Debaran Aizat menanti detik 14 Ogos

Debaran Aizat menanti detik 14 Ogos

aizat
AIZAT Amdan bersama bakal isterinya, Elyssa Ilias pada sidang media pelancaran single terbarunya, Hanya Kita Dua.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelbagai emosi menyelubungi penyanyi, Aizat Amdan yang sedang menghitung hari menanti momen mendebarkan yang membawanya melangkah ke fasa baharu kehidupan.

Bakal menamatkan zaman bujang dengan wanita pilihannya, Elyssa Alia Ilias, 34, pada 14 Ogos ini, Aizat, 33, mengakui pelbagai persoalan menerjah di benak fikirannya sebelum dia membuat keputusan penting itu.

Selama ini, kata penyanyi Hanya Kau Yang Mampu itu, seluruh perhatiannya dipusatkan untuk mengukuhkan karier muzik yang dibina, membuatkan dia mengetepikan seketika urusan peribadi.
Namun, perkenalan dengan Elyssa yang juga pengurusnya mengubah seluruh pendiriannya. Selepas tiga tahun menyulam cinta, mereka akhirnya sepakat untuk mengukuhkan hubungan itu dengan ikatan pernikahan.

“Pada awalnya, saya tidak berapa yakin untuk berkahwin. Dalam benak fikiran saya sentiasa ada persoalan, apakah saya mampu menggalas tanggungjawab sebagai suami atau sebaliknya.

“Selama 13 tahun dalam industri, fokus saya sentiasa pada kerjaya kerana cinta mati saya adalah muzik. Saya pula memang suka menghiburkan orang. Boleh dikatakan saya ini agak ‘selfish’.

“Tetapi, Elyssa tenang dan banyak mengajar saya untuk menjadi seseorang yang tidak terlalu mementingkan diri. Dia telah membuka hati saya untuk berkongsi apa sahaja, termasuk perkara berkaitan soal hati,” katanya.

Ditemui pada majlis pelancaran single terbarunya, Hanya Kita Dua, baru-baru ini, pemenang anugerah Vokal Terbaik Dalam Lagu, Anugerah Industri Muzik (AIM) 2009 itu menyifatkan dirinya bertuah dipertemukan dengan wanita yang memahami dan menerimanya seadanya.

Katanya, Elyssa sentiasa memberikan pandangan dan idea dalam juga perkara yang dilakukan. Kematangan Elyssa juga membuatkan dia selesa untuk berkongsi apa saja cerita dengan bakal isterinya itu.

“Saya bertuah dipertemukan dengan wanita yang sangat memahami, malah sentiasa teguh menyokong kerjaya muzik saya. Disebabkan dia juga terlibat dalam bidang seni, jadi mudah untuk kami menyesuaikan diri.

“Dia antara insan yang sentiasa memberikan kata semangat dan sokongan untuk saya mengejar impian sebagai penyanyi dan pemuzik. Kehadiran Elyssa membuatkan saya tidak keseorangan dalam mengejar cita-cita,” katanya.

Bercerita detik perkenalan mereka, Aizat berkata, hubungan mereka bermula hanya sebagai kawan. Tanpa disedari, persahabatan yang terjalin itu membenihkan bibit-bibit cinta dan akhirnya membawa mereka ke alam perkahwinan.

“Lebih tiga tahun berkenalan, rasanya ini momen paling tepat untuk membawa hubungan kami ke fasa perkahwinan. Proses itu berjalan begitu saja kerana kami cuma mahu halalkan perkara yang baik.

“Dalam perjalanan hidup, pasti kita bertemu ramai orang. Dalam proses itu, saya dapat rasakan perjalanan yang berbeza apabila bersama Elyssa. Kematangannya membuatkan saya yakin untuk memulakan hidup bersamanya.

“Bersama Elyssa, saya tidak perlu menjadi orang lain. Seperti mana pihak media mengenali saya, begitulah juga perwatakan saya apabila bersama Elyssa. Alhamdulillah, dia menerima saya seadanya” katanya.

LAGU UNTUK BAKAL ISTERI

Ditanya tentang persediaan menjelang hari penting itu, Aizat berkata, semuanya berjalan seperti yang dirancang dan mendoakan majlis mereka nanti meninggalkan momen manis buat semua.

“Majlis pernikahan kami akan berlangsung di A-Park, Puchong, Selangor secara tertutup. Ia disusuli majlis resepsi yang diadakan di lokasi yang sama pada hari kami disatukan.

“Kami membuat persediaan seperti pasangan mempelai lain. Namun, tetamu yang datang akan dapat merasai keistimewaan majlis kami nanti,” katanya.

Menyentuh single Hanya Kita Dua, Aizat berkata, lagu itu menceritakan tentang perjalanannya dalam mencari cinta sejati. Lagu tersebut juga meraikan detik kegembiraan dalam hidupnya apabila bertemu dengan ‘jodoh’ yang dicari selama ini.

“Lagu ini sangat istimewa dan sememangnya saya tujukan kepada Elyssa. Hanya Kita Dua adalah nukilan untuk meraikan kegembiraan apabila saya bertemu jodoh. Ia adalah gambaran perasaan saya ketika ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya