Gosip cinta Reza Arap, susah juga jadi wanita cantik! - Rossa - Utusan Malaysia

Gosip cinta Reza Arap, susah juga jadi wanita cantik! – Rossa

ROSSA tidak melatah biarpun sering berdepan gosip cinta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Datuk Seri Rossa, 43, menyifatkan gosip cinta dengan pelakon, Reza Arap sekadar usikan nakal kerana antara mereka tidak pernah menjalin hubungan istimewa.

Rossa berkata, dia hairan apabila setiap kali berkawan baik dengan mana-mana lelaki, perkara itu pasti akan dijadikan bahan gosip untuk bualan ramai.

“Susah juga ya jadi wanita cantik! (ketawa). Maklum sahajalah, kita sendirian dan kebetulan pula gosip itu muncul ketika Reza sedang berdepan dengan isu keretakan rumah tangga.

“Hendak dijadikan cerita, Reza ada buat kejutan ketika saya sedang menjayakan persembahan di Playlist Festival, bulan lalu. Apabila dilakukan di atas pentas, sudah tentu ia cuma persembahan.

“Tidak mengapalah, saya hadapi usikan ini dengan ketawa. Sebetulnya, saya sudah sering dicuit kononnya bercinta dengan lelaki itu dan ini, sedangkan kami cuma bersahabat,” katanya.

Rossa berkata demikian ketika ditemui pada sidang media penganjuran Konsert Rossa 25 Tahun Di Kuala Lumpur, tengah hari tadi.

Penyanyi Atas Nama Cinta dan Hati Yang Kau Sakiti itu bagaimanapun, akur tidak mampu menghalang mulut orang daripada terus berkata-kata.

Namun, katanya dia hanya mampu menafikan dan menjelaskan kedudukan sebenar supaya khalayak tidak tersalah anggap.

“Orang zaman sekarang mudah sekali menaip dan memberikan komen di media sosial tentang apa yang mereka sangka serta fikirkan.

“Ada kalanya, saya ketawa sendiri membaca apa yang diperkatakan di media sosial. Ada saja yang mereka fikirkan.

“Pernah sekali saya tulis di Twitter, saya cuma suka lelaki bermata sepet. Tetapi, Reza tidak begitu bukan? Jadi, saya harap mereka faham,” katanya.

Ketika  ditanya mengenai khabar duka yang menimpa penyanyi dangdut terkenal Indonesia, Lesti Kejora, 23, yang sedang menjadi bualan ramai, Rossa berkata, sebagai rakan artis, dia memberikan kata sokongan dan mendoakan kesejahteraan buat wanita itu.

“Saya sudah anggap diri seperti kakak dan ada menghubungi Lesti apabila mendapat tahu kejadian yang menimpanya. Saya mengenali Lesti ketika dia mula berkenalan dengan suaminya.

“Ketika hampir melahirkan anak sulungnya, dia masih menyanyi pada konsert saya, Disember lalu. Saya doakan dia bersama anaknya berada dalam keadaan sihat dan selamat, fizikal serta mental.

“Semoga tidak ada lagi kejadian buruk menimpanya. Saya tahu ini ujian daripada Allah SWT buatnya,” katanya.

Pada minggu lalu, Lesti mengejutkan banyak pihak apabila mendakwa suaminya berlaku curang. Media Indonesia juga melaporkan suami penyanyi itu, Rizky Billar, 27,  dikatakan telah bertindak agresif dengan memukul dan menolak Lesti di atas katil sebelum mencekik sehingga wanita itu terjatuh di lantai.

Kes itu masih dalam siasatan polis mengikut Pasal 44 Undang-undang No.23 Tahun 2004 tentang Penghapusan Keganasan Rumah Tangga (UU PKDRT). Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dipenjara sehingga 15 tahun sekiranya mangsa mengalami luka berat atau meninggal dunia.

Lesti dan Rizky  mendirikan rumah tangga pada 19 Ogos 2021 serta dikurniakan cahaya mata lelaki, Muhammad Leslar Al-Fatih Billar.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya