PETALING JAYA: Anak lelaki pelawak dan usahawan Shuib Sepahtu, Ariq Matin ada alasan dan pendiriannya sendiri apabila ditanya mengenai ibu tiri.
Menerusi satu video di Instagram arwah ibunya yang juga penyanyi Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, Matin ditanya mengapa dia tidak mahu ibu tiri sebagai pengganti.
Matin tampil menjawab dengan alasannya tersendiri tentang perkara itu.
“Sebab tidak membazir duit. Nak tahu kenapa? Nanti perempuan itu minta duit dengan daddy!” jawabnya spontan.
Utusan Malaysia mendapati, reaksi Matin itu telah mencuri perhatian warganet yang meninggalkan pelbagai komen.
“Saya suka awak matin. Jangan bagi daddy awak kahwin okey. Kecuali perempuan itu ada duit sendiri dan lebih kaya dari daddy awak,” komen seorang warganet.
“Kuat sangat menonton drama jam tujuh ni Matin,” komen juga seorang pengguna Instagram.
“Haha Matin, kecil hati bakal ibu tiri Matin nanti,” tulis lagi warganet yang lain.
Sebelum ini, Shuib pernah mengaku sedang mengenali seseorang namun hanya berkawan buat masa ini.
Untuk informasi, Shuib dan Allahyarham Siti Sarah mendirikan rumah tangga pada tahun 2011 dan dikurniakan empat orang cahaya mata.
Tahun lalu, isteri tercintanya itu telah kembali ke Rahmatullah pada 9 Ogos akibat jangkitan Covid-19.