PETALING JAYA: Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, turut merasai kehilangan penyanyi dan pelakon terkenal, Allahyarham Adibah Noor yang meninggal dunia pada Sabtu.
Perkara tersebut dikongsikan penyanyi lagu popular Seribu Kemanisan itu menerusi satu hantaran di entri Instagram miliknya.
Menurut Siti, dia memuji keperibadian Allahyarham dan menyifatkannya sebagai seorang yang merendah diri, tidak lokek ilmu serta seorang penghibur sejati.
Selain itu, penyanyi itu juga menzahirkan rasa kagum terhadap arwah selalin mendedahkan dirinya sentiasa menantikan persembahan penyanyi lagu popular Terlalu Istimewa itu dalam satu-satu majlis dan acara.
“Takziah buat keluarga arwah kak Adibah Noor. Semalam semasa pengajian bersama ustaz Wadi Anuar di rumah, saya dapat berita pemergian insan yang disayangi ramai.
“Sempat kami beramai-ramai mendoakan arwah. Kak Adibah, sepanjang mengenalinya, seorang yang sangat disenangi, suka berjenaka, tidak lokek ilmu, merendah diri serta penghibur sejati.
“Saya selalu kagum bila dengar arwah bercakap apatah lagi bila menyanyi… bila dalam satu majlis, saya akan sentiasa ternanti-nanti nyanyian arwah… istimewanya arwah,” katanya.
Mengulas lanjut, Siti memohon orang ramai sedekahkan Al-Fatihah selain mendoakan agar penyanyi berkenaan ditempatkan bersama insan terpilih.
“Tetapi kini Arwah telah pergi meninggalkan kita pulang ke negeri abadi. Kita juga akan pulang bila sampai masanya..
“Marilah sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah yang pernah buat kita ketawa dan menyentuh hati kita dengan kebaikannya.
“Semoga arwah ditempatkan bersama insan terpilih di sana. Ya Allah, ampunilah dia dan kasihanilah dia Ya Allah,” tulisnya panjang.
Allahyarham mengembuskan nafas terakhir di Hospital Gleaneagles pada petang Sabtu, akibat kanser ovari tahap empat.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2, Taman Keramat, kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.










