Pelan rawatan jangka panjang kawal psoriasis - Utusan Malaysia

Pelan rawatan jangka panjang kawal psoriasis

Psoriasis boleh terjadi kepada lelaki dan wanita berusia antara 30 hingga 39 dan 50 hingga 69 tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Psoriasis merupakan penyakit inflamasi kulit auto imun yang menyebabkan pesakit mempunyai simptom seperti kemerahan pada kulit, bertompok tebal dan bersisik.

Keadaan ini berlaku apabila sel kulit tumbuh pada kadar yang lebih cepat daripada biasa, sekali gus mengakibatkan sel baharu terkumpul dan membentuk tompokan kulit.

Ia biasanya dijumpai pada kulit kepala, siku, lutut, perut, kuku dan sendi.

Walaupun psoriasis tidak berjangkit, penyakit kronik ini tetap memerlukan kaedah kawalan awal menerusi pelan rawatan jangka panjang yang optimum.

Perunding Dermatologi Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Peter Ch’ng Wee Beng berkata, langkah itu penting kerana pesakit mungkin mendapat komplikasi, termasuk arthritis psoriatik.

“Sesetengah pesakit juga mempunyai arthritis, di mana sendi-sendi boleh mengalami keradangan.

“Oleh itu, kawalan awal perlu dilakukan dengan pelan rawatan jangka panjang bagi mengubatinya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Psoriasis boleh terjadi kepada lelaki dan wanita berusia antara 30 hingga 39 dan 50 hingga 69 tahun.

Dalam pada itu, Peter berkata, pengambilan vaksinasi Covid-19 tidak melemahkan sistem imunisasi pesakit psoriasis.

Jelasnya, kajian terkini mendapati vaksin itu efektif dan selamat kepada pesakit psoriasis, malah mereka turut digalakkan untuk menerima suntikan berkenaan.

“Kebanyakan pesakit mempunyai kencing manis dan darah tinggi, jadi golongan ini berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi yang teruk jika dijangkiti virus Covid-19.

“Selain demam, sakit lengan dan kelesuan, antara kesan sampingan yang mungkin dialami pesakit psoriasis ialah ruam yang lebih teruk, tetapi kebanyakan kes dapat dikawal dengan menggunakan krim sapu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN