Berkebolehan berbahasa Cina menjadi kelebihan dimiliki Aniqah Batrisya Mohd. Jusrizal, 11.
Murid sebuah sekolah aliran Cina di Subang, Selangor ini mula menunjukkan minat terhadap bahasa Cina sejak berada di tadika Smart Educare lagi.
Atas saranan ibu bapanya, Suhaini Shashim, 38, dan Mohd Jusrizal Aris, 42 diikuti dorongan daripada guru, beliau mengambil inisiatif mempelajari kelas asas bahasa tersebut di tadika berkenaan.
Hingga kini, beliau fasih bertutur dan menulis bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Hokkien dan Kantonis.
Anak sulung daripada tiga beradik ini memberitahu, dua adiknya turut bersekolah di sekolah jenis kebangsaan Cina ( SKJC).
“Minat mempelajari bahasa Cina kerana China merupakan salah satu negara berkuasa besar di dunia,” katanya yang bercita-cita menjadi guru atau jurubahasa.
Kata Aniqah, ayah dan ibu turut mementingkan pendidikan agama dan diberikan pendedahan awal mendengar alunan ayat suci al-Quran sepanjang masa.
“Saya mampu menghafal surah Al Khafi, Al Mulk, Al Waqiah serta beberapa surah lazim,” katanya.
Mengulas mengenai kebolehan diri, katanya beliau memiliki jadual rutin harian untuk diikuti.
“Ibu tidak berkompromi seandainya kami gagal menyiapkan kerja sekolah atau mengulang kaji pelajaran mengikut masa yang diperuntukkan,” katanya.
Aniqah menyatakan, ibunya memainkan peranan penting dalam hidupnya. Apatah lagi, ketika dia berada dalam kandungan, ibunya menghidap SLE iaitu Systemic Lupus Erythematosus adalah salah satu jenis penyakit lupus yang menyebabkan peradangan di hampir seluruh organ tubuh.
Difahamkan, doktor memberi kata dua jika diteruskan boleh mengancam nyawa si ibu atau kandungan perlu digugurkan.
Benarlah ada pepatah mengatakan, kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Ibunya enggan dan tetap dengan pendiriannya untuk memiliki cahaya mata.
Aniqah dilahirkan secara pembedahan, pun begitu ibunya mengalami pelbagai komplikasi selepas itu. Bagi diri Aniqah, ibunya memiliki semangat juang yang tinggi dan luar biasa.
Budak Cina Hitam
Aniqah yang memegang tali pinggang hitam dalam sukan taekwondo, berkata berkat usaha gigih disusuli dengan prestasi cemerlangnya, bermula pada November 2019 ketika berusia 8 tahun, dia dipilih menjadi barisan tenaga pengajar di atas bakatnya dan senioriti di sebuah premis pusat latihan taekwondo yang terletak di Taman Kinrara, Puchong, berhampiran rumahnya.
Terkenal dengan gelaran ‘budak cina hitam ‘ yang diberikan oleh rakannya di sekolah, Aniqah langsung tidak berkecil hati. Aniqah sebaliknya teruja dan seronok dapat menimba ilmu di sekolah berkenaan.
Pihak sekolah juga sentiasa mengambil cakna soal kebajikan, pendidikan dan tanggungjawab komuniti membabitkan hubungan dua hala antara guru, pelajar dan ibu bapa.
“Sepanjang bersekolah, tidak pernah wujud layanan berbeza dan diskriminasi. Seandainya terdapat sebarang majlis keraian, mereka pasti menempah makanan yang halal daripada pihak katering,” katanya yang gemar mempelajari pelbagai ilmu kursus kemahiran termasuk IQ Maths dan Incentive Maths.
Pelajar pintar ini sering kali memperolehi keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan. Antara resipi kejayaannya, dia memberitahu sentiasa menjaga hubungan baik dengan Allah SWT, ibu bapa, menghormati guru, membaca al-Quran dan berusaha selagi mampu.










