Cabaran selepas potong usus - Utusan Malaysia

Cabaran selepas potong usus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Sebelum buat keputusan untuk buat pembedahan bariatrik (pintasan usus), kena betulkan niat. Kalau niat nak kurus lepas tu nak pakai baju ketat-ketat baik tak payah buat,” tegas Pakar Bariatrik terulung Malaysia, Dr. Mustafa Mohammed Taher.

Baginya orang ramai perlu faham, pembedahan itu bukanlah jalan singkat mengurangkan berat badan tetapi memerlukan pengorbanan besar terutama dalam soal gaya hidup.

“Pertama kena tanya diri dulu, kenapa berat badan kita naik. Mesti ada benda yang tidak betul kita buat. Kalau benda penting pun tidak boleh buat sendiri, bariatrik pasti tidak akan membantu mendapat badan kurus,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dr. Mustafa menjelaskan, secara asasnya bariatrik bukanlah mudah kerana ia memberikan perubahan gaya hidup individu.

“Anda yang tentukan kalau mahu pergi lebih jauh. Kita cuma akan membantu gaya hidup dan cara pemakanan sihat sahaja,” katanya ditemui pada majlis pelancaran M-Hope baru-baru ini.

Dr. Mustafa menegaskan, usaha menguruskan badan membabitkan koordinasi antara mata, otak, tubuh dan berat badan.

“Bererti individu perlu memilih jenis makanan yang ingin dimakan. Kalau terus makan makanan tidak sihat, tubuh akan simpan.

“Jika mahu mengekalkan kesihatan tubuh, kena jaga makan sama seperti mereka yang tidak pernah menjalani pembedahan ini,” katanya.

Bariatrik adalah permulaan bagi kehidupan gaya hidup baharu.

Ujar Dr. Mustafa biasanya dia tanya pesakit apa diharapkan daripada pembedahan itu.

“Saya tidak boleh buat pembedahan jika pesakit kata tiada masa untuk bersenam atau tidak boleh jaga makan.

“Sebaliknya mereka perlu bersenam. Buat senaman untuk kardio maksima tiga hingga empat kali seminggu pun sudah mencukupi.

“Jangan ingat senang lepas potong perut. Anda perlu bekerja kuat. Kalau tidak, 60 sehingga 100 peratus pembedahan tidak membantu,” katanya.

Bercakap soal M-Hope, inisiatif itu bertujuan untuk membantu 12 inidividu terpilih yang tidak berkemampuan untuk menjalani rawatan tersebut secara percuma.

Namun jelas Dr. Mustafa. saringan ketat perlu dilakukan bagi memastikan mereka yang benar-benar layak dan menetapi syarat menerima tawaran tersebut.

Aishah pilih menu berkhasiat

PENYANYI, Datuk Wan Aishah Wan Ariffin hanya memilih sajian berkhasiat sama ada ketika berbuka atau bersahur untuk kekal bertenaga sepanjang menjalani ibadah puasa.

“Sahur saya makan makanan lambat dihadam tetapi kenyang lama seperti oat. Nasi saya kurangkan sebab ia cepat menaikkan kadar gula dalam darah.

“Untuk mengelakkan rasa lapar, saya sibukkan diri dengan melakukan pelbagai aktiviti sebelah siang. Waktu berbuka pun sama, saya makan kurma dan ambil sedikit makanan tambahan. Makan sikit-sikit,” katanya.

Aishah terdetik untuk mengurangkan berat badan apabila terpaksa menanggung kesakitan lutut setiap kali berjalan. Kakinya yang kecil bersaiz enam tidak mampu menanggung badannya seberat 110 kilogram (kg). Sehinggakan badannya terasa cukup sakit bila berjalan.

“Kesukaran berjalan itu saya rasa sewaktu bercuti ke Eropah selepas memenangi Gegar Vaganza 4 pada 2017. Ia memerlukan saya banyak berjalan tetapi saya tidak dapat menikmati sepenuhnya kerana menanggung kesakitan.

“Itupun saya masih tidak sedar diri. Terus makan macam biasa. Memburukkan keadaan sebab saya gemar makan kuih dan minuman berkarbonat. Niat untuk kurus itu ada, tetapi lebih kepada ‘diet yo yo’,” katanya.

Aishah diperkenalkan dengan Dr. Mustafa oleh rakannya, Cef Zam untuk membuat pembedahan bariatrik empat tahun lalu bagi mengelakkan komplikasi akibat obesiti terutama penyakit diabetes yang meragut nyawa arwah bapa dan kakaknya sebelum ini.

