Perkenal Ukraine menerusi masakan - Utusan Malaysia

Perkenal Ukraine menerusi masakan

DAPUR adalah tempat kegemaran Yurii, beliau mahu membuktikan semua orang boleh memasak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SAYA berkerja dalam industri restoran sebagai pelayan sejak berusia 17 tahun. Daripada seorang pelayan hinggalah menjadi pengurus.

“Saya mempromosi makanan Ukraine di seluruh dunia sejak 10 tahun lalu. Ramai bertanya, apakah yang telah membawa saya kepada kejayaan dalam bidang ini? Jawapan saya sudah tentulah dengan berkerja keras dan lebih penting, keghairahan dalam melakukannya,” ujar Yurii Kovryzhenko, tukang masak atau cef terkenal Ukraine ketika ditemui di ibu kota, baru-baru ini.

Menyedari betapa pentingnya ‘diplomasi’ makanan Ukraine sebagai jambatan menghubungkan antara negara, beliau bertindak menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Luar Negeri Ukraine.

Yurii yang kini mempunyai sebuah restoran di London, UK yang diberi nama Mriya, dalam bahasa Ukraine yang membawa maksud mimpi, menjelaskan beliau gemar, menggabungkan teknik masakan Perancis yang rumit dalam hidangan Ukraine.

“Pada saya, konsep makanan ini sama macam konsep bahasa dan apa sahaja makhluk hidup iaitu sejenis organisma yang berkembang dari semasa ke semasa.

“Saya ingin menyampaikan mesej kepada tetamu kami dan memaklumkan kepada mereka bahawa Ukraine merupakan sebuah negara moden dan kreatif dengan warisan yang kaya dan hebat. Di restoran Mriya, kami akan melakukan perkara ini dengan bantuan ‘bahasa rasa’,” katanya yang telah menerima banyak anugerah dan pengiktirafan seperti Anugerah Cef Global 2017, Duta Rasa bagi Gastronomi Global 202 dan 2022 serta Pingat Emas Gastronomi 2021.

Beberapa produk asas dalam masakan Ukraine memang mudah untuk dikenal pasti. Sebagai contoh produk masakan Ukraine banyak diperbuat daripada keju susu lembu, kambing atau biri-biri.

“Makanan Ukraine selalunya dimasak di rumah. Oleh itu, saya mengesyorkan untuk mencari resipi serta memasaknya di rumah sahaja. Saya sangat gembira kerana internet dan penerbitan buku-buku, memudahkan orang ramai mendapatkan resipi,

“Sebagai contoh, terdapat banyak buku dalam bahasa Inggeris tentang makanan Ukraine seperti buku yang dikarang oleh anak tempatan Ukraine yang kini menetap di London, Olia Hercules. Saya juga akan cuba berkongsi resipi masakan saya dalam bahasa Inggeris di laman rasmi media sosial saya, terutamanya YouTube,” katanya.

Kelebihan makanan Ukraine adalah ia dimasak daripada bahan-bahan yang mudah dan senang difahami, tetapi rahsia keberhasilan makanan tersebut adalah dengan mempunyai kesabaran yang tinggi sewaktu memasak.

Duta masakan

Kehadiran Yurii ke ibu kota juga adalah bertujuan mempromosi masakan dan makanan Ukraine.

Nama Yurii Kovryzhenko cukup sinonim dengan masakan dan makanan Ukraine.

Beliau bukan sahaja dikenali di Ukraine, bahkan di luar negara. Beliau digelar sebagai Duta Masakan Ukraine di seluruh dunia.

Pada tahun 2012, Yurii melancarkan restoran Ukraine, ‘Kobzar’ di Tbilisi di mana dia menjadi ketua cef.

Dia menghabiskan dua tahun di Georgia dan pada masa itu, membantu mempopularkan masakan Ukraine di rantau Kaukasus.

Dia mempromosi makanan kebangsaan negaranya menerusi acara rasmi di Kedutaan, forum serta pertandingan antarabangsa.

Beliau juga diberi amanah sebagai tukang masak bagi pegawai kelas atasan dan elit politik.

Sejak Russia menyerang Ukraine pada awal tahun ini, Yurii memutuskan untuk terus menetap di London bagi menggerakkan aktiviti amal dalam mengumpul dana untuk membantu negaranya.

Dalam tempoh empat bulan sahaja, dia telah menjalankan lebih daripada 20 majlis makan malam amal dan berjaya mengumpulkan lebih daripada £500,000 (RM 2.631 juta).

Antara kaedah aktiviti amal tersebut, termasuk makan tengah hari untuk 1,000 orang di Grosvenor House, JW Marriott serta makan malam bersama cef-cef terkemuka dunia seperti Jamie Oliver, Jason Atherton, Tom Kitchin, Tom Sellers dan Tom Brown.

Memandangkan pengalaman dan pendidikan profesional akademik beliau tinggi, Yurii menganggap masakan Ukraine sebagai salah satu yang paling sukar dari segi penggunaan teknologi untuk memasak.

Namun, beliau masih menghormati cara masakan secara tradisional.

Pada masa sama, dia sentiasa mencuba pelbagai kaedah moden.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×