KUALA LUMPUR: Kumpulan baharu, Juita menegaskan, mereka tidak meniru mana-mana kumpulan wanita sedia ada, sebaliknya tampil dengan identiti tersendiri untuk menambat hati peminat.
Anggotanya, Jay, 23 berkata karakter unik anggota Juita membezakan kumpulan itu dengan kumpulan wanita lain, terutama De Fam dan Dolla.
“Kelebihan kami terletak pada karakter dan pembawakan diri yang berbeza. Kami tidak cuba menjadi orang lain, sebaliknya meneroka kelebihan masing-masing untuk menyerlahkan potensi kami di mata umum.
“Dalam Juita, ada yang membawa imej feminin dan ada pula lebih selesa dengan penampilan sedikit maskulin. Begitu juga konsep muzik kami yang memiliki identiti tersendiri,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia.
Juita dianggotai empat anak muda berbakat besar seperti Nur Aini Hayati Mustafa atau Aini, 25, Khairin Najihah Hisham Muddin (Kyerin), 23 Nurhusnina Haziqah Naharuddin (Nina), 26 dan Nurnajihah Azmi atau Jay, 23.
Kumpulan tersebut muncul dengan single pertama, Pendua yang dilancarkan secara rasmi pada 2 September lalu, manakala video muzik mula disiarkan di YouTube bermula 17 September lalu.
Lagu tersebut ciptaan sepenuhnya pasangan suami isteri, Akim dan Stacy.
Sementara itu, Aini berkata, Juita meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Akim dan Stacy untuk menentukan hala tuju mereka dalam industri seni muzik.
“Kami tidak mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang muzik. Jadi, kami serahkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan menentukan hala tuju muzik Juita yang bersesuaian dengan kelebihan dan perwatakan kami.
“Pendua adalah lagu pop dance yang menjadi pengenalan kami dalam industri. Kami berharap pendengar dapat menerima kehadiran Juita,” katanya.