Artis jadi tahi dadah: Gam, gantung atau beri peluang? - Utusan Malaysia

Artis jadi tahi dadah: Gam, gantung atau beri peluang?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU artis dengan gejala penyalahgunaan dadah bukan satu yang hal yang baru. Sehinggakan ada yang menganggap, ia adalah sebahagian daripada sisi gelap dunia glamor hiburan yang kononnya menjanjikan seribu satu keindahan.

Namun, harus dipersetujui, kerana segelintir yang terlibat, ramai yang kemudiannya memandang serong kepada industri. Kononnya, semua tak boleh dipercayai, pandai berlakon. Walhal, tidak semua begitu.

Lalu, selama mana kita hendak menutup mata jika sudah terang lagi bersuluh, memang ada yang terjebak dengan dadah? Masih boleh membenarkan mereka terus mencipta popularitikah? Masih benarkan mereka keluar TV kah atau lebih baik senaraihitamkan sahaja mereka ini seumur hidup?

Mungkin ada pelbagai pertikaian, namun di bawah adalah apa antara komen yang kami raih berhubung isu ini.

Penagih bukan contoh terbaik, gam sahaja – Fiza Thomas
Bagi pelakon Fiza Thomas pula, artis-artis yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah seharusnya digam demi menjaga kelestarian indusri seni tanah air.

“Isu dadah bukan isu kecil malah kesalahan yang memberi kesan kepada masyarakat juga.

“Penagih dadah sudah semestinya bukan contoh yang terbaik untuk ditampilkan pada masyarakat. Pada pendapat saya, tindakan ini amat sesuai.

Dalam senario pekerjaan apa sekali pun, perlu jaga tatatertib dan reputasi,” katanya.

Fiza juga berpandangan tindakan disenarai hitam perlu dilaksanakan supaya mereka (golongan artis) ingat kesan daripada perbuatan tersebut.

Kata pelakon Suamiku Lelaki Pendosa itu lagi, pemikiran skeptikal khalayak terhadap artis ibarat kalis hukuman dan masih boleh popular walaupun berdepan kesalahan dadah perlu dihakis sama sekali.

“Stigma inilah yang perlu diubah. Pihak berwajib sendiri perlu keluarkan syarat kepada stesen televisyen swasta khasnya, tentang keperluan tidak menggaji artis-artis yang terlibat kes dadah,” ujarnya tegas.

Gantung sahaja, janganlah sampai ‘buang’ terus… – Ameerul Asyraf

Bagi pendapat pelakon meningkat naik, Ameerul Asyraf, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebaiknya menggantung sahaja mana-mana artis yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

“Dadah itu mungkin mudah didapati. Jadi mereka ambil tanpa berfikir panjang. Bagi saya, Finas boleh mengambil tindakan untuk menggantung mereka.

“Hukuman gantung nama mereka daripada berlakon adalah tindakan yang sesuai, tetapi janganlah sampai ‘buang’ mereka terus.

“Mungkin boleh memberi mereka tempoh untuk memperbaiki diri dan menyambung semula penggambaran. Namun, mereka perlu juga dipantau,” katanya ketika ditemu bual.

Mengulas lanjut, pelakon drama 28 Hari Mencari Cinta itu juga berpendapat jika segelintir mereka yang masih tidak dapat meninggalkan perbuatan tersebut walaupun dalam masa pemantauan, sebaiknya dikenakan tindakan yang lebih berat.

Selain itu, dia tidak menafikan segelintir artis itu mengambil dadah atas sebab tujuan tertentu namun itu bukan satu alasan melepaskan diri.

Salah tetap salah. Pun begitu, Ameerul mencadangkan agar menukar gaya hidup yang lebih sihat daripada mengambil bahan terlarang itu sebagai sumber ‘penguat’ diri.

“Jika masih terlibat, mungkin mereka boleh diberi tindakan yang lebih berat atau memanjangkan lagi tempoh digantung.

“Bagi saya, mungkin mereka mengambil jalan mudah mengambil dadah untuk melindungi diri. Namun, undang-undang di Malaysia ini memang tidak boleh diambil ringan.

“Jadi, mereka boleh mengambil inisiatif lain bagi mengelak pengam­bilan dadah kepada sesuatu yang sihat untuk kehidupan lebih baik dan fokus,” tuturnya lagi.

Peluang sentiasa ada – Ezad Lazim
Bagi penyanyi bersuara ‘emas’, Ezad Lazim, seseorang penagih tegar itu tidak memerlukan perkara lain, selain sokongan dan bimbingan yang padu untuk membawa mereka keluar daripada terus bergelumang dengan ‘najis’ dadah.

Dia yang satu ketika dahulu pernah melalui pengalaman sama, memohon agar penagih dibantu sehingga mereka berjaya keluar, bukan terus dihukum dan dijauhi masyarakat.

“Pada saya, bimbingan dan sokongan adalah yang paling utama untuk membantu mereka yang terjerumus dengan ‘najis’ dadah ini.

“Penagih tegar memerlukan dua perkara itu selain kekuatan untuk berhenti daripada terus bergelumang dengan ‘benda’ itu.

“Perubahan dalam masa yang singkat bukan satu perkara mudah. Badan-badan berkaitan, seperti pusat pemulihan dadah, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan sebagainya wujud sebab untuk membantu penagih keluar dari gejala ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ezad juga berpendapat seseorang penagih itu tidak akan berjaya keluar sekiranya tiada keinginan kearah itu.

“Ada yang keluar masuk pusat pemulihan berkali-kali namun keadaan mereka tetap sama. Bagi saya, untuk berhenti, seseorang itu perlu kekuatan dalam diri mereka sendiri.

“Memang orang lain boleh nasihat dan sebagainya. Tetapi kalau diri sendiri tak ada kekuatan untuk berubah, takkan berubah juga.

“Saya yakin, bila ada keinginan untuk berubah, pasti boleh. Ia memerlukan kekuatan, dorongan, bimbingan dan sokongan yang padu,” ujarnya.

Selain itu juga, penyanyi dan pelakon berusia 42 tahun ini juga berpandangan tanggungjawab perlu wujud dalam diri penagih untuk membawa diri mereka sendiri keluar dari terus bergelumang dengan najis dadah.

“Rasa cinta kepada orang tersayang, nekad untuk berhenti akan mewujudkan sesuatu yang positif dalam diri sendiri. Itu membantu saya. Orang lain mungkin berbeza. Tetapi secara peribadi, itu yang memberi kekuatan kepada saya. Kembali kepada fitrah, kepada agama.

“Peluang sentiasa ada. Namun kalau sudah masuk kedua dan ketiga, orang melihat si penagih itu tidak bersungguh pun untuk berubah. Sebab itu kita kena hargai peluang yang diberikan. Cepat-cepatlah berubah,” jelasnya.

Boleh senarai hitam artis, tapi hanya sementara – Zed Zaidi

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Jamil atau Zed Zaidi menyokong tindakan untuk menyekat atau menyenarai hitamkan mana-mana artis atau selebriti yang terlibat dengan najis dadah namun ia dicadangkan dalam tempoh sementar sahaja.

Kata Zed, ada banyak faktor yang dapat dilihat dan ia tidak cuma dari aspek yang negatif. Mungkin mereka yang terjebak ini boleh ditarik untuk berkongsi pengalaman hitam mereka bersama masyarakat dan komuniti untuk mana-mana kempen kesedaran.

“Tidak dinafikan, tindakan yang tegas wajar diambil. Nak sekat atau senarai hitam boleh, tapi bersifat semen­tara. Kita tak boleh salahkan mereka ini 100 peratus kerana ia umpama orang kena kencing manis. Nak sihat dari penyakit itu memang susah sebab ia akan ada dalam badan.

“Kita cuma boleh kurangkan kencing manis itu. Macam itulah perumpamaanya kepada artis dan selebriti yang terlibat dengan dadah ini. Seniman pun pernah buat kajian dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Universiti Mutimedia (MMU) tentang isu ini sebelum ini.

“Sementara mereka sedang cuba berubah, kita boleh gunakan mereka untuk bantu dari sudut kebajikan sosial, bantu Seniman misalnya untuk kempen kesedaran dan bahaya dadah kepada masyarakat,”katanya.

Bagi Zed lagi, dia juga tidak bersetuju tindakan untuk menyisihkan mereka yang terlibat dengan dadah ini kerana hakikatnya, mereka sebenarnya sedang memer­lukan pertolongan.

“Kita kena bantu mereka. Seniman juga bersedia untuk bantu mereka untuk dipulihkan supaya mereka boleh kembali bekerja dan terlibat dalam aktiviti kebajikan sosial. Usah sisih mereka.

“Satu lagi, tak semua artis terlibat dengan dadah. Persepsi ini harus diperbetulkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya