Kisah Pulau Pinang dan Eastern & Oriental - Utusan Malaysia

Kisah Pulau Pinang dan Eastern & Oriental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA bukan orang Pulau Pinang tapi saya suka ke negeri itu. Kenapa? Kerana makanannya. Serba serbi ada. Tapi yang pastinya adalah, nasi kandar. Mana nak cari nasi kandar sesedap itu di Kuala Lumpur ya? Mohon kongsi!

Perjalanan empat jam saya ke penang dari Kuala Lumpur cukup berbaloi. Saya ingat lagi ketika saya berhenti membeli air kelapa muda di gerai tepi jalan milik seorang nenek kaum Cina. Daripada hanya bertukar wang, kami bertukar cerita.

Peramah juga orangnya. Nama pun anak Malaysia. Berbakul-bakul dia memuji keindahan dan keseronokan bercuti di Pulang Pinang. Dari lokasi mencari sarapan yang sedap sehinggalah makan malam, semua dia canang.

Saya meneruskan perjalanan. Mahu segera ke destinasi penginapan kami. Dari ulasan di internet, hotel ini mendapat pelbagai respon positif. Sehingga ada yang cakap, kalau anda ke Pulau Pinang, Hotel Eastern & Oriental sepatutnya menjadi pilihan.

Terletak di tengah bandar Georgetown, Eastern & Oriental yang dibina sekitar tahun 1885 itu sememangnya popular dengan seni bina dan dekorasi yang cukup mengagumkan. Tidak hairan, melangkah sahaja saya ke ruang lobi, hati sudah berbunga.

Melihat konsep seni bina dan dekorasi kolonial dengan sentuhan Inggeris, hotel ini menjadi pilihan mereka yang mahukan penginapan penuh kemewahan. Malah hotel ini juga terbahagi kepada dua, Heritage Wing dan Victory Annexe.

Saya sebenarnya cukup kagum dengan kebersihan dan layanan lima bintang sejak awal melangkah kaki ke Eastern & Oriental. Kaya dengan senyuman dan profesional dalam melayan setiap penginap yang datang.

Malah, prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan juga cukup memudahkan pengunjung. Saya sendiri tidak risau atau takut-takut untuk berjalan-jalan di sekitar hotel. Semuanya disanitasi dengan kerap dan ada pegawai hotel yang sedia membantu.

Tidak membuang masa, kami mengambil peluang untuk pusing-pusing hotel. Menawarkan harga sepadan indah pengalaman, Eastern & Oriental semestinya antara hotel wajib tidur jika anda ke Pulau Pinang.

Istimewanya di hotel mewah itu, mereka menawarkan pakej dengan penggunaan kolam renang secara privasi kepada mereka yang menginap di Heritage Wing. Dengan keluasan dan pemandangan yang indah, pasti anda akan terpegun sendiri.

Saya memilih untuk menginap di Deluxe Suite yang menghadap laut. Ketenangan dan bunyi ombak yang menghempas sebenarnya cukup saya perlukan. Yalah, kita cuba lari dari kesibukan kerja serta kehidupan di sini.

Ruangan bilik yang cukup luas dan dekorasi yang cantik mengunci mata saya. Malah, ruang tandasnya cukup mewah. Membuka ruang tingkap sahaja, biru laut menangkap jiwa. Tidak ketinggalan katil dan bantal yang empuk. Tidur lena baq ang!

Jalan Jalan Cari Makan
Kami memulakan hari kedua dengan bersarapan di Eastern & Oriental. Tak usah pergi jauh, char kuey teow yang disediakan memang cukup umph! Saya sendiri tambah dua kali. Alang-alang bersarapan kan.

Menariknya, di Eastern & Oriental konsep sarapan pagi agak berbeza. Anda boleh memilih untuk menjamu selera di bilik atau turun ke Palm Court atau Sarkies. Selain char kuey teow, anda patut mencuba nasi lemak pandan dan pelbagai lagi hidangan yang menyelerakan.

Menyambung perjalanan ala-ala Jalan Jalan Cari Makan, kami menikmati nasi kandar di Deen’s Maju. Beratur memang panjang, tetapi berbaloi apabila nasi mula disuap ke dalam mulut. Rasa nasi kandar asli tau. Menurut saya.

Meneruskan pencarian, kami singgah di Fruitmade. Restoran dessert yang memang cukup terkenal. Sekali lagi, kami terpaksa beratur panjang. Al Maklumlah, benda tular memang menarik perhatian ramai pengunjung.

Awan hitam mula berarak, mungkin tanda hari mahu hujan. Jadi kami segera menuju ke Bukit Bendera. Destinasi percutian wajib pergi jika ke Pulau Pinang. Tetapi saya agak ragu-ragu untuk meneruskan pelan ketika sampai ke Bukit Bendera.

Kehadiran terlalu ramai pengunjung menyesakkan mata. Takut-takut juga walaupun kita mengamalkan SOP yang tepat. Tetapi alang-alang sampai kan. Jadi saya berbelanja lebih untuk membeli tiket premium.

Mungkin kerana saya pergi berdua jadi kos itu tidak mahal. Namun melihatkan ramai pengunjung yang hadir bersama ahli keluarga lain, mereka terpaksa bersesak dan menunggu agak lama. Mungkin pihak pengurusan Bukit Bendera perlu memandang serius isu tersebut.

Namun sampai di atas hujan mulai turun membasahi bumi. Tidak melepaskan peluang, kami tetap berjalan-jalan walau dalam hujan renyai. Pemandangan tetap cantik walaupun banyak yang ditutup kabus putih.

Kami mai lagi na!
Menutup hari kedua, kami sempat berjalan-jalan malam di sekitar Batu Ferringhi. Ini bukan kali pertama saya ke situ tetapi melihatkan suasana malam yang agak sepi, saya terkenang kemeriahan dan keseronokan kehidupan malam di situ.

Mungkin kerana pandemik, maka banyak kedai terpaksa gulung tikar. Malah, gerai-gerai di tepi jalan juga kurang meriah. Kami pulang sahaja, membawa memori dahulu.

Hari terakhir, kami berjalan-jalan dan bergambar di sekitar Georgetown. Sempat juga kami singgah di Chew Jetty Penang. Seronok melihat kehidupan nelayan dan kedai-kedai jualan di situ.

Eastern & Oriental, satu destinasi penginapan yang serba mewah dan menenangkan. Selain bilik bertaraf lima bintang, hotel itu menyediakan galeri bergambar yang membawa penginap menelusuri sejarah hotel dan Pulau Pinang.

Dengan hampir 200 bilik serta suit mewah yang ditawarkan, Eastern & Oriental harus ada dalam checklist hotel percutian idaman anda. Benarlah kata orang, wajib pergi!

Tiba masa untuk kami pulang. Meninggalkan Eastern & Oriental cukup membuatkan kami sedih. Tetapi kami janji akan mai lagi na!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya