Ugutan tak goyah semangat Sufian - Utusan Malaysia

Ugutan tak goyah semangat Sufian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sufian Aziz, 24, mendedahkan dia sebelum ini pernah diugut oleh netizen yang berniat jahat mahu menjatuhkan kariernya sebagai penyanyi.

Ugutan itu tercetus apabila dia bersuara tentang aktiviti tunjuk perasaan di Kuala Lumpur yang diadakan pada 2021. Aktiviti itu diadakan sebagai bantahan terhadap kerajaan dan menyentuh isu berkaitan kemelut politik dalam negara.

“Saya saja minta pendapat pengikut di laman Instagram dan kemudian saya post pendapat mereka. Malangnya, ramai yang tidak berpuas hati dan mengugut saya melalui akaun palsu.

“Mereka punya tidak puas hati sampai ada yang membuka akaun palsu semata-mata untuk mengugut mahu bunuh saya kalau keluarkan lagu baharu.

“Selepas terima pesanan begitu, saya terus block akaun itu. Saya tidak hiraukan mereka dan berharap mereka tidak akan ganggu saya lagi. Mujur, sampai hari ini saya tidak lagi terima pesanan seperti itu,” katanya.

Setakat ini, Sufian telah mengeluarkan single berjudul Manusia (2018), Selalu Ada (2021) dan yang terbaharu, Sumpah Mati.

Bercakap mengenai lagu terbaharunya, Sufian memberitahu, pada mulanya Sumpah Mati diberi tajuk Pelangi.

“Saya mencari sesuatu yang unik dan rare. Akhirnya, saya membuat keputusan ubah tajuk lagu ini kepada Sumpah Mati yang merupakan simbolik kepada ketelusan, kesungguhan dan keikhlasan seseorang.

“Lagu itu dicipta dan ditulis oleh Akmalul Azmi, MKS, Hans dan Alizufar yang merupakan bakat baharu dalam dunia penulisan.

“Lagu ini dirakamkan di Longan Studio pada awal tahun ini,” kata anak kelahiran Selangor itu.
Menurut Sufian, lagu itu mengisahkan tentang gambaran hidup yang seperti pelangi apabila bertemu dengan seseorang yang bagaikan bidadari.

Definisi pelangi yang dimaksudkan dalam lagu ini adalah cantik, indah, selain momen yang tidak dapat dilupakan.

Dalam pada itu, Sufian akui, walaupun agak sukar untuk bersaing, dia tetap mencabar kebolehan diri.

“Saya tidak menjadikan persaingan sebagai halangan untuk terus mencapai tahap tertinggi dalam industri seperti memenangi Anugerah Juara Lagu.

“Malah, saya suka bersaing dengan artis senior dan baharu kerana ia menjadi motivasi untuk saya terus berkarya dengan lebih kreatif,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya