Buka tudung? Saya tak gelap mata dengan duit - Linda Rafar - Utusan Malaysia

Buka tudung? Saya tak gelap mata dengan duit – Linda Rafar

LINDA diuji dengan pelbagai tawaran kerja yang lumayan sejak berhijab.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Linda Rafar mengakui, meskipun sudah lama berhijab, dia masih lagi menerima pelbagai tawaran berlakon, selain mempromosikan produk yang memerlukannya membuka tudung.

Anggota kumpulan Elite itu berkata, lebih menguji apabila tawaran tersebut datang bersama bayaran yang cukup lumayan, namun semuanya rela dilepaskan kerana tidak mahu dikatakan mempermainkan tuntutan agama.

“Banyak sebenarnya. Ada yang menawarkan watak tidak berhijab dengan bayaran tinggi, malah jenama antarabangsa juga memerlukan khidmat saya untuk mempromosikan produk mereka dengan syarat kena buka tudung.

“Saya pernah diminta penggiat industri supaya membuka tudung untuk menaikkan semula nama kerana mereka yakin lebih banyak tawaran akan diterima.

“Saya anggap ia sebagai ujian yang perlu dihadapi wanita berhijab yang berkecimpung dalam industri hiburan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kata Linda, tawaran lumayan itu mampu membuatkan sesiapa sahaja gelap mata dan rela melepaskan hijab demi kesenangan dunia.

“Memang sukar dan ada kalanya hampir membuatkan kita terpengaruh serta terfikir untuk melakukannya kerana ramai pelakon yang menerima tawaran bertali arus selepas menanggalkan hijab.

“Saya cuba kuatkan semangat dan istiqamah walaupun ia bukan mudah untuk dilakukan. Mungkin itu ujian Allah untuk melihat sejauh mana kekuatan iman saya. 

“Syurga bukan percuma. Kalau saya pilih jalan sebaliknya, maka sia-sia segala usaha saya ke arah syurga Allah. 

“Jadi, saya sentiasa berdoa dan meminta kepada Allah agar ditetapkan pada jalan yang telah saya pilih ini. Saya minta dilindungi daripada terpesong dan terpengaruh dengan godaan dunia,” katanya. 

Linda juga mengakui, sokongan orang tersayang, terutama keluarga sangat penting untuk seseorang wanita kekal istiqamah.

“Saya sentiasa pastikan diri mendekati alim ulama seperti Ustaz Wadi Anuar dan Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani. Mereka mengingatkan saya agar lepaskan dunia dan terus kejar akhirat.

“Keluarga pula mewujudkan kumpulan WhatsApp bagi membolehkan kami berkongsi tentang ilmu agama. Ia sangat membantu untuk mengingatkan dan memberi kesedaran kerana kita manusia biasa, tidak lepas daripada berbuat dosa.

“Paling penting, selalu berdoa  dan meminta kepada Allah agar dilindungi dan dielakkan daripada terpesong ke jalan yang salah. Kita tidak boleh sekadar bercakap, sebaliknya perlu meminta supaya urusan kita dipermudahkan Allah SWT,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.