KUALA LUMPUR: Meskipun sudah bertaraf legenda, penyanyi, Hetty Koes Endang merasakan dirinya masih perlu untuk terus melatih vokal dan mempelajari asas nyanyian.
Kata penyanyi berusia 64 tahun itu, seorang penyanyi, tidak kira berpengalaman atau tidak, perlu terus belajar teknik nyanyian yang betul.
Katanya, amalan itu yang membuatkan dirinya masih mampu menjaga mutu suara sehingga ke hari ini.
“Tak perlu malu. Ada tenaga pengajar yang melatih. Siapa? Biarlah menjadi rahsia.
“Saya tidak suka dengan artis yang sombong. Merasakan diri mereka sentiasa hebat.
“Saat ini, saya perlu (belajar vokal),” katanya.
Hetty berkata demikian usai sidang media Konsert Jubli Emas Hetty Koes Endang bertempat di Berjaya Time Square Hotel dekat sini, baru-baru ini.
Hetty bakal bergabung dengan pengarah muzik tersohor, Datuk Ramli MS dalam konsert yang akan diadakan pada 27 Ogos itu nanti.
Kata Hetty, Malaysia merupakan rumah kedua yang dekat dihatinya. Justeru dia berbesar hati untuk meraikan penglibatan 50 tahunnya dalam industri seni suara di negara ini.
“Saya sering berada di sini, lebih-lebih lagi ketika diundang menjadi juri untuk Gegar Vaganza 8.
“Saya pernah berada lama di Malaysia, sekitar tahun 1991. Tiga tahun di Kuala lumpur, dua tahun di Johor bahru. Saya rindukan suasana, lebih-lebih lagu di bulan Ramadan. Makanan-makanan di sini. Musang King.
“Tetapi saya belum puas untuk mendekati peminat di sini. Suami kata kenapa saya tak buat konsert. Alhamdulillah, ternyata peminat di Malaysia juga memberi sokongan,” jelasnya.
Konsert Jubli Emas Hetty Koes Endang yang dianjurkan Mahakarya Empire Sdn Bhd akan berlangsung di Manhattan Ballroom, Berjaya Time Square Hotel Kuala Lumpur. Tiket boleh didapati menerusi ILASSOTICKETS.COM.
– habis –
Harga tiket:
VVIP – RM11,700 (satu meja enam orang)
VIP – RM8,700 (satu meja enam orang)
PLATINUM – RM6,640 (satu meja lapan orang)
GOLD – RM4,560 (satu meja lapan orang)










