Muka sama itu dari sekolah lagi dah dengar – Rita Nadira - Utusan Malaysia

Muka sama itu dari sekolah lagi dah dengar – Rita Nadira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tidak siapa yang tahu. Begitulah peribahasa yang sesuai digambarkan buat seorang pelakon baharu ini.

Baru dua tahun menyulam kerjaya dalam lakonan, nama figura ini sudah meniti dari bibir ke bibir orang ramai dengan bakat lakonan yang dimilikinya.

Selain itu, ada pula yang menyamakan dirinya dengan pelakon terkenal, Rita Rudaini. Kata orang, wajah mereka persis, salin tak tumpah samanya. Lebih-lebih lagi nama mereka pun lebih kurang sama sahaja.

Bagi Rita Nadira, itu bukan perkara baharu. Malah, sejak di bangku sekolah lagi, figura tinggi lampai ini sudah terbiasa disamakan wajahnya dengan pelakon tersebut. Ada pertalian darah? Tidak, jawabnya.

“Saya tiada apa-apa hubungan kekeluargaan dengan Rita Rudaini. Sebenarnya kalau muka sama dengan pelakon itu dari sekolah lagi sudah dengar.

“Waktu itu Rita Rudaini sangat terkenal dengan filem Mami Jarum dan sebagainya. Saya pun bangga lah.

“Sehingga semasa saya melakukan ujian memandu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), semasa berumur 18 tahun, pegawai itu tanya ‘awak adik beradik Rita Rudaini ya?” dedahnya ketika ditemu bual.

Sambungnya lagi, ‘malas’ mahu perjelas, pelakon drama Jangan Menangis Cinta kadang-kadang mengiyakan sahaja apa yang ditanya.

Mengulas lanjut, jika diberi peluang berlakon satu set bersama pelakon filem popular Mami Jarum Junior itu, jawapannya adalah ‘ya!’.

“Disebabkan saya terlalu penat dari sekolah rendah lagi kan, saya pun iyakan sahaja. Saya okey sahaja jika orang ramai masih menyamakan saya dengan dia.

“Malah, saya lagi nak mencuba berlakon dengan dia. Insya-Allah, suatu hari nanti berpeluang untuk berlakon dengan dia, mana tahu kan,” ujarnya.

WATAK ANTAGONIS
Melihat perjalanan Rita Nadira, usahanya semakin membuahkan hasil apabila terus dihujani tawaran apatah lagi namanya kini menjadi sebutan orang ramai.

Nama anak seni berbakat besar ini semakin dikenali selepas kerap memainkan watak antagonis. Malah, jika melakonkan karakter wanita ayu dan baik pun dapat dilunasnya. Dia pelakon versatil.

Ini adalah kejayaan apabila seseorang pelakon membawa pelbagai watak yang memberi kesan buat penonton. Malah, ia menjadi satu kepuasan sebagai seorang pelakon apabila berjaya membuat penonton lebih emosi.

Menitipkan rasa syukur, Rita gembira apabila dirinya dipercayai pengarah drama dalam membawa watak yang boleh dikatakan berat itu.

“Sebelum ini, saya memang selalu dapat watak antagonis. Orang selalu tanya, saya selesa ke membawa watak antagonis.

“Bagi saya, Alhamdulillah jika dipanggil kerana mereka mempercayai kita untuk membawa watak itu.

“Saya pun rasa gembira dapat memegang watak antagonis. Bukan semua orang boleh membawa watak tersebut,” katanya.

Baginya dia lebih senang membawa watak yang dibenci orang kerana dedahnya dia agak sukar mengeluarkan air mata seandainya melakonkan watak wanita teraniaya.

Bagaimanapun, dia tidak lari dapat dari kritikan netizen. Dihujani kebencian penonton sehingga terbawa-bawa di luar, dia sama sekali tidak ambil pusing terhadap komen negatif buat dirinya.

“Kalau watak antagonis, tidak banyak menangis. Tetapi jika membawa watak perempuan teraniaya, banyak pula menangis.

“Saya ini pun susah mengeluarkan air mata. Bagaimanapun, apabila melakonkan watak antagonis, kita sudah bersedia untuk menerima kecaman netizen.

“Saya sudah berada dalam industri dua tahun. Saya juga tidak lari daripada kecaman dan tohmahan warganet. Saya selalu cakap kepada orang lain yang kita ini ada keluarga terutama ibu bapa,” tuturnya.

IBU BAPA MEMAHAMI

Popular atau tidak, baru atau lama, kalau sudah namanya anak seni pasti menjadi bahan kecaman netizen.Ada sahaja yang tidak kena di mata mereka.

Bagi pelakon ini sendiri, dia juga ada terpalit dengan lontaran caci makian segelintir pihak terutama apabila dia memegang watak antagonis. Sakit hati penonton sehingga terbawa-bawa di luar.

Rita bagaimanapun menitipkan rasa syukur kerana mempunyai tulang belakang yang sentiasa menyokong dan meniupkan semangat buat dirinya sepanjang bergelar anak seni tempatan.

“Alhamdulillah, ibu bapa sangat memahami karier saya dalam industri seni ini. Saya pun selalu bercakap kepada mereka ‘tidak mengapalah, itu mulut mereka. Biarlah mereka nak cakap apa’.

“Orang tua saya memberi semangat. Kita pun sudah perlu bersedia dengan mulut-mulut netizen. Tetapi, nak cakap terkesan sehingga kini, tiadalah.

Memberi pesanan kasih sayang, dia berharap agar orang ramai di luar sana berhati-hati dalam bertutur bagi mengelak menyakiti hati pihak tertentu.

“Kurang-kurangkan lah, kadang kala pertuturan kita ada menyakiti orang itu. Bagaimanapun, terserahlah jika itu memberi kepuasan kepada mereka.

“Karakter yang saya lakonkan itu jangan sampai terbawa-bawa di luar,” tuturnya.

Sama seperti aktres lain, dia berharap akan dapa memberikan yang terbaik di layar seni tempatan selain terus kekal relevan.

“Alang-alang saya sudah memahat nama dalam industri, saya akan cuba yang terbaik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya