Al-Fatihah buka hati masuk Islam

Al-Fatihah buka hati masuk Islam

Pegawai dan kakitangan Majlis Ugama Islam Pahang bersama penduduk Orang Asli ketika Program Ziarah dan Suaikenal di Kampung Orang Asli Bantal, Lipis, Pahang baru-baru ini. – utusan/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Al-QURAN merupakan salah satu mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW. Kitab suci ini bukan hanya untuk dibaca semata-mata, tetapi sebagai panduan utama kepada seluruh umat Islam dalam mencari dan meraih keredaan Allah.

Allah SWT berfirman bermaksud: Apabila al-Quran itu dibacakan, dengarkan dan diam supaya kamu beroleh rahmat. (Al-A’Araf: 204).

Begitulah pentingnya al-Quran, apabila ada dalam kalangan ahli keluarga atau sahabat membaca al-Quran, kita perlu mendengarnya dengan penuh ketenangan supaya memperoleh rahmat.

Bagi dua orang wanita mualaf keturunan Orang Asli dan India mempunyai cerita di sebaliknya bagaimana mereka memperoleh hidayah untuk memilih Islam sebagai jalan hidup (addin) sehingga ke akhir hayat.

Hanya mendengar lantunan suara rakan di sekolah membaca surah al-Fatihah setiap hari ketika menunaikan solat lima waktu dan belajar di kelas, membuka pintu hati kedua-duanya untuk mendekati Islam serta berakhir dengan melafazkan kalimah syahadat.

ISLAM AGAMA SUCI

Pengalaman ini diceritakan saudara baharu Orang Asli etnik Semai, Innayah Norfatimah Rashid, 29. Katanya dia agak asing mengenai Islam kerana diasuh oleh ibu bapanya serta masyarakat Kampung di Pos Lenjang, Lipis yang mempercayai kuasa alam dan survival hutan atau lebih tepat tidak ada agama.

“Namun sewaktu belajar dan tinggal di asrama sebuah sekolah menengah di Cameron Highlands pada 2001 segala-galanya berubah. Saya lebih berfikiran terbuka setelah bergaul dengan ramai pelajar Melayu termasuk titipan ilmu daripada guru di kelas.

“Ketika di sekolah, saya kerap mendengar bacaan Alfatihah ketika mereka mengikuti pembelajaran Pendidikan Islam. Malah surah itu turut sinonim kedengaran di cuping telinga apabila rakan saya (pelajar Melayu) menunaikan solat lima waktu dan bertadarus al-Quran di asrama,” katanya ketika ditemui di sebuah majlis jamuan untuk saudara baharu anjuran Majlis Ugama Islam Pahang (Muip) Kuala Lipis baru-baru ini.

Jelas Innayah, rutin harian rakannya di asrama seperti berdoa sebelum makan dan tidur, ketika mula belajar, berpuasa di bulan Ramadan serta berdoa sewaktu berbuka puasa dan ibadat lain membugarkan hatinya untuk mendekati Islam.

“Apabila berada di Tingkatan Lima, saya bertekad menjadi seorang muslim. Tetapi hasrat saya pendamkan dahulu sehingga selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Lagipun, saya bimbang menceritakan hasrat kepada kedua ibu bapa memandangkan mereka sangat jumud dengan pemikiran masih percaya kepada kuasa alam yang diwarisi dalam etnik Semai di Kampung Pos Lenjang,” katanya.

REZEKI ALLAH

Menurut Innayah, setelah terpendam hampir dua tahun, seolah-olah sudah diatur Allah SWT, dia bertemu jodoh dengan seorang lelaki warga Indonesia beragama Islam, Adi Sutanto Paryuno, 29, ketika bertugas sebagai pekerja pembersihan di sebuah klinik kerajaan di bandar Kuala Lipis.

“Rakan mensyorkan saya berjumpa dengan Pegawai Majlis Ugama Islam Pahang (Muip) Lipis untuk urusan pengIslaman dan kemudian kami berkahwin,” katanya.

Begitupun Innayah mengakui hasrat memeluk Islam bukan sebab mahu berkahwin sebaliknya cintakan Islam.

“Kalau belum bertemu jodoh pun saya akan tetap memeluk agama Islam kerana Islam merupakan panduan hidup sebenarnya berbanding dengan kepercayaan lain,” katanya.

Tanpa sedar sudah sembilan tahun Innayah bergelar saudara baharu.

“Saya masih terus mendalami Islam. Berkat mendalami ilmu saya turut berkemampuan mengaji menerusi kelas bimbingan Muip dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim),” katanya.

‘Masuk Islam bukan sebab nak kahwin’

Pengalaman sama turut dikongsi mualaf keturunan India, Nuraishah Abdullah, 43, yang menerima hidayah setelah kerap kali mendengar surah Al-fatihah dan bacaan doa dilafazkan oleh rakan sekelasnya di sebuah sekolah menengah di Seremban, Negeri Sembilan.

Pergaulan dengan rakan bangsa Melayu bukan sahaja di sekolah malahan dalam kalangan jiran bangsa Melayu turut mendekatkan hati dan raganya terhadap ajaran Islam.

“Bemula usia 18 tahun ketika di Tingkatan Lima, saya sudah boleh membaca surah Al-fatihah setelah kerap mendengar rakan menunaikan solat berdekatan bilik di asrama termasuk doa harian.

“Terbit keinginan dan tekad memeluk agama Islam lalu saya nyatakan hasrat kepada kedua ibu bapa, tetapi terus ditentang dan tidak benarkan saya menjejakkan kaki ke rumah lagi sekiranya menukarkan agama asal keluarga, iaitu Kristian kepada Islam,” katanya.

Allah meng­aturkan kehidupannya cantik dan sempurna apabila bertemu jodoh dengan pemuda Melayu dari Kampung Bukit Betong, Lipis ketika dia bekerja di Seremban.

“Saya memeluk Islam dan kemudian menikahi suami saya sekarang, Mohd. Suhaimi Yassin pada 1997. Kami menetap di kampung suami kerana hasrat saya memeluk Islam tidak diterima oleh keluarga saya.

“Selepas hampir 20 tahun terputus hubungan dengan ibu bapa dan keluarga, akhirnya saya menulis surat supaya mereka datang berjumpa kami sambil memohon supaya melupakan peristiwa lalu serta berdoa semoga Allah SWT membuka pintu hati mereka memaafkan saya,” katanya.

Nuraishah dengan nama asal, Anne Christina Dewi berkata, berasaskan ajaran Islam, dia akan tetap taat dan menghormati ibu bapa walaupun mereka menganut agama lain menyebabkan dia teruja untuk berjumpa kedua insan tersebut.

“Saya bersyukur surat saya dibalas oleh bapa. Saya mengundang bapa berkunjung ke rumah saya di Bukit Betong. Pertemuan pertama dua tahun lalu (sebelum wabak Covid-19) juga adalah rahmat Allah SAW apabila mereka gembira dan merestui kehidupan saya sebagai seorang Islam,” katanya.

Tegas Nuraishah, seperti rakan mualaf, Innayah Norfatimah, dia memeluk agama Islam bukan semata-mata untuk berkahwin, tetapi sebelum itu sudah beriltizam untuk mengisi kehidupannya sehingga akhir hayat sebagai seorang muslim.

Ibu kepada lapan orang anak berusia antara 8 hingga 24 tahun ini tidak lupa dengan surah al-Fatihah dalam kehidupan hariannya malahan sudahpun boleh membaca al-Quran dan mengamalkan ibadat lain menerusi bimbingan Muip dan Perkim.

Sementara itu, Pengurus Cawangan Muip Lipis, Aliuddin Abdul Halim @ Bakar berkata, sehingga ini kira-kira 200 orang mualaf atau saudara baharu keturunan Cina, India, Orang Asli dan Iban sudah memeluk Islam sejak lima tahun lalu.

“Muip dan Pejabat Kadi Lipis sentiasa mendekati hal ehwal kebajikan golongan mualaf di sini dengan memberikan bantuan barang keperluan dapur termasuk mengatur majlis pengIslaman bagi mereka yang mula melafazkan kalimah syahadat dan majlis walimatul urus (pernikahan) setiap tahun.

“Setiap Ramadan, Muip dan Pejabat Kadi turut mengatur program ziarah, iaitu majlis berbuka puasa dan solat terawih. Kami turut mengadakan jamuan Hari Raya Aidilfitri bagi menghimpun kalangan mualaf jauh dan dekat di daerah ini,” ujarnya.

Muip dan Perkim turut menganjurkan kelas Fardhu Ain dan bacaan al-Quran pada hujung minggu di sebuah premis bandar Kuala Lipis.

Ziarah dalam kalangan mereka yang sakit dan kurang berkemampuan turut selalu dilaksanakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya