Jangan asal ada tawaran, ambil - Sharifah Amani

Jangan asal ada tawaran, ambil – Sharifah Amani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Sharifah Amani menasihatkan ibu bapa agar tidak mengeksploitasi anak-anak mereka yang ingin memasuki bidang seni sama ada menjadi penyanyi, pelakon dan sebagainya.

Kata Sharifah, ibu bapa perlu memainkan peranan, memantau dan mendidik anak-anak tentang dunia hiburan yang ada cabarannya tersendiri.

“Sebagai ibu bapa, mereka kena faham apa itu industri seni dan kenapa anak-anak mereka mahu masuk bidang ini. Kalau untuk popular dan kaya, mungkin boleh cari bidang lain.

“Penjaga kena betul-betul didik (anak-anak) dan jangan eksploitasi mereka. Kalau anak mereka berbakat, pupuk dengan cara betul. Bagi pendidikan, masukkan sekolah tarian, lakonan dan sebagainya. Ajar mereka tatatertib dan disiplin agar mereka bersedia dengan ilmu.

“Jangan asal ada tawaran, ambil. Remuk budak-budak itu nanti. Anak, bila meningkat dewasa, mereka boleh buat keputusan sendiri. Tapi, ketika mereka masih bawah umur, didik dengan tatatertib. Ibu bapa saya buat begitu. Mereka orang seni, jadi mereka faham disiplin sebagai anak seni. Sebab itu mereka yakin untuk lepaskan kami, anak-anak mereka, untuk menjadi pelakon pada usia muda,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sharifah mengulas tentang penglibatan kanak-kanak dalam industri seni pada usia muda.

Kata pelakon filem Sepet itu lagi, ibu bapa juga perlu melindungi anak-anak mereka yang terjun ke dalam bidang lakonan pada usia terlalu muda.

Katanya, tindakan itu penting bagi mengelakkan anak-anak dimanipulasi oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

“Industri seni bukan industri yang mudah. Kita baca dan dengar cerita-cerita menakutkan tentangnya. Kalau perkara-perkara tidak elok berlaku kepada orang dewasa, apatah lagi kanak-kanak?

“Di Malaysia kita belum ada undang-undang khusus yang melindungi penggiat seni, lebih-lebih lagi mereka yang di bawah umur. Jadi ibu bapa perlu mainkan peranan. Tapi kalau nak pantau, kenalah bersikap profesional dan faham etika dalam bekerjasama.

“Ketahuilah industri seni bukan tempat main-main, untuk popular dan semata-mata untuk kaya. Ini adalah industri yang memberi semula kepada budaya, bangsa dan negara menerusi kerja-kerja seni,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN