Berkumandang talbiah memecah suasana keheningan pagi yang mendamaikan, diiringi kicauan burung dan mentari yang semakin menyinar, anak-anak kecil segak memakai ihram, bertelekung putih bersih suci mengelilingi Kaabah menjentik rasa dan menggamit nostalgia bagi yang pernah menjadi duyufurrahman (tetamu Allah) suatu ketika dahulu.
Itulah suasana yang diselami pada Program Simulasi Haji Cilik Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2022 yang berlangsung di Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan memberi gambaran sebenar menunaikan ibadah haji, sekali gus menanamkan cita-cita menunaikan rukun Islam kelima seawal usia.
Ketua Penolong Pengarah Unit Prasekolah, Ehsham Mat Hussin @ Setapha berkata, simulasi anjuran Unit Prasekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dengan kerjasama Zahafiz Travel & Tours Sdn. Bhd memberi pendedahan kepada murid secara praktikal tentang ibadah haji dan umrah.
Katanya, objektif utama program itu untuk memberi kefahaman terhadap konsep ibadah haji dan umrah sebagai satu pengenalan selain menarik minat murid terhadap mata pelajaran Pendidikan Islam.
“Acara ini memberi peluang anak-anak merasai sendiri pengalaman sebenar tatacara haji di mana mereka melalui lapan stesen seperti kaunter imigresen, wukuf, mabit, melontar jamrah, tawaf, sai, tahalul, air zam-zam dan korban,” ujarnya.
Guru Prasekolah Sekolah Kebangsaan Pantai Senak, Bachok, Anisah Abdullah berkata, simulasi itu turut memberi pendedahan lebih dekat daripada aspek teori dan praktikal secara langsung kepada anak-anak berusia enam tahun tentang rukun Islam kelima.
“Simulasi ini memang betul-betul seperti haji sebenar kerana murid-murid dibekalkan dengan modul, kelengkapan dalam kit haji seperti kain ihram, telekung, pasport, tiket penerbangan, lanyard dan gelang tangan.
“Kanak-kanak sangat gembira dan bersemangat ‘naik haji’ dengan bimbingan mutawif seolah-olah mereka sedang bermain satu permainan baharu, jadi program ini sangat bagus dan berkesan kerana memberi peluang anak-anak merasai sendiri pengalaman sebenar tatacara haji,” ujarnya.Program dimulakan dengan taklimat yang disampaikan oleh Zahafiz Travel & Tours Sdn. Bhd yang turut menyediakan replika Kaabah dan mutawif berpengalaman.
Peserta memasang niat (miqat) dalam kapal terbang yang disusun 10 kerusi. Ketika bermalam (mabit) di Mina mereka mengutip enam biji batu yang memberi pengertian bersedia dalam apa jua urusan, terutamanya melawan hawa nafsu.
Kemudian melontar jamrah di Mina di mana satu biji batu bagi setiap jamrah yang menunjukkan pentingnya untuk berjuang melawan hawa nafsu yang buruk dan bisikan syaitan.
Anak-anak syurga ini tawaf mengelilingi Kaabah bermula dari sudut hajarul aswad, melambaikan tangan kanan (istilam) dengan bahu kiri menghadap Kaabah. Ketika sai menyaksikan mereka berjalan beramai-ramai dan ada yang berlari-lari anak berulang-alik sebanyak tujuh kali dari Bukit Safa menuju Marwa.
Seterusnya tahalul yakni mencukur atau memotong rambut sekurang kurangnya tiga helai yang menandakan pembebasan seseorang daripada larangan atau pantangan ihram.
Hari Arafah merupakan hari kemuncak menunaikan haji di mana jemaah mengisi masa dengan berzikir, bertakbir dan bertahmid, jemaah haji meraikan Aidiladha sebagai kemenangan apabila dapat mengerjakan wukuf pada hari Arafah, melontar di Mina, bermalam di Muzdalifah, tawaf dan saie menyaksikan lautan manusia tenggelam dalam kekusyukan lalu gugurlah dosa seperti bayi yang baru lahir.
Dalam simulasi ini mereka menyaksikan ibadah korban dengan replika lembu bagi mengingati pengorbanan teragung Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail di samping membantu orang miskin dengan mengagihkan daging.
Ibadah korban merupakan salah satu syiar Islam yang amat dituntut dan perlu dihidupkan oleh setiap umat Islam setiap tahun jika berkemampuan maka, bila Allah beri nikmat sudah pasti sikap seorang hamba adalah bersyukur di atas segala kurniaan-Nya.










