fbpx

Bukan pilihan pengarah, Hairi Safwan pernah dilayan ‘dingin’

KUALA LUMPUR: Pelakon, Hairi Safwan, 34, mendedahkan pernah menerima layanan ‘dingin’ di set penggambaran hanya kerana dirinya bukan pelakon ‘pilihan’ pengarah.

Kata Hairi, dia terkilan dan merasakan pengarah drama atau filem perlu bersikap profesional meskipun bekerja dengan pelakon yang bukan pilihan mereka.

“Saya kecewa, perkara ini tidak seharusnya berlaku. Stesen televisyen mahukan saya sebagai pelakon, namun saya bukan pilihan pengarah.

“Memang tak seronok. Tapi ketika menjayakan drama itu, saya cuba bertenang, berbincang dan banyakkan bersembang. Ada masa okey dan masa tidak

“Perkara ini juga berlaku kepada pelakon yang lain, terjadi depan mata kepala saya sendiri,” katanya.

Hairi berkata demikian ketika hadir ke Sidang Media Muzikal Moyang Salleh yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.

Dalam pada itu, juara program Anak Wayang musim pertama itu berkata dia mengalu-alukan kehadiran pempengaruh media sosial dalam mewarnai industri drama dan filem tempatan.

Katanya, pelakon lebih berpengalaman seharusnya bersikap lebih terbuka dan berlapang dada dengan kewujudan golongan itu dalam industri seni.

“Kita tak boleh persoalkan latar belakang mereka. Influencer, Youtuber dan sebagainya, saya tak kisah. Pada saya itu rezeki masing-masing.

“Sebagai pelakon berpengalaman, kita kena ada sifat kebersamaan. Bantu mereka dan beri tunjuk ajar. Keadaan akan menjadi lebih positif begitu.

“Cumanya, saya mengharapkan sikap positif dalam set. Agar semua dapat bekerja dalam keadaan yang lebih tenang,” ujarnya.

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!