Kejutan suami inspirasi Bunga.In.Heaven - Utusan Malaysia

Kejutan suami inspirasi Bunga.In.Heaven

FARAH puas apabila sentuhannya berjaya menggembirakan pelanggan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Semuanya bermula ketika menerima sejambak bunga mawar kejutan suami tercinta, Abdul Malik Yacob sempena ulang tahun perkahwinan, pada November 2016.

Secara spontan tercetus idea Nur Farahain Mohd Ali Sabri untuk membuka perniagaan gubahan hadiah Bunga.In.Heaven yang mula beroperasi sebulan kemudian di platform Instagram.

Nur Farahin, 33, yang mesra disapa Farah berkata, minat yang mendalam dalam mencipta dan menghasilkan seni kreatif gubahan antara sebab utama beliau memilih kerjaya ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kese­ronokan dan kepuasan dapat dicapai apabila berjaya menggem­birakan pelanggan dengan merealisasikan impian mereka untuk membuat kejutan kepada yang tersayang.

“Saya berasakan perniagaan ini sangat menarik dan unik kerana ia mampu mengukirkan senyuman insan istimewa tidak kira ahli keluarga atau rakan taulan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada peringkat awal, graduan Sarjana Pengurusan Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia ini menggunakan wang simpanan sebagai modal permulaan kira-kira RM500 dan beroperasi dalam ruang kecil di rumahnya.

Sokongan suami, ibu bapa dan keluarga menjadi pendorong utama anak kedua daripada empat beradik ini untuk terus melangkah mengukuhkan perniagaannya.

“Daripada peringkat awal, keluarga sentiasa memberi kata positif ketika saya memilih untuk menceburi bidang ini.

“Bahkan, mereka tidak lokek memberi bantuan kewangan saat saya memerlukan, terutama ketika proses awal pembukaan premis Bunga.In.Heaven,” katanya.

Rakan dan kenalan antara yang selalu membuat tempahan bukan sekali, malah berkali-kali yang membuatkan Farah lebih bersemangat untuk meneruskan perniagaan ini.

Dari ruang kecil ke premis baru

Graduan Sarjana Muda Sains Seni Bina, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang pernah bekerja sebagai pembantu arkitek ini terus mengorak langkah apabila Bunga.In.Heaven kini bertapak di premis yang terletak di Sungai Jerlok, Kajang, awal tahun ini.

“Ruang kedai ini dibahagikan kepada dua bahagian. Di hadapan, kami khaskan kepada pelanggan yang ingin datang melihat dan memilih sendiri gubahan hadiah mengikut citarasa mereka.

“Bahagian belakang pula khas untuk ruang menghasilkan gubahan,” katanya.

Purata tempahan sehari 10 sehingga 20 set gubahan diterima Farah dengan harga bermula serendah RM50 dan pelanggan boleh membuat pilihan mengikut kesesuaian bajet mereka.

“Secara asasnya, pelanggan boleh membuat pilihan gubahan sama ada bunga hidup, buah-buahan, coklat dan belon.

“Bunga.In.Heaven juga selalu diberi kepercayaan untuk menambah nilai eksklusif dalam gubahan dengan meletakkan barang mewah seperti barang kemas, jam tangan, telefon bimbit dan minyak wangi,” katanya.

Farah berkata, disebabkan rekaan dan idea gubahan sentiasa bertambah serta berubah dengan sangat pantas, beliau bersama pasukan perlu sentiasa peka untuk mengikut trend terkini.

“Bukan sahaja gubahan, tetapi kami juga perlu mahir menyunting gambar dan video untuk meningkatkan lagi perniagaan dalam talian menggunakan aplikasi Instagram dan Tiktok,” katanya.

Farah tegas berpegang pada prinsip: Jalan Terus! Lebih baik melangkah walaupun salah, daripada tidak melangkah sama sekali kerana daripada kesalahan, kita akan belajar sesuatu yang berharga.

“Dengan slogan Connecting Emotions, kami berharap dapat membawa lebih banyak senyuman,” katanya yang turut berazam menyediakan peluang pekerjaan kepada generasi muda yang mempunyai minat dalam bidang kreatif untuk lima tahun akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini