Menyelam jejas pendengaran Ella - Utusan Malaysia

Menyelam jejas pendengaran Ella

AKTIVITI berenang dan menyelam memberi kesan kepada pendengaran Ella.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aktiviti berenang dan menyelam yang digemari selama ini, tanpa disedari memberikan kesan kepada pendengaran Ratu Rock, Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin.

Ella, 56, menjelaskan beliau mengalami ketidakseimbangan pendengaran sejak beberapa tahun lalu, berikutan kerap terdedah kepada tekanan dalam air ketika berenang, selain sering terdedah kepada bunyi muzik yang kuat.

“Saya sebenarnya memang suka berenang dan menyelam. Aktiviti itu saya lakukan setiap hari tanpa perlindungan pada bahagian telinga ketika berada di dalam air. Pendedahan kepada
bunyi kuat pula sejak berusia 16 tahun lagi menyebabkan pendengaran saya tidak seimbang.

“Menyedari masalah yang saya hadapi, saya ingin mencuba sendiri menggunakan alat bantu pendengaran dan rasa ‘best’. Pendengaran saya lebih jelas serta seimbang kiri dan kanan
telinga. Sebelum ini, pendengaran di telinga kiri saya lebih baik berbanding kanan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ella yang sedang membuat persiapan untuk menganjurkan konsert jelajah negara tidak lama lagi, berkata akan lebih peka dengan kesihatan pendengaran beliau selepas ini, termasuk
menggunakan alat perlindungan telinga bagi menghindar bunyi yang kuat serta ketika berenang.

Beliau sebelum itu ditemui pada majlis saringan pendengaran bersama ‘bintang’ anjuran Global Hearing Care Centre, baru-baru ini. Majlis berkenaan bertujuan memberikan pendedahan mengenai kesihatan pendengaran kepada golongan penyanyi dan pengiat seni yang terdedah kepada bunyi muzik yang kuat.

Pada majlis itu, penyanyi dan pengiat seni berpeluang menjalani ujian pendengaran bagi mengesan sebarang masalah pendengaran yang dialami. Antara penyanyi lain yang hadir, Zee
Avi, Jaclyn Victor dan Dinar Nazir.

Sementara itu dalam sesi perkongsian bersama media, Zee Avi menyedari kehilangan pendengaran sejak 2014 apabila sukar untuk mendengar butir perbualan orang berhampirannya.

Zee atau nama sebenarnya Izyan Alirahman, berkata masalahnya dikesan bapanya ketika mereka sekeluarga duduk semeja untuk makan malam. Zee kerap meminta bapanya yang
duduk selang satu kerusi daripadanya untuk mengulang apa yang diperkatakan oleh bapanya itu.

“Ayah meminta saya supaya pergi membuat pemeriksaan dan segala-galanya sudah terlambat apabila kedua belah telinga saya sudah hilang pendengaran pada frekuensi rendah. Saya perlu
menggunakan alat bantu pendengaran bagi membolehkan saya mendengar dengan lebih jelas.

“Masalah ini berpunca daripada pendedahkan kepada muzik yang kuat pada tempoh yang lama. Sebagai penyanyi, saya perlu berada di dalam studio dalam tempoh yang lama dan
tidak peduli dengan volume muzik yang dipasang,” katanya.

Beliau yang terkenal dengan lagu Kantoi, berkata terpaksa menggunakan alat bantu pendengaran berkenaan selama 13 jam sehari sejak setahun lalu. Walaupun pada
awalnya agak kekok memakai alat berkenaan, beliau dapat menyesuaikan diri dengannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.