LAKARAN lukisan mural mewarnai sekitar bandar Kabul yang musnah akibat konflik.Ketidaktentuan dan kesukaran dihadapi wanita Afghanistan dalam masyarakat yang didominasi lelaki menjadi tumpuan utama pada lukisan mural yang dipersembahkan.
Bangunan terbiar atau separuh musnah di Kabul sering digunakan untuk menghasilkan lukisan mural kontemporari bagi menggambarkan wanita sebagai berkeyakinan, berkuasa dan bercita-cita tinggi.
Seni halus itu juga merupakan medium bagi mengekspresikan pelbagai emosi antaranya rindu dan tentangan, harapan dan patah hati serta kebebasan dan ketakutan yang membelenggu setiap jiwa di Afghanistan.
Siapa sangka di sebalik lukisan itu, ia adalah sentuhan kreatif seorang artis jalanan, Shamsia Hassani yang juga merupakan artis grafiti wanita pertama di Afghanistan.
Shamsia berpengalaman menghasilkan lukisan mural di 15 negara lain.
Pada 2014, majalah Foreign Policy menyenaraikan Shamsia sebagai antara ‘100 tokoh pemikir terbaik dunia’.
Malah, Shamsia juga muncul dalam buku edisi kedua Good Night Stories for Rebel Girls 2, sebuah kompilasi profil memaparkan wanita yang menjadi game changer dari seluruh dunia.
Di sebalik pemerintahan Taliban di Afghanistan, Shamsia terus menyiarkan hasil karya seninya dalam media sosial sehingga memberi inspirasi kepada ribuan wanita di seluruh dunia.
Malah, ia turut memberi harapan baharu kepada golongan artis wanita di Afghanistan.
Shamsia menggalakkan ratusan rakyat Afghanistan mengetengahkan kreativiti mereka menerusi festival grafiti, kelas seni dan pamerannya di pelbagai negara di seluruh dunia.
LATAR BELAKANG
Shamsia dilahirkan pada 9 April 1988 di Iran.
Ibu bapanya merupakan pelarian Afghanistan yang tinggal di Iran.
Shamsia pulang semula ke Afghanistan pada 2005 untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan seni lukis dan seni visual di Universiti Kabul.
Dia berjaya menamatkan pengajiannya pada peringkat ijazah sarjana muda ketika menceburi bidang grafiti dan seni jalanan pada tahun 2010.
ARTIS BERDEPAN ANCAMAN
Sebelum ini, kebanyakan penganalisis dan aktivis hak asasi manusia percaya kerajaan Taliban akan melaksanakan sekatan bersifat draconian dan hukuman maut kepada wanita sepertimana dilakukan semasa memerintah Afghanistan pada tahun 90an.
Golongan itu berdepan ancaman iaitu kedudukan sebagai wanita dan pekerja industri kreatif yang mana Taliban pada masa lalu menganggap perkara itu melanggar undang-undang Islam.
“Ada orang berpendapat seni tidak dibenarkan dalam Islam dan mereka merasakan perlu menghalang saya.
“Sekiranya ramai individu yang berfikiran sempit bergabung, dikhuatiri mereka boleh berkuasa dan melakukan apa sahaja,” kata Shamsia dalam satu temubual bagi The Creators Project pada 2016.
MENGUBAH PERSEPSI
Keupayaan grafiti untuk menonjolkan secara terbuka cabaran diharungi wanita Afghanistan serta kekuatan mereka merupakan antara sebab Shamsia memilih untuk bekerja dalam medium berkenaan.
Shamsia mahu mengubah persepsi orang ramai terhadap wanita Afghanistan termasuk mereka yang memakai burka sehingga menutup seluruh badan dan muka.
“Saya cuba menunjukkan gambaran lebih besar berbanding realiti mereka ketika ini.
“Saya memaparkannya dalam bentuk moden, kebahagiaan, pergerakan dan mungkin menggambarkan golongan wanita itu lebih kuat daripada apa disangkakan.
“Karya seni itu mampu membuatkan orang melihat mereka secara berbeza,” katanya kepada Street Art Bio.
Shamsia turut menggunakan karya seni untuk memberi respon balas secara langsung terhadap serangan Taliban dan kumpulan pelampau lain dengan menghasilkan mural yang mengetengahkan kesakitan dan kehilangan.
Sebuah karya komposit paint-on-photograph dihasilkannya pada November 2020, memaparkan kesedihan selepas serangan ke atas Universiti Kabul.
Satu lagi lukisan berwarna kelabu dihasilkan pada Mei 2020 sebagai tindak balas terhadap serangan maut ke atas sebuah wad bersalin di hospital negara itu.
WANITA TAK BERMULUT
Kebanyakan wanita digambarkan dalam karyanya tidak mempunyai bahagian ‘mulut’ dan sering dikaitkan dengan elemen semulajadi atau sesuatu instrumen.
“Saya guna mereka (instrumen muzik) sebagai simbol bagi wanita untuk menyuarakan pandangan mereka.
“Wanita boleh menggunakan instrumen muzik untuk bercakap dengan orang, menyatakan pandangan dan mendapat perhatian diperlukan kerana tidak mempunyai mulut.
“Malah, instrumen ini turut memberi kuasa kepada wanita untuk lantang bersuara dalam masyarakat,” katanya kepada DW dalam satu temubual pada 2018.
Menurut Shamsia, mata wanita dalam lukisan mural juga sentiasa tertutup kerana tiada perkara baik yang berlaku di sekelilingnya.
Katanya, lukisan demikian dihasilkan kerana wanita yang di potretkan kadang kala kabur dengan masa depan sendiri.
“Jadi, mata wanita sentiasa tertutup, namun itu tidak bermakna dia tidak sedar perkara yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya.
ATASI KETAKUTAN SENDIRI
Sifat umum grafiti menarik minat Shamsia yang berpandangan ia merupakan antara cara berkesan memperkenalkan seni kepada individu yang tidak berpeluang mengunjungi galeri mahupun muzium.
Sebagai seorang artis wanita Afghanistan yang bekerja dalam bidang kreatif di Kabul walaupun ketika bandar itu berada di bawah kawalan kumpulan Taliban, ada risikonya tersendiri.
“Saya berasa takut setiap kali berada di tempat awam. Saya juga takut ketika letupan berlaku sepanjang masa.
“Amat sukar bagi artis wanita membuat grafiti dan seni jalanan kerana biasanya ramai tidak berpuas hati dengan aktiviti dilakukan itu. Jadi saya sentiasa berwaspada sepanjang masa,” katanya.
Shamsia mengakui lebih gemar menghasilkan grafiti di ruang kecil di sekitar jalanan di Kabul supaya dia boleh melengkapkan kerjanya dengan cepat.
Untuk mengelakkan masalah, dia mula mengambil gambar bangunan dan melukis grafitinya terus pada gambar berkenaan.
Shamsia menggelarkan teknik itu sebagai siri Dreaming Graffiti.
Dia juga pantas menyiapkan kerjanya di studio sehingga membawa kepada pelbagai keluaran karya seni yang merangkumi kanvas berskala besar hingga siri lukisan kecil pada mata wang dolar Amerika.
RASA BERPUTUS ASA
Disebalik kejayaan dicapai dalam dunia seni, Shamsia mengakui kadang-kala berasa putus asa kerana masih tidak dapat membawa perubahan besar dalam komunitinya.
Bagaimanapun, dia kekal komited untuk memberi kekuatan kepada rakyatnya menerusi karya seni yang dihasilkan.
“Saya rasa dapat mengubah pandangan masyarakat dengan karya seni saya, malah turut berkongsi idea dengan mereka,” katanya.
Shamsia pernah menghasilkan karya yang memaparkan nasib wanita dan kanak-kanak perempuan di Afghanistan agar golongan itu tidak dilupakan.










