Hiasan Islami Jauhari, serlahkan seri ruang kediaman - Utusan Malaysia

Hiasan Islami Jauhari, serlahkan seri ruang kediaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Bermula daripada pengalaman mencari hiasan dinding untuk kediaman sendiri, pengasas Seni Jauhari, Jauhari Abdul Rahman kemudiannya meneruskan idea untuk menghasilkan hiasan dinding islamik yang eksklusif dan elegan pada harga berbaloi.

Selepas 14 tahun beroperasi, Jauhari juga sehingga kini telah membuka lima buah cawangan dengan antaranya di Shah Alam, Bandar Baru Bangi, Mutiara Damansara, Johor Bahru dan Kota Bharu.

Galeri pertamanya mula dibuka pada tahun 2008, di Shah Alam, Selangor. Seterusnya tahun ini, jenama itu meluaskan empayarnya di Kota Bharu, Kelantan.

“Sebelum pandemik, kami banyak dan aktif menyertai ruang pameran dan ekspo. Ketika itu, kesedaran mengenai jenama ini banyak diketahui ramai dan menarik pembeli menerusi cara sebegitu.

“Bagaimanapun, kini kami menukar perspektif itu dengan menggalakkan lebih ramai berkunjung ke galeri Jauhari untuk lebih menikmati, mendekati, menghargai dan membuat keputusan bijak sebelum membeli hiasan dinding yang kami hasil dan pamerkan.

“Betul orang kata, tak kenal, maka tak cinta. Jadi sebaiknya datang ke galeri untuk mengelak membuat keputusan yang silap jika hanya bersandarkan melihat iklan atau gambar produk kami di media sosial. Rata-rata yang datang ke galeri  pun tidak menyangka harga ditawarkan tidak ternilai dengan kualiti dihasilkan,” katanya.

Tambahnya lagi, dengan berkunjung ke galeri, pembeli atau pengunjung lebih menghargai apa yang ditawarkan.

Malah kebanyakan yang berkunjung akan terpegun melihat keunikan hiasan dinding yang dipamerkan yang diperbuat 100 peratus hasil buatan tangan.

“Hingga kini, kami sudah membantu lebih dari 20,000 buah kediaman di seluruh Malaysia mendapatkan seni Islamik dan kontemporari yang eksklusif serta elegan bersesuaian dengan konsep keseluruhan hiasan dalam kediaman. 

“Malah,syukur kehadiran kami mula diterima luas dan menjadi pilihan artis, orang kenamaan dan VVIP,” katanya.

Ditawarkan daripada harga di antara RM2,500 hingga RM7,000, hiasan dinding yang ditawarkan turut mencecah harga puluhan ribu menerusi koleksi yang lebih premium. 

“Hiasan dinding yang dipamerkan termasuklah yang menggunakan metal art di mana seni kaligrafi buatan tangan digunting dan dilekatkan di atas baldu. Tidak ketinggalan lukisan cat minyak, cermin Venetian dan clay art.

“Lima elemen yang kami tawarkan terdiri daripada metal, kayu, minyak, kaca dan campuran pelbagai elemen.

“Hiasan dinding ayat suci Al-Quran seperti Asmaul Husna dan Ayat Kursi antara yang menjadi pilihan ramai bagi menaikkan seri di kediaman mereka,” katanya.

Kekuatan jenama ini juga bukan bersandarkan kualiti yang ditawarkan atau cuba memenuhi  citarasa pelanggan semata-mata, tetapi khidmat selepas jualan yang ditawarkan turut menjadi keutamaan.

“Setiap barang akan dihantar dan dipasang sendiri oleh pasukan kerja kami. Jadi tidak akan wujud masalah seperti dipasang senget atau tidak teliti. 

“Kebanyakan produk kami berat, jadi pasukan kerja sedia berkhidmat kerana ianya termasuk dalam pakej beli dan pasang sekali,” katanya.

Adat berniaga, galeri utama Jauhari di Shah Alam turut terkesan dengan bencana banjir yang berlaku hujung tahun lalu.

“Ketika itu kami dalam proses mahu membuka galeri di Kota Bharu dan menyediakan stok produk bulan Ramadan. Malah kebanyakan hasil tempahan diletakkan di situ.

“200 hiasan dinding terkesan dengan bencana itu hingga menyebabkan kerugian yang dianggarkan  hampir RM300,000. Namun kami redha dengan ujian ini,” katanya.

Jauhari turut memaklumkan wujud sindiket scammer yang menggunakan gambar produk mereka untuk menipu orang ramai.

“Sindiket itu menawarkan harga yang murah, tetapi selepas pembeli memasukkan deposit duit ke akaun bank peribadi, mereka akan terus lesap bersama duit tersebut.

“Difahamkan ada lebih 10 orang sudah menjadi mangsa penipuan. Kami meminta mereka membuat laporan polis dan berharap tidak senang terpedaya.

“Itu juga punca utama kenapa kami menggalakkan peminat untuk berkunjung terus ke galeri Jauhari. Di samping itu, pengunjung juga boleh mendapatkan khidmat nasihat yang percuma dari penasihat-penasihat kami bagi mendapatkan hiasan dinding yang betul-betul sesuai untuk kediaman mereka,”katanya.

Pada masa mendatang, dua buah lagi cawangan kedai akan dibuka di Ipoh, Perak dan Kuantan, Pahang. 

Malah, mereka turut menjalinkan kolaborasi bersama Royale Chesterfield dengan mempamerkan hiasan dinding Seni Jauhari di setiap galeri perabot berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya