Dari Kelantan ke Pahang: Kariah masjid, anak yatim bantu mangsa banjir - Utusan Malaysia

Dari Kelantan ke Pahang: Kariah masjid, anak yatim bantu mangsa banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DARIPADA An-Nu’man bin Bisyir berkata, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi di antara mereka adalah ibarat satu tubuh.

“Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga malam dan turut sama merasai kesakitan.” – Hadis riwayat Imam Muslim.

Berpegang kepada pesan Rasulullah itu serta semangat ukhwah saudara seagama, Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Insan Negeri Kelantan (PKPINK) bersama kira-kira 100 ahli kariah masjid dan rumah anak yatim sepakat membantu mangsa banjir di Mentakab, Pahang, baru-baru ini.

Pengerusi PKPINK, Datuk Mohd. Nazry Mohd. Noor berkata, misi itu dijayakan pihaknya bersama ahli kariah dari tiga masjid iaitu Masjid Mukim Permatang Sungkai dan Masjid Ibrahimi di Pasir Puteh serta Masjid Jajahan Pasir Mas.

Turut menyertai misi tersebut ialah para penghuni Rumah Anak Yatim Sri Peraksi Semerak, Pasir Puteh; Pusat Teduhan Kasih, Gua Musang; Rumah Anak Yatim dan Duafa’ Darul Mizan, Bachok serta Rumah Anak Yatim Lilbanat Darulnaim, Machang.

Katanya, Masjid Permatang Sungkai menjadi lokasi pengumpulan barangan yang disumbangkan orang ramai sebelum peserta misi bertolak ke lokasi pilihan yang terletak di pedalaman Mentakab yang jarang dimasuki sukarelawan lain.

“Pelepasan konvoi 20 kenderaan bersama 100 sukarelawan dari Masjid Permatang Sungkai disempurnakan Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal selepas doa selamat dibacakan Imam Tua Masjid Ibrahimi, Mohd. Sabri Abdul Ghani.

“Perjalanan konvoi ini mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk tiba di Mentakab dan berjalan lancar kerana disiplin tinggi kesemua peserta yang benar-benar ikhlas ingin membantu saudara mereka yang kini ditimpa musibah,” katanya.

Mohd. Nazry berkata, bantuan dihulurkan bukan sekadar barangan makanan, keperluan harian dan wang tunai, malah mencakupi kudrat para sukarelawan untuk membantu mangsa banjir membersihkan lumpur di kediaman masing-masing.

“Barang-barang yang disedekahkan antaranya ialah kain pelikat, telekung solat, sejadah serta kitab suci al-Quran.

“Ketika golongan lelaki sibuk bergotong-royong membersihkan lumpur, golongan anak yatim perempuan pula berganding bahu sesama mereka menyiapkan lebih 500 bungkusan nasi setiap hari untuk diagihkan kepada penduduk serta sukarelawan lain yang turut berkumpul di lokasi,” katanya.

Ambil iktibar
Menurut Mohd. Nazry, hadir ke lokasi bencana juga memberi 1,001 pengajaran berharga kepada peserta misi, khususnya anak-anak yatim yang menyaksikan sendiri pahit-getir terpaksa diharungi mangsa banjir.

“Ia secara tidak langsung melatih mereka untuk mengerti tentang tuntutan ukhwah yang dituntut oleh agama, fadilat dan rahmat amalan saling membantu sesama insan serta melegakan keresahan dan kesusahan orang lain,” ujarnya.

Sementara itu, Imam Muda Masjid Mukim Permatang Sungkai, Azmi Hussin berkata, misi bantuan itu memilih masjid-masjid di lokasi bencana sebagai pusat operasi mereka setiap hari.

Misi berjaya mengimarahkan masjid-masjid di sekitar lokasi bencana dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Dalam masa sama katanya, usaha mereka dipermudahkan apabila penduduk setempat juga tidak putus-putus menghulurkan pelbagai bantuan untuk disampaikan kepada mangsa banjir yang terjejas teruk.

“Ada penduduk setempat datang kepada kami sambil membawa beras, gula, baldi, penyapu dan pelbagai lagi barangan lain mengikut kemampuan masing-masing.

“Ketika itu, masjid-masjid bukan sahaja menjadi tempat solat atau ibadat, tetapi berfungsi sebagai pusat kegiatan masyarakat yang sama-sama menggembeleng tenaga bagi memulihkan semula lokasi yang dilanda banjir,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN