Anuar Zain kongsi tips buat konsert dengan Ernie, Syamel - Utusan Malaysia

Anuar Zain kongsi tips buat konsert dengan Ernie, Syamel

SYAMEL dan Ernie bakal menjayakan konsert solo pada 23 Oktober depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PETALING JAYA: Penyanyi berbakat besar, Ernie Zakri mendedahkan, dia kerap berjumpa bapa saudaranya yang juga penyanyi terkenal, Anuar Zain, bagi mendapatkan tips dan panduan untuk beraksi pada konsert berskala besar.

Menurut Ernie, dia turut membawa buku bagi menyalin segala pesanan penting penyanyi  Sedetik Lebih itu untuk dimanfaatkan pada konsertnya yang bakal berlangsung pada 23 Oktober depan.

“Kami memang selalu ajak dia keluar lepak bersama bagi ‘mencuri’ tips. Lagipun, dia sudah banyak menjayakan konsert dan sangat berpengalaman. Saya siap bawa buku dan menyalin pesanan yang dia berikan,” katanya.

Bakal beraksi bersama suaminya, Syamel dalam Konsert Syamel Dan Ernie Zakri : Aku Cinta di Zepp Kuala Lumpur, Ernie berkata, mereka turut menghadiri beberapa konsert bagi mencari inspirasi dan melakukan sedikit ‘homework’ sebagai persediaan.

“Kami ambil peluang menghadiri beberapa konsert yang diadakan tahun ini bagi mencari inspirasi dan membuat ‘homework’ kerana ini kali pertama kami beraksi dalam persembahan berskala besar.

“Kami masih tidak dapat bayangkan lagi bagaimana apabila berdiri di depan penonton nanti, selain ingin memastikan konsert berjalan dengan lancar dan tersusun.

“Semua ini perlu dibuat dengan teliti dan kami banyak belajar perkara itu daripada pengamatan menerusi konsert artis lain,” ujarnya.

Sementara itu, menyentuh harga tiket untuk konsert mereka yang dikatakan tidak terlalu membebankan, Syamel memaklumkan, mereka menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada syarikat pengurusan, Rocketfuel Entertainment.

“Kami meletakkan 100 peratus kepercayaan kepada Rocketfuel Entertainment dalam menentukan harga tiket. Kami percaya harga ditetapkan dibuat dengan teliti dan berbaloi dengan persembahan yang bakal kami berikan.

“Jika ramai mengatakan harganya murah, ini berita yang positif. Kami berharap lebih ramai dapat hadir menonton konsert itu. Tambahan pula, kebanyakan pengikut kami di media sosial adalah remaja. Sekurang-kurangnya mereka mampu mendapatkan tiket kerana harga ditawarkan berpatutan,” tuturnya.

Tiket Konsert Syamel Dan Ernie Zakri : Aku Cinta di Zepp Kuala Lumpur dijual mulai 15 Ogos ini  pada harga RM500 (Diamond), RM400 (Platinum), RM300 (Gold), RM250 (Silver) dan RM200 (Bronze).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya