fbpx

Tiada strategi, hanya jujur bekerja – Syafiq Kyle

syafiq kyle
SYAFIQ KYLE

Industri filem dan drama tempatan menyaksikan kemunculan pelakon baharu bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Kehadiran mereka memberikan persaingan sihat buat pelakon sedia ada supaya bekerja lebih keras untuk terus kekal menjadi pilihan pengarah.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Syafiq Kyle berkata, dia tidak pernah merancang atau menyusun strategi tertentu untuk bertahan dalam industri hiburan.

Pemegang Diploma Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini sebaliknya, yakin hasil kerja terbaik yang dipersembahkan menjadi faktor yang menjamin kelangsungan kerjaya seseorang pelakon.

“Bagi saya, apa yang penting adalah komitmen dan semangat untuk memberi hasil kerja yang terbaik.

“Saya tidak nafikan, populariti memainkan peranan. Tetapi, ia tidak kekal kerana ada sahaja pelakon baharu yang lebih popular akan muncul dan mengambil alih kedudukan itu.

“Saya cuma tumpukan pada hasil kerja kerana sebagai pelakon, saya perlu memberikan yang terbaik untuk kepuasan penonton,” katanya.

Syafiq berkata, dia menjadikan pelakon lama yang masih bertahan sebagai contoh, malah sentiasa kagum dengan komitmen dan disiplin kerja mereka setiap kali berada di lokasi penggambaran.

“Saya kagum dengan pelakon lama seperti Faizal Hussein, Wan Hanafi Su dan Beto Kusyairy yang masih relevan sampai sekarang.

“Mereka tidak ada apa-apa strategi untuk kekal dalam industri seni, sebaliknya hanya berbekalkan semangat dan fokus untuk memberikan lakonan yang terbaik.

“Kita boleh merancang apa saja strategi, tetapi yang menentukan adalah Allah SWT. Sebagai pengkarya, kita hanya perlu jujur dan komited ketika bekerja,” tambahnya.

CINTA BUAT DARA

Lakonan mantap anak kelahiran Kuala Lumpur ini menerusi drama Cinta Buat Dara yang ditayangkan di slot Lestary, TV3 mendapat pujian ramai.

Menceritakan pengalamannya, Syafiq berkata, bukan mudah untuk menjayakan drama tersebut memandangkan mereka terpaksa mengejar masa.

“Semua pelakon yang terlibat terpaksa bekerja lebih keras untuk menghabiskan penggambaran.

“Bayangkan kami perlu habiskan 17 babak dalam satu hari. Berlakon pun kena cepat. Memang ia memberikan cabaran, terutama dari segi penghayatan,” kongsinya.

Drama 20 episod yang ditayangkan setiap Rabu hingga Sabtu, pukul 9 malam itu turut menampilkan Riena Diana, Sean Lee, Rozita Che Wan, Afifah Nasir dan Datuk Shah Rezza.

Kata Syafiq, keserasian yang wujud dengan Riena dan Sean membuatkan dia bersetuju menerima tawaran untuk menjayakan drama tersebut.

“Saya pernah berlakon dengan Riena, manakala Sean pula, ini kali pertama kami bergandingan. Selalunya, saya hanya menonton gelagatnya di skrin televisyen. Mereka adalah faktor yang membuatkan saya menerima tawaran ini,” ujarnya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!