INDUSTRI seni kehilangan sebutir lagi permata yang banyak berjasa kepada dunia hiburan tempatan pada petang Jumaat lalu.
Mohd. Hakim Lokman atau lebih dikenali sebagai Bob Lokman menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kubang Kerian, Kelantan, kira-kira 3 petang akibat komplikasi jantung.
Allahyarham yang berusia 58 tahun meninggalkan seorang balu, Relawati Daud, 42 dan tujuh cahaya mata berusia lapan hingga 28 tahun.
Jenazahnya telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Bunut, Kubang Kerian sekitar pukul 9.30 malam hari sama.
Bob merupakan insan seni yang dihormati, banyak berbakti menerusi penulisan lirik lagu, pengacaraan, lakonan dan banyak lagi.
Allahyarham adalah penulis yang prolifik, menghasilkan banyak lirik malar segar yang masih menjadi siulan peminat muzik tanah air.
Antara lagu yang dihasilkannya adalah Intanku Kesepian dan Taman Rashidah Utama nyanyian kumpulan Wings, Isabella (Search), Segalanya Ku Terima (Illusi), Kerana Cinta (Exists), Pada Syurga Di Wajahmu (Nash) dan banyak lagi.
Pada 1992, Allahyarham dianugerahkan sebagai Penulis Lirik Terbaik bagi Anugerah Juara Lagu untuk lagu Pada Syurga Di Wajahmu.
Beliau adalah penerima terakhir sebelum kategori tidak lagi dipertandingkan secara berasingan dan dikira sekali dalam penciptaan lagu.
Allahyarham juga merupakan pelakon dan aktif mebintangi drama dan filem. Beliau pernah berlakon dalam tujuh filem seperti Yes, Tuan! yang diterbitkan pada 1996, Iskandar (2003), Jin Notti dan Santau ( 2009), Zoo dan Mantra (2010). Filem terakhirnya adalah Sekali Lagi pada 2011.
Bob juga pernah muncul dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, 2+1.com.my dan Tentang Bulan The Series.
Derita masalah jantung sekian lama
“Allahyarham sempat mengadu sakit sebelum meninggal dunia” kata adik Allahyarham Bob Lokman, Nik Azuddin Nik Yusoff, 51.
Kongsi Nik Azuddin, dia sempat memujuk arwah untuk mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
“Namun, arwah enggan. Dia sudah putus asa untuk melakukan rawatan. Saya sedih melihat keadaannya dan hanya mampu menggosok belakang badan arwah, selain meminta dia bertahan untuk seketika.
“Saya dimaklumkan dia sudah tiada kira-kira dua jam selepas saya pulang ke rumah,” katanya.
Allahyarham, yang sekian lama menghidap penyakit jantung pernah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah sekitar Disember 2020 untuk menjalani pembedahan bagi membetulkan degupan jantung.
Pada 3 Oktober 2021 pula, Allahyarham dimasukkan ke hospital yang sama bagi menjalani rawatan laser untuk memulihkan jantungnya.
Sekitar Jun tahun ini, Bob yang bergantung nyawa dengan jantung kombinasi bateri iaitu alat bantuan jantung, Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IADC) mendedahkan bateri jantungnya hanya berbaki 10 peratus dan boleh pergi menghadap Ilahi pada bila-bila masa.
Saya tidak boleh melawan takdir – anak
BUKAN mudah menghadapi kehilangan, apatah lagi yang pergi adalah insan yang kita sayang. Anak Allahyarham, Ahmad Suffian Mohd. Hakim mengakui, dia terkilan tidak banyak meluangkan masa bersama arwah sewaktu hayatnya kerana tinggal berjauhan.
“Selepas pulang daripada menziarahi pusaranya semalam, baru saya perasan kurang merakamkan gambar kenangan bersama arwah. Kali terakhir kami merakamkan gambar bersama adalah sekitar tahun 2009.
“Kalau arwah masih ada, saya ingin merakamkan gambar bersama dia sepuas-puasnya. Namun, sudah tertulis kita semua akan mati dan saya tidak boleh kesal. Masa tidak mampu diulang dan saya juga tidak boleh melawan takdir,” luahnya.
Cerita Suffian lagi, arwah ketika hayatnya banyak memberi nasihat dan dorongan, lebih-lebih lagi tentang kerjaya dalam bidang seni yang menjadi pilihannya.
“Kali terakhir saya bercakap dengannya adalah sekitar dua bulan lepas. Dia gembira dan merestui penglibatan saya sebagai hos dan pengacara majlis, berbanding menjadi penyanyi rap.
“Dua bulan terakhir pertemuan kami, dia banyak bagi input dan berborak tentang kerjaya saya. Nasihatnya agar saya lakukan sehabis baik, belajar dan banyak menuntut ilmu.
“Dia tidak pernah menghalang saya untuk menjadi penyanyi rap, sebaliknya berharap saya bercerita dalam lagu, tidak bermegah-megah atau bangga diri dan sentiasa berpesan-pesan dalam lagu yang yang saya tulis atau nyanyikan,” katanya.
Suffian menyifatkan arwah sebagai bapa yang cukup penyayang. Katanya, Allahyarham tegas dalam mendidik dan membesarkan anak-anak.
“Walaupun perkahwinan pertamanya gagal, dia tak mahu berpisah dengan anak-anak.
“Meskipun pada mata orang, dia kelakar dan suka berjenaka, arwah sebenarnya tegas dan sangat menyayangi anak-anak. Dia tidak pernah mengetepikan saya, meskipun saya tinggal jauh.
“Arwah tetap akan hubungi, bertanya khabar saya. Arwah tidak ada bandingan bagi saya,” ujarnya.
Kehilangan permata berharga – Nasir Daud
Anggota kumpulan Search, Nasir Daud menyifatkan Allahyarham sebagai anak seni yang banyak berjasa buat industri muzik dan juga kepada kumpulan Search.
Kata Nasir, industri kehilangan permata yang cukup berharga dan tiada ganti. Dia insan yang banyak berjasa kepada kumpulan Search dan industri muzik tanah air.
“Pemergiannya menjadi kehilangan besar kerana arwah telah tinggalkan kita dengan naskhah yang sangat baik untuk industri,” katanya.
Kata Nasir lagi, dunia seni tanah air tidak boleh menafikan kehebatan Allahyarham, yang pernah mencetuskan fenomena menerusi lagu Isabella nyanyian Search
“Kita tidak akan boleh lupa tentang sejarah Bob Lokman dan baktinya kepada industri. Pada saya, dia seorang penulis lirik berbakat besar.
“Dia penulis lirik yang baik dan perkara itu terbukti menerusi pelbagai anugerah yang pernah dimenanginya,” ujarnya.
Kali terakhir pemain bass Search ini bertemu arwah adalah sekitar tiga tahun lalu pada sebuah acara yang diadakan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Kata Nasir, ketika itu arwah masih boleh berjalan dan berborak seperti biasa.
“Selepas itu, kami jarang berhubung disebabkan dia tinggal Kelantan. Sama-sama kita doakan agar rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya lagi.