Dua tahun selepas pembedahan pintasan usus itu, dia berjaya mengurangkan 33 kg. Aishah yang kini berada pada berat 68kg, masih berazam menurunkan lagi 3 kg.

“Pembedahan ini ialah pembedahan gaya hidup. Doktor buat pembedahan tapi kita kena buat yang lain untuk kekalkan berat badan ideal. Yang penting kita ikhtiar,” katanya.

Asni nekad potong usus selepas hidap darah tinggi teruk

Tahun 2022 pengalaman pertama Ustazah Asni Abu Mansor berpuasa selepas menjalani pembedahan bariatrik Januari lalu.

Akur pengalaman itu sudah pasti berbeza, namun dia sudah mempersiapkan diri daripada segi mental dan fizikal sejak awal lagi, termasuk mendapatkan nasihat daripada doktor berkaitan aspek pemakanan.

Asni mengambil keputusan menjalani pembedahan bariatrik selepas berat badannya naik sehingga 80 kg sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu.

Walaupun obes yang dialami tidak terlalu ketara iaitu masih di tahap satu, dia bimbang dengan penyakit darah tinggi yang dialaminya sejak melahirkan anak bongsu sejak kira-kira 16 tahun lalu.

Lebih membimbangkan, dia turut mengalami penyakit auto imun iaitu Rheumatoid Arthritis (RA) selepas melahirkan anak sulungnya.

“Darah tinggi ini pun penyakit diwarisi daripada keturunan, menyebabkan saya adakalanya terpaksa dimasukkan ke wad terutama bila mengalami kepenatan melampau.

“RA turut menyebabkan sakit sendi terutama di bahagian pinggang, bahu, lengan dan kaki turut mengganggu aktiviti harian sebab sendi akan bengkak-bengkak sehingga sukar untuk berjalan,” katanya.

Penyakit RA yang dihidapi semakin teruk ketika mengerjakan umrah November 2021 lalu.

Kesakitannya dapat dirasai di bahagian sendi terutama di bahagian buku lali yang membengkak.

Asni terpaksa melakukan tawaf seperti orang yang tua yang lemah sehingga terpaksa menggunakan motor untuk bergerak. Dia hanya mampu berdoa supaya Allah menganugerahkan kesihatan kepadanya supaya saya dapat memberi manfaat kepada orang lain.

“Balik ke Malaysia, saya jumpa doktor sebab sudah tidak tahan dengan sakit. Doktor mencadangkan saya buat pembedahan bariatrik. Selepas mendapati syariah tidak menghalang dan mendapat restu ibu, saya buat keputusan untuk buat bariatrik atau potong usus pada 24 Januari lalu.

Selepas pembedahan, semua kesakitan yang dialaminya kian surut dan kualiti hidup semakin meningkat.

‘Sahur seawal 3 pagi, makan sikit-sikit hingga imsak’

“SAYA sahur seawal 3 pagi hingga masuk imsak. Saya makan sikit-sikit. Kalau bangun lambat memang terpaksa makan sedikit,” akui Datin Nornazlina Mat, 34.

Katanya ketika bersahur atau berbuka, dia akan minum air dulu diikuti kurma dan makan seperti biasa disusuli nasi dengan lauk ikan atau ayam dan sayur-sayuran.

“Mula-mula puasa selepas pembedahan tahun lepas, saya makan empat sudu nasi tapi lebihkan lauk dan sayur. Saya minum air mencukupi bagi mengelakkan dehidrasi di siang hari,’ katanya.

Ibu lima anak berusia 3 hingga 16 tahun ini menjalani pembedahan bariatrik dua tahun lalu kerana mengalami angin pasang yang menyebabkannya muntah selama tiga minggu.

Dia turut disahkan doktor mengalami lemak dalam hati tahap dua dan obesiti tahap dua pada 2020. Ketika itu berat badannya mencecah 81 kg dengan ketinggian 168 sentimeter.

“Sepanjang tiga minggu saya tidak boleh makan malah minum air pun boleh muntah. Akibatnya saya sakit kepala dan mengalami dehidrasi kerana kekurangan air. Selepas buat skop dalam perut saya, doktor sahkan saya ada hernia atau angin pasang.

“Setahun selepas pembedahan, berat badan turun menjadi 62 kg dan berat saya sekarang adalah 58 kg. Selepas pembedahan, semua gejala sakit hilang. Semua penyakit itu disebabkan obesiti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN