Farawahida pilih Khai Bahar - Utusan Malaysia

Farawahida pilih Khai Bahar

FARAWAHIDA simpan impian untuk berduet dengan Khai Bahar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Seandainya diberi peluang menjalin kerjasama dengan penyanyi lelaki baharu atau Budak Baru Nak Up (BBNU) sebagai rakan duet, Farawahida Razali memilih untuk berkolaborasi bersama Khai Bahar.

Farawahida, 37, berkata, jejaka yang popular dengan lagu Luluh itu merupakan antara penyanyi pelapis yang memiliki vokal bagus, malah sudah membuktikan kemampuannya menerusi beberapa single yang mendapat sambutan ramai.

“Saya kerap ditanyakan soalan mengenai keinginan berduet dengan artis baharu atau  BBNU. Apa yang dapat saya katakan, tidak semua penyanyi yang digilap daripada aplikasi media sosial tidak berkualiti.

“Ada yang bagus, termasuk Khai Bahar. Malah, ramai lagi penyanyi seangkatan dengannya mempunyai suara yang baik. Kalau diberi peluang, memang saya ingin bekerjasama dengan Khai. Saya kenal dia daripada Smule dan kami pernah berduet dalam aplikasi berkenaan,” katanya.

Isteri kepada pegawai kerajaan bernama Zulkifli Alias itu yakin, mereka mampu mencipta keserasian apabila dipertemukan di studio rakaman.

“Tetapi, ini hanyalah angan-angan. Kalau jadi kenyataan, tentu ia sesuatu yang mengujakan untuk saya kongsi dengan umum,” katanya.

DItanya mengenai single terbaru, Aku Tak Sempurna yang dihasilkan Azlan & The Typewriter, Farawahida berkata, lagu yang menjadi runut bunyi bagi drama Demi siaran TV Okey itu membuktikan kerja nyanyiannya masih bernyawa.

“Lagu itu dirakamkan, setahun lalu. Diikutkan sudah lama saya tak menyanyikan lagu tema atau runut bunyi drama dan filem. Kerjaya nyanyian saya juga bermula dengan menyanyikan lagu tema pada 2006.

“Saya anggap lagu ini sebagai kesinambungan usaha saya dulu. Saya lihat kerjasama itu sebagai strategi promosi yang baik kerana lagu akan berkumandang di skrin TV dengan lebih kerap,” katanya.

Meskipun menaruh harapan tinggi untuk melihat single itu mencatat kejayaan, Farawahida menyerahkan perkara itu kepada ketentuan rezeki. Bercerita lanjut mengenai single terbaharunya,  Farawahida berkata, ia berkisar mengenai kehidupan manusia yang jauh daripada kesempurnaan.

“Saya juga pernah mengalami kegagalan dalam hidup apabila perkahwinan pertama musnah di pertengahan jalan. Saya belajar untuk reda dan sentiasa berdoa supaya diberikan Allah SWT pengakhiran hidup yang baik,” katanya.

Diusik pertanyaan mengenai dirinya yang kembali bahagia selepas berkahwin lagi pada Mac tahun lalu, Farawahida berkata, dia dan suaminya masih menanti masa untuk menimang cahaya mata.

“Pada usia sekarang, saya dan suami memang mengharapkan kehidupan kami diserikan dengan cahaya mata. Kami sudah pun membuat pemeriksaan doktor dan setakat ini, tiada masalah.

“Mungkin belum rezeki tetapi kami tidak pernah berputus asa,” katanya yang kali terakhir muncul dengan lagu duet bersama Datin Alyah, Mengapa Harus Aku pada 2017.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.