PNB kota impian pelajar cemerlang - Utusan Malaysia

PNB kota impian pelajar cemerlang

AHMAD Zulqarnain Onn (depan, enam kanan) bergambar bersama penerima biasiswa pada Majlis Penyerahan Biasiswa kepada Pelajar Pengambilan 2020 dan 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Faktor kewangan keluarga yang tidak mengizinkan membataskan impian menimba ilmu ke luar negara. Ini diakui pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020, Faith Fernandez, 20, dari Kluang, Johor. Biarpun berkeinginan, impian itu hanya terbang dibawa angin kerana tahu ia pasti membabitkan kos kewangan yang mahal.

Namun, rezeki berpihak kepada anak kedua daripada tiga beradik itu apabila terpilih antara 24 penerima Anugerah Biasiswa Luar Negara Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam satu majlis, baru-baru ini.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Kluang yang meraih 6A+ dan 3A dalam SPM itu bakal memulakan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Kewangan di King’s College London, United Kingdom (UK), pertengahan bulan ini.

Katanya, peluang keemasan ke universiti terkemuka dunia itu akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi merealisasikan cita-cita bergelar penganalisis kewangan pada masa akan datang, sekali gus mengubah nasib keluarga.

“Ayah cuma peniaga kecil dan keadaan kewangan kami tidak berapa baik. Tanpa biasiswa ini, saya sekadar mampu ke Tingkatan Enam dan menyambung pelajaran di universiti dalam negara sahaja,” katanya.

Faith yang sebelum ini mengikuti pengajian persediaan di Kolej Yayasan UEM di Lembah Beringin, Perak merupakan kumpulan pelajar ke-24 yang ditawarkan melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka di UK, Amerika Syarikat (AS) dan Australia.

TERIMA EMPAT TAWARAN

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Norjalalikram Mohd. Nor, 20, dari Bachok, Kelantan berkata, empat tawaran melanjutkan pengajian ke luar negara diterimanya iaitu di New Zealand, Sepanyol, Korea Selatan dan AS.

Bagaimanapun, katanya, minat mendalam terhadap bidang komputer mendorongnya memilih University of California, Los Angeles (UCLA) di AS yang merupakan lokasi kelahiran internet.

“Sejak kecil saya mengimpikan untuk belajar ke luar negara dengan tajaan biasiswa, di samping turut merancang menjalani latihan praktikal di syarikat-syarikat terkemuka di sana.

“Tiga kakak serta abang saya bekerja di bidang kesihatan dan saya berjaya menyakinkan keluarga mengenai program komputer yang diambil memandangkan jaminan pekerjaan yang dijanjikan penyedia biasiswa,” katanya.

LEBIH 450 DAPAT MANFAAT

Sehingga kini, syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia itu telah menganugerahkan biasiswa kepada lebih 450 pelajar sejak dilancarkan pada 1996.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia itu telah menganugerahkan biasiswa kepada lebih 450 pelajar sejak dilancarkan pada 1996.

Katanya, tahun ini seramai 24 lagi penerima biasiswa dipilih dan kesemua mereka dijadualkan berlepas ke luar negara pada bulan ini dan Oktober depan.

“Saban tahun kita menerima lebih 3,000 permohonan daripada pelajar dan setelah proses ujian, temu duga dan kerja kumpulan, hanya sekitar 25 orang sahaja yang dipilih.

“Harapan kita agar kesemua penerima biasiswa dapat belajar bersungguh-sungguh dan pulang ke tanah air berkhidmat sebagai pemimpin masa depan PNB,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×