KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) telah menganjurkan Panggung Seni Tradisional (PST) yang diadakan pada 24 dan 25 Jun lepas bertempat di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) Kuala Lumpur.
Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd. Yusop dalam satu kenyataan berkata, program tersebut merupakan usaha bagi memastikan kelestarian seni persembahan tradisional dapat diteruskan dan sebagai langkah pemeliharaan seni warisan negara.
“Pada masa yang sama, ia juga diadakan bertujuan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab persembahan tradisional serta salah satu produk pelancongan negara.
“PST telah dilaksanakan sejak tahun 2013 dengan menampilkan 51 kesenian tradisional yang merangkumi tarian, muzik dan teater.
“Ia melibatkan 103 kumpulan kesenian yang menggabungkan pelbagai agensi kerajaan, universiti awam dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Tahun ini PST kembalI menemui peminat dengan menyajikan lima pengisian persembahan menarik dan ditunggu-tunggu penggemar seni budaya seluruh Malaysia,” ujarnya.
PST kali ini dimeriahkan dengan Teater Tradisional Wayang Kulit, Himpunan Zapin Alam Melayu. seni pergendangan dan tari etnik Punjabi, muzik dan tarian klasik Cina dan banyak lagi.
Antara artis tempatan yang tampil memeriahkan acara adalah Norhasmidar Ahmad, Azizul Haqim Md. Anuwar, Rasyidah Abd Rahim dan Abdul Rah’man bin Mahadi.
Dalam pada itu, Mesran berkata JKKN sentiasa komited terhadap usaha untuk memartabatkan kesenian tradisional melalui program seperti PST itu.
“Pelaksanaannya menjadi medium yang sangat bertepatan dalam usaha menyemarak dan melestarikan seni budaya warisan negara agar tidak lapuk ditelan zaman bahkan terus membara untuk generasi akan datang” katanya.










