KUALA LUMPUR : Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Mohd Nafidz Haji Abdul Razak dinobat sebagai Emerging CEO Of The Year daripada Global Business Leadership Award 2022.
Menurut Mohd Nafidz, anugerah itu terus menjadi aspirasi buatnya untuk memacu dan memimpin Kumpulan Mega Zahran (KMZ) dengan lebih dinamik terutama dalam membantu masyarakat peka terhadap penjagaan kesihatan diri.
“Selepas kita bergelut dan masih dihantui dengan Covid-19, dunia termasuk Malaysia sendiri didatangi dengan penularan virus penyakit lain pula termasuk Influenza, denggi, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) serta demam viral serta macam-macam lagi.
“Justeru usaha kami untuk berjuang dan sama-sama melawan penyakit tidak terduga di samping masyarakat ini tidak akan pernah ternoktah. Kita hanya mampu berusaha dan memanjangkan ikhtiar semoga kesembuhan menyebelahi diri.
“Kita saling memerlukan. Ibu bapa sendiri berjuang dengan anak yang sakit. Warga emas yang kurang upaya turut menagih perhatian keluarga. Kesemua golongan ini sentiasa menjadi sasaran utama kami yang ingin sentiasa dibantu,” katanya.
Jelas Mohd Nafidz, dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada seluruh masyarakat, KMZ terus mengukuhkan program pelesenan dan kreativiti model perniagaan di dalam sektor kesihatan.
“Impian saya dan seluruh warga kerja mahu menjadikan KMZ sebagai platform bantu masyarakat di samping mendidik kepimpinan dan keusahawanan kepada semua barisan usahawan pelesenan kami. Malah, kami mahu terus berbakti dengan menjadi agen kesihatan yang menyediakan platform perkhidmatan kelas pertama di mana-mana bagi kemudahan pesakit.
“Kami mahu bantu memudahkan masyarakat dengan perkhidmatan saringan pandu lalu 24 jam, klinik mobil ke lokasi untuk pesakit yang tak boleh keluar rumah. Walaupun tak mudah untuk mengadakan servis ini, namun ia tetap diusahakan untuk diadakan setiap hari termasuk hujung minggu dan juga cuti awam,” katanya.
Mohd Nafidz juga berharap impian dan cita-cita menterjemahkan KMZ atas paksi amal dan kemanusiaan juga dapat direalisasikan kelak.
“Besar harapan saya untuk membuka klinik percuma kepada golongan miskin dan asnaf suatu hari nanti. Ini juga cara kami memberi semula kenikmatan diperoleh kepada mereka yang tidak bernasib baik.
“Saya percaya proses memberi semula kenikmatan diperolehi ini membawa keberkatan seperti mana kita berkongsi rezeki atau bersedekah. Moga impian ini akan lekas jadi kenyataan,” katanya.
Terdahulu, sekitar Februari lalu, KMZ meraih kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai The Brandlaureate-Bumiputera Best Brand Award’ kategori Healthcare Integrated Private Clinic 2022.
Kejayaan demi kejayaan diperolehi menjadi penanda aras baru dalam iltizam dan perjuangan sebagai satu jenama Bumiputera yang terbaik di Malaysia.
Disifatkan antara jenama ‘penting’ di era pandemik lalu,pembabitan golongan terkenal termasuk artis menjadi medium pengaruh serta promosi terbesar selain rezeki mudah buat jenama itu pantas dikenali dan menjadi sebutan.
KMZ beribu pejabat di Bandar Baru Bangi Selangor.
Selain Mohd Nafidz, isterinya, Datin Ummul Khairiyah Abdul Rahman atau mesra dengan nama Kak Long di posisi Ketua Pemasaran & Pengkomersilan jenama itu juga dilihat antara ‘ejen’ penting KMZ yang kerap berkongsi kesedaran, input dan info terutama mengenai Covid-19.