KUALA LUMPUR: Pelakon, Nelydia Senrose meluahkan rasa syukur dan bahagia atas keikhlasan serta pengorbanan suaminya, Mohd Hafez Halimi dalam memimpin ke jalan Allah.
Titipan tersebut dikongsikan pelakon itu menerusi akaun Instagram miliknya beserta beberapa keping gambar kenangan ketika mengerjakan ibadah haji, wukuf di tanah Arafah.
“Syurgaku…terlalu banyak usaha, pengorbanan dan besar pelaburanmu untuk kita menjadi tetamu Allah. Niat dan keikhlasanmu untuk ke jalan Allah sangat ku kagumi.
“Dia (suami) tidak berkira-kira untuk memberi yang terbaik demi jalan Allah. Dia juga menjagaku dengan penuh hormat dan kasih sayang.
“Dialah sebaik-baik rezeki buatku dari yang Maha Agung. Moga Allah satukan hati kami hingga ke syurga-Nya,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Nelydia merakamkan penghargaan kerana berpeluang menjadi tetamu Allah dan berharap umat Islam lain turut diundang sama bagi mereka yang sudah lama menanti.
Menjengah di ruangan komen, Hafez tampil membalas coretan tulus isterisnya.
“Ya Allah, perkara ini juga tidak akan berlaku tanpa doamu juga sayang. Terima kasih kerana menjadi isteri yang baik. Awak adalah anugerah terindah dalam hidup saya dari Allah,” komen Hafez.
Untuk rekod pasangan ini berkahwin pada April 2019 selepas melalui fasa perkenalan sejak April 2017.