mempunyai rehat yang cukup kerana sibuk dengan pelbagai tuntutan komitmen.

“Saya mahu kehidupan yang relaks, pergi panggung wayang pun tiada orang kacau. Bagi saya, mana-mana parti, ada baik dan ada juga yang buruk.

“Kalau saya menyertai atau terlibat dalam sesuatu parti, bermakna saya juga menanggung beban, terutama pandangan orang terhadap parti tersebut. Tetapi, itu tidak bermakna saya menolak perjuangan kawan-kawan artis yang menyertai politik.

“Kalau anda tanya saya, percayalah, ia bukan perjalanan yang senang. Tidak semena-mena, orang akan mudah membenci kita,” katanya.

Berkongsi pengalamannya menerima kecaman berbaur kebencian, Harith mengakui, pernah berdepan situasi tersebut ketika memuat naik sekeping foto bersama Datin Seri Rosmah Mansor, beberapa tahun lalu.

“Ia berlaku sekitar 2018 atau 2019. Ada yang tiba-tiba terus tidak mengaku kawan saya. Sekalipun taasub dengan politik, tidak perlu keterlaluan. Saya hanya bergambar dengan beliau,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.