Seni halus tekstil bukti budaya Melayu memukau - Utusan Malaysia

Seni halus tekstil bukti budaya Melayu memukau

ORANG Melayu memiliki budaya cukup memukau dengan kepelbagaian tekstil .
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kepelbagaian kategori tekstil bermutu tinggi dengan keindahan seni pembuatan halus yang dihasilkan oleh nenek moyang kita membuktikan bangsa Melayu bukan bangsa yang malas.

Lihat saja kain limar bersongket, iaitu tekstil yang paling sukar untuk dihasilkan tidak mungkin dapat dibuat oleh orang yang malas kerana ia memerlukan daya tumpuan yang tinggi serta memakan masa panjang untuk disiapkan.

Begitu juga dengan tekstil seperti songket yang memerlukan proses rumit seperti menyusun berpuluh, malah ratusan benang sebelum ditenun dengan teliti menjadi sehelai kain dengan corak yang cukup menawan.

Perkara itu didedahkan oleh pengumpul tekstil Melayu, John Ang yang menjelaskan, terdapat 12 kategori tekstil bermutu tinggi yang hanya dihasilkan oleh orang Melayu serta diwariskan kepada generasi hari ini.

“Siapa kata orang Melayu malas? Tidak mungkin orang malas boleh menghasilkan tekstil seperti ini yang begitu rumit untuk dibuat. Orang Melayu memiliki budaya cukup memukau dengan kepelbagaian tekstil berbeza selain rekaan kreatif seperti pucuk rebung yang boleh menghasilkan 1000 gaya.

“Orang Melayu perlu bangkit dan sedar inilah warisan yang perlu mereka pelihara, tetapi sayangnya seni tekstil ini semakin menghilang ditelan zaman. Hanya Wan Manang dan Zainab Mamat saja yang menghasilkan limar bersongket pada masa kini,” kata Ang kepada Utusan Malaysia.

Menyedari keindahan tekstil Melayu, anak kelahiran Chicago, Amerika Syarikat ini mula mengumpul tekstil Melayu sejak tahun 2014 dengan mengembara ke seluruh pelosok Asia dan menganjurkan pameran tekstil dunia Melayu bertemakan, ‘Splendours of Malay World Textiles’, bermula 24 Julai lalu sehingga 30 Oktober 2022 di Menara Ken, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

Terdapat 650 contoh tekstil halus yang dipamerkan di 10 ruang galeri berkenaan mempamerkan tekstil daripada songket, limar, telepuk, tekatan, pelangi, ikat loseng, batik, renda dan anyaman. Kesemuanya dari negara yang mempunyai jalinan persamaan dengan tekstil alam Melayu untuk dijadikan perbandingan.

Antaranya baju Melayu dan baju kurung yang diperbuat daripada raja tekstil iaitu songket berasal dari Semenanjung dan kebanyakannya hasil tenunan Terengganu dan Kelantan.

Songket kain panjang sembilan hasta dari Terengganu berwarna krim yang digunakan untuk acara bersiram pengantin Diraja, melatari dinding pameran, menyambut kedatangan pengunjung.

“Tekstil paling mahal yang digunakan pada masa dahulu untuk membuat baju Melayu adalah dari broked India atau songket India. Tekstil ini sudah berada di Tanah Melayu sejak berabad iaitu apabila Sultan Mahmud meminta Hang Nadim pergi ke India untuk membeli songket.

“Jadi, memang ada rekod dalam sejarah, keluarga Diraja sering membeli songket dari India sehingga Sultan Riau terakhir apabila lari ke Singapura, kakaknya mendermakan 35 baju-bajunya ke Muzium Negara dan 34 daripadanya adalah daripada songket India,” katanya yang tertarik dengan persamaan tekstil yang dihasilkan Melayu Nusantara.

Corak songket Cham dan Minangkabau ada sedikit persamaan iaitu menggunakan warna dan benang emas yang boleh dilihat pada seluar songket Cham dan selendang songket dari Batusangkar, Minangkabau.

Tambah Ang lagi, terdapat hubungan yang kuat antara kain sutera ikat atau limar Melayu dari Pantai Timur, Selatan Thailand, Kemboja, Vietnam, Selatan Sumatera dan Kepulauan Riau dengan India. Corak ikat boleh dilihat pada monumen seperti Angkor Wat, Muara Jambi dan batu di Lembah Bujang, Kedah.

Kain ajaib abad ke 17

Dalam dunia Melayu, patola dipanggil kain cindai tetapi ia sering dikelirukan dengan kain ikat atau limar.

Patola adalah tekstil ikat berganda di mana segumpal benang diikat dan dicelup dengan warna pada beberapa bahagian berbeza sebelum ditenun secara teliti. Limar pula menggunakan satu ikatan saja.

“Antara yang menarik adalah kain cindai yang dihasilkan pada abad ke-17. Mungkin anda tertanya mengapa ada banyak lubang pada kain ini. Sebenarnya lubang itu memang sengaja dibuat kerana ia adalah kain ajaib, digunakan untuk tujuan perubatan.

“Kain ini hanya dimiliki oleh ketua kampung kerana ia mahal berikutan cara membuatnya yang sukar. Mereka yang sakit akan datang berjumpa dengan ketua kampung dan beliau akan menggunting cebisan kain berkenaan untuk diberikan kepada pesakit. Kain itu direndam di dalam air untuk diminum airnya bagi mengubati penyakit,” katanya.

Turut dipamerkan tekstil yang dihasilkan dari negara Eropah seperti Austria dan Jerman dengan motif yang disesuaikan dengan alam Melayu seperti cetakan bunga mawar daripada England serta Jepun.

Batik bersurat dikeluarkan sebuah syarikat di Jerman memaparkan kalimah suci yang dipercayai digunakan untuk pertahanan diri ketika berperang dan kain yang digunakan untuk menutup keranda atau jenazah.

Ang berkata, usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan lagi industri tekstil Melayu yang semakin suram di negara ini.

Ini bagi memastikan orang Melayu terus berasa bangga untuk memakai pakaian tradisional warisan nenek moyang.

“Tidak dinafikan tekstil seperti songket sangat mahal kerana kos hendak menghasilkannya pun mencecah RM18,000 sehingga RM20,000. Lebih banyak ia dikeluarkan untuk dijual kepada orang ramai, harga akan lebih murah.

“Mengapa tekstil berharga ini tidak dipromosikan dan sampai bila orang ramai perlu membeli songket dari luar seperti Pakistan kerana harganya yang lebih rendah? Kalau boleh jangan benarkan songket dari luar dipasarkan di negara ini. Perlu cari jalan untuk mempromosikannya termasuk meningkatkan keupayaan mesin dan menjadikan ia lebih murah,” katanya.

Tegasnya, kepelbagaian tekstil ini boleh diguna pakai untuk aneka fungsi seperti dijadikan kain tekat, ikat loseng, batik dan sebagainya boleh dijadikan penutup muka atau tudung. Penggunaan tekstil ini akan menjadikan budaya lebih kaya dan menarik perhatian dunia.

“Saya sedih apabila melihat budaya unik dan indah ini semakin dilupakan. Sebagai contoh, pelamin untuk tujuan bersanding pun sudah menggunakan bunga tiruan. Sudah tiada lagi bunga rampai yang tujuannya sebagai merestui pengantin dan bunga telur sebagai lambang kesuburan.

“Justeru, saya anjurkan persembahan perkahwinan Melayu untuk tujuan pendidikan. Pertunjukan itu sangat istimewa kerana ia mempunyai pelbagai lambang dengan simbol yang tidak difahami generasi hari ini,” katanya.

Katanya sebagai orang luar, sememangnya beliau menerima kritikan daripada orang ramai yang menganggapnya cuba untuk mengajar orang Melayu mengenai budaya nenek moyang mereka.

Namun baginya, semua itu dianggap sebagai kritikan membina dan banyak yang beliau dapat belajar daripadanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN