Sayalah pengarah paling gembira di dunia - Syamsul Yusof - Utusan Malaysia

 Sayalah pengarah paling gembira di dunia – Syamsul Yusof

SYAMSUL bersyukur dengan pencapaian demi pencapaian yang dilakar Mat Kilau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Syamsul Yusof, 38, mengakui dia kini antara insan seni dan pengarah paling gembira di dunia apabila dihujani pelbagai mesej peribadi daripada peminat filem luar yang memberi maklum balas positif terhadap filem terbaru garapannya, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

Anak pengarah tersohor, Datuk Yusof Haslam itu berkata, maklum balas positif itu membuktikan filem Melayu mampu melangkah jauh untuk meraih perhatian dunia dan dia berbangga apabila Mat Kilau terus mendapat sambutan hebat apabila ditayangkan di platform penstriman, Netflix.

“Peminat dan penonton dari Jerman serta Israel, menghantar mesej di media sosial untuk memberi maklum balas mengenai Mat Kilau. Ia sekali gus menyuntik rasa bangga kerana filem Melayu berjaya meraih perhatian dunia.

“Terus-terang, selama ini, saya memang percaya filem kita mampu pergi jauh. Saya sudah lama menaruh keyakinan itu. Cuma,  sebagai pengkarya, kita perlu tahu apakah produk yang mahu diketengahkan untuk membawa nama Malaysia ke serata dunia.

“KIta juga kena tahu kandungan yang perlu dibawa, selain menyampaikan cerita atau mesej yang baik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tidak hanya mencipta fenomena di negara sendiri, Mat Kilau turut menguatkan pengaruhnya sehingga ke 15 negara, termasuk Israel apabila ditayangkan di Netflix.

“Alhamdulillah, Mat Kilau  sohor kini dan menjadi antara 10 filem paling top di saluran Netflix. Ini amat luar biasa kerana Mat Kilau bukan filem berbahasa Inggeris.

“Sukar  untuk saya hadam apabila ia tersenarai sebagai antara lima filem top di serata dunia. Kejayaan ini adalah sejarah, bukan saja untuk diri, tetapi juga buat industri perfileman tempatan. Saya hanya mampu sujud syukur. Tahniah buat semua barisan pelakon yang saya amat hormati, mereka adalah sahabat saya,” katanya.

Syamsul bagaimanapun, tidak menafikan berdepan tekanan untuk mengekalkan momentum penghasilan karya yang lebih baik, terutama selepas Mat Kilau mencipta kejayaan luar biasa.

“Tekanan ketika menghasilkan sesebuah karya itu sudah biasa. Setiap kali bekerja, saya memang akan menghambakan dan mengabdikan diri sepenuhnya kepada karya yang dibuat.

“Saya memang ‘take it personal’. Insya-Allah, saya akan cuba berikan yang lebih baik lagi selepas ini dalam karya seterusnya,” katanya.

Mula ditayangkan sejak 23 Jun lalu, filem itu memecah rekod kutipan tertinggi filem tempatan serta mengalahkan kutipan filem antarabangsa pernah ditayangkan di negara ini dengan jumlah kutipan menghampiri RM100 juta. Mat Kilau turut tersenarai dalam lima filem trending di Israel menerusi laman FlixPatrol.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya