SETUJU atau tidak, isu gangguan seksual masih menjadi perkara yang tabu untuk diperkatakan secara umum biarpun wujud kumpulan atau aktivis yang berusaha untuk mengubah dan membentuk kesedaran.
Betul. Ia boleh sahaja berlaku di mana-mana tempat atau bidang. Tetapi, satu yang diperhatikan, jika ia berlaku terhadap artis atau selebriti atau berlaku di sekitar ruangan industri hiburan, tidak ramai berani bersuara.
Satu, kerana takut kelak tiada tawaran kerja. Satu lagi mungkin kerana dangkalnya fikiran yang kononnya mahu menjaga nama baik diri atau sesiapa. Bagaimana pula dengan tindakan si pelaku? Terlepas?
Siapa sangka, isu gangguan seksual juga pernah berlaku terhadap pelakon filem Prebet Sapu, Mei Fen. Tetapi, bukan ketika dia menjayakan filem tersebut.
Di bawah adalah luahan dan perkongsiannya bersama Pancaindera.
Dengar cerita, Mei Fen pernah mengalami gangguan seksual sepanjang berada dalam industri. Boleh kongsikan apa yang berlaku?
Ya, memang pernah cuma saya tak canang pada sesiapa.Pernah ada seorang usahawan dalam industri ini yang saya jumpa membuatkan saya sehingga kini hilang rasa hormat padanya. Saya tak pernah tahu pun yang ada pihak memang menggelarkan dia sebagai ‘squeeze butt’.
Saya jumpa dia di sebuah hotel selepas satu majlis korporat. Dia nampak sangat peramah dan mesra. Dia juga memperkenalkan saya kepada kawan-kawannya. Kenapa saya jumpa? Sebab, masa itu saya gigih untuk kenal orang dan mahu mencari penaja korporat untuk sebuah projek teater yang saya hendak terbitkan.
Apa yang dia lakukan?
Dia ada bertanya kepada saya, ‘Saya banyak tolong awak, kenalkan awak kepada kawan-kawan kenalan yang berpotensi jadi pelabur. Tapi apa yang saya akan dapat sebagai pulangan? Sambil bercakap, tangan dia terus meraba punggung saya.
Masa itu saya rasa sangat terkejut! Tapi cepat-cepat saya jarakkan diri daripadanya. Kejadian itu berlaku sekitar pukul 12 tengah malam di sudut lobi hotel. Memang saya tak tunggu lama, terus angkat kaki dan selamatkan diri.
Tak sempatkah berikan ‘pengajaran’ pada si pelaku?
Ia berlaku tanpa diduga. Tapi sempat jugalah saya katakan pada dia, ‘terima kasih Tuan Presiden sebab banyak jaga Mei. Nanti saya akan kredit nama Tuan Presiden dalam tesis saya termasuk letak juga gambar yang kita ambil tadi di majlis’.
Kemudian saya terus lari. Masih ingat lagi, saya segera lari dalam persalinan kebaya dengan kasut tinggi 3 inci, laju menuju kereta.
Mengapa baru sekarang berani meluahkan hal ini? Padahal, ia bukan sesuatu yang patut disembunyikan?
Kejadian itu berlaku semasa saya masih belum graduasi dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Tambahan pula, masa itu, saya sedang fokus dengan usaha nak cari dana untuk projek teater. Saya fikir lebih baik tak perlu peduli sangat episod hitam ini. Tak nak terlalu fikir, tapi terus-terang, sukar untuk hilangkan trauma.
Tapi nak dijadikan cerita, baru-baru ini, selepas filem Prebet Sapu itu keluar, saya terima banyak mesej di ruangan DM Instagram daripada wanita-wanita muda. Saya pelik sebab pertanyaan mereka lebih kurang sama. Mereka tanya, macam mana saya masuk industri dan jadi pelakon?
Tak bahayakah industri hiburan ini? Mungkin mereka ada pandangan yang hitam tentang industri dan sebab itu saya baru berani nak cakap pasal kejadian ini.
Adakah perkara ini terjadi sebab anda wanita? Kalau lelaki mungkin orang seperti itu tidak berani berkelakuan begitu?
Jangan tak tahu, kaum lelaki pun ada yang kena macam ini. Ia berlaku pada tak kira wanita atau lelaki muda. Tetapi, kebanyakannya wanitalah. Lagi-lagi bila kita ini mereka anggap sebagai pelakon yang belum ada nama. Yang mungkin sanggup korbankan tubuh demi hendak mencapai ‘goal’ kita.
Tapi, hey! Tolonglah hormat orang. Tidak semua aktres adalah pengikis atau rela ambil jalan mudah. Tolong hormat profesion saya.
Adakah orang lain tahu mengenai kelakuan mereka sebelum ini?
Terus-terang, selepas episod hitam itu, saya tak bercakap dengan sesiapa pun berkenaan hal ini sehingga kali ini bersama Pancaindera. Saya buka cerita ini kepada pengurus saya, Mike baru-baru ini sebab saya ternampak ada pelakon baru yang mula didekati orang seperti itu dalam industri.
Saya sangat prihatin, tapi tak dapat nak cakap secara terus dengan dia. Tapi, kalaulah saya boleh cakap pada semua pelakon muda lain, kalau boleh elak, tolonglah elak. Lari dan selamatkan diri.
Adakah keadaan ini menyebabkan Mei Fen rasa kecewa dengan industri yang memiliki sisi hitam begini? Iyalah, dalam niat murni penggiat seni menekankan bakat sebagai keutamaan, tapi di sebaliknya ada tangan-tangan kotor yang mengawal dan mereka seolah untouchable?
Secara realistiknya, ia memang boleh berlaku di mana sahaja. Tidak cuma dalam industri hiburan. Sebagai seorang aktres atau figura awam, yang orang kenali, satu kelebihan kita adalah suara kita sebenarnya ada ‘kuasa’ didengari.
Kalau boleh cakap, kita lontarkanlah sesuatu isu itu dengan berani walaupun tahu, perjuangannya tidak mudah. Saya tahu, kalau seorang dua mangsa yang suarakan mungkin ia tidak akan membawa perubahan. Tapi kalau sering kita tekankan tentang kesedaran akan betapa tidak okey dan salahnya kelakuan seperti ini, saya percaya, kita boleh ubah keadaan itu.
Harapan awak berkenaan hal ini demi kelangsungan industri tanah air?
Satu saja yang saya nak cakap. Tolong hormat kerjaya seni ini sebagaimana anda hormati kerjaya atau profesion seperti doktor atau peguam. Kita jual bakat, bukan jual badan ya!










