Bikin video muzik: Baru ‘nampak’ pengkarya tempatankah? - Utusan Malaysia

Bikin video muzik: Baru ‘nampak’ pengkarya tempatankah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU berbicara mengenai Covid-19, ia bukan sahaja membabitkan soal berapa ramai pihak yang terjejas atau terkesan dengan pandemik yang melanda satu dunia ini. Tetapi keadaan ini turut membuka mata segelintir pihak untuk menghargai apa yang ada.

Dalam konteks pembikinan video muzik sebagai contoh, dahulu kita dapat lihat ramai artis berlumba-lumba untuk merakam video mereka di luar negara. Ibarat kalau tiada scene di luar negara tidak hype.

Tetapi apabila pandemik melanda, tiba-tiba sahaja mencintai negara dan khidmat kerja tempatan. Kalau bukan kerana pandemik, pasti sudah terbang ke sana sini. Benarkah pandangan itu? Team Pancaindera dapatkan komen beberapa anak seni.

Visual yang menarik jadi nilai tambah pada sesebuah lagu – Sufian Suhaimi

Bagi Sufian Suhaimi, dia tidak menolak tentu sahaja Covid-19 menjadi penyebab utama mengapa banyak pengkarya industri kreatif kini tidak dapat terbang ke luar negara untuk bekerjasama dengan pihak luar.

Namun, dari satu sudut positif, ia juga memperlihatkan bahawa hasil kerja pengkarya tempatan sekarang juga sangat kompetitif dengan hasil kerja pengkarya luar negara.

“Anak tempatan dah boleh hasilkan kualiti yang setanding dengan kualiti kerja pengkarya luar negara. Mungkin kerana teknologi. Dari satu komputer riba pun dah boleh hasilkan macam-macam kesan visual yang menarik.

“Dari aspek kos, zaman sekarang dah tak semahal macam dulu. Kalau dulu perlukan macam-macam untuk hasilkan visual agak ringkas, tapi sekarang walau di rumah pun boleh buat.

“Saya perhatikan, bila pandemik melanda, ramai orang duduk rumah dan pengkarya-pengkarya ini pun ramai yang buat kajian untuk hasilkan sesuatu yang setanding dengan negara luar,”katanya.

Kata Sufian lagi, ia juga menjadi penyebab mengapa ramai anak tempatan kini sudah mula memilih untuk bekerjasama dengan pengkarya dalam negara memandangkan boleh meraih kualiti kerja yang hampir sama atau lebih baik dari negara luar.

“Bukan kerana kita tiada tempat cantik atau menarik. Tapi nilai video muzik itu boleh naikkan lagi nilai sesebuah lagu. Kadangkala, orang dengar lagu itu baik tapi boleh jadi lebih baik jika disokong oleh satu visual yang membuatkan mereka nak tonton dengan lebih kerap.

“Tentu, Malaysia ada banyak tempat cantik. Tapi kebanyakannya telah digunapakai dan bila penyanyi nak keluarkan video muzik, dia nak sesuatu yang lain dari yang lain, yang mungkin orang lain tak pernah buat, yang lebih segar.

“Itu sebab adakala mereka pilih lokasi paling dekat pun, di Indonesia bagi mendapatkan babak-babak yang tak ada di negara kita. Mereka nak jadi yang pertama ada babak itu. Bukan sebab bila buat di luar negara baru nampak bagus, jangan salah faham,”katanya.

Dalam pada itu, Sufian percaya, situasi seperti ini banyak dipraktikkan oleh kebanyakan pengkarya dalam industri muzik selain meletakkan kepercayaan bahawa pasukan produksi yang bagus juga memberi nilai tambah pada sesebuah penghasilan karya itu.

Di dalam atau luar negara, terpulang – Farahdhiya

Bagi penyanyi dan pelakon, Farahdhiya pula, tidak salah untuk melakukan pengambaran sesebuah musik video lagu (MV) di luar negara seandainya mereka mempunyai bajet yang besar.

Namun, dia mengakui ada perbezaan apabila hendak dibandingkan dengan zaman dahulu dan kini terutama pada waktu ini dunia masih dilanda Covid-19.

Jelasnya, penularan wabak itu telah banyak menjejaskan pendapatan pelbagai sektor terutama industri muzik untuk menghasilkan MV.

“Zaman dulu dengan sekarang untuk video muzik (MV) dilihat berbeza. Dulu kita boleh lihat setiap kali keluar single terbaharu, pasti ada MV sekali.

“Namun jika dilihat sekarang, tidak semua lagu ada MV kerana tidak semuanya yang mempunyai bajet untuk melakukannya.

“Tambah lagi dengan pandemik Covid-19 ini, agak sukar untuk keluar negara semata-mata untuk menghasilkan sebuah MV,” katanya.

Farahdhiya juga berpendapat setiap penyanyi dan produksi pasti berhasrat untuk menghasilkan sebuah MV yang bagus bagi mendapat sambutan umum.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Bertakhta Di Hati ini turut menyatakan seandainya menghasilkan MV di tanah air sendiri secara tidak langsung dapat menjimatkan kos yang ditanggung.

“Setiap artis inginkan yang terbaik untuk MV mereka. Tidak salah pun mereka mahukan yang terbaik untuk MV masing-masing. Bergantung juga apa yang mereka mahu.

“Kalau dari awal lagi sudah bayangkan nak melakukan pengambaran di London, maka lakukan sahaja. Namun, jika dalam Malaysia pun boleh menghasilkan MV, boleh sahaja. Terpulang,” katanya.

“Tetapi bagi saya, perkara ini adalah subjektif. Sama ada di dalam atau luar negara, jika mempunyai produksi dan pasukan yang bagus, hasilnya tetap bagus,” tuturnya.

Atas kehendak masing-masinglah – Shahrulezad

Penerbit dan pengarah drama, Shahrulezad Mohameddin berpendapat, penggiat seni lebih-lebih pemuzik, mempunyai pilihan untuk menghasilkan sesebuah klip video di dalam mahupun luar negara.

Justeru, tegas pengarah drama popular Nur ini, tidak timbul soal tidak cintakan negara ataupun melebih-lebihkan lokasi luar kerana itu semua bergantung kepada kemahuan penyanyi, penerbit mahupun pemuzik.

“Video klip adalah untuk mempromosikan lagu. Jadi, atas kehendak masing-masinglah di mana video klip itu hendak dirakamkan.

“Cuba kita tengok cerita Bollywood. Banyak juga yang buat penggambaran di luar negara. Sebab apa? Kerana mereka mahu pemandangan menarik. Bayangkan, pelakon wanitanya berlakon dengan memakai sari dalam suasana bersalji. Walaupun sejuk dan tak masuk akal, tapi menarik.

“Banyak faktor yang mempengaruhi. Kalau semua buat klip video di Malaysia, nanti nampak sama. Drama pun lokasi itu, klip video pun lokasi itu,” katanya.

Kata Shahrulezad lagi, visual juga memainkan peranan penting untuk menjual sesebuah lagu. Justeru, pilihan bergantung kepada keperluan masing-masing untuk menghasilkan klip video yang menepati citarasa pemiliknya.

“Penyanyi atau pun pemuzik, selain menjual lagu, mereka juga jual visual. Sebab itu, mereka terpanggil untuk buat klip video di luar negara.

“Jika ada peruntukan, kenapa tidak. Nak buat dalam negara pun tak ada masalah. Tapi kena dapatkan lokasi baharu, yang belum diterokai lagi.

“Ini soal kelainan. Soal nak menjual lagu. Bukanlah kita tak cintakan negara kalau buat klip video di luar negara. Kalau saya ini penerbit lagu, saya juga tidak kisah untuk keluarkan duit lebih, pergi luar negara dan hasilkan klip video yang cantik dan menarik,” katanya lagi.

Keperluan atau kehendak? – Azharina Azhar

Selain lirik lagu, muzik video juga ibarat rencah rasa. Bukan sekadar mendengar dendangan, tetapi dapat menghayati jalan cerita dengan adanya visual.

Jelas Azharina Azhar, untuk menghasilkan sesebuah muzik video di luar negara juga bergantung kepada bajet dan pihak produksi.

“Di kala pandemik ini memang kebanyakan urusan kerja dan aktiviti terjejas, sedikit sebanyak menyekat perjalanan kita.

“Menyentuh bab untuk menghasilkan muzik video di luar negara, bagi saya itu bukanlah satu keperluan. Tapi kalau ada peruntukan dan mampu untuk dilaksanakan, kenapa tidak bukan?

“Sekali gus akan dapat menggarap pengalaman dan perkara-perkara baharu dan belajar budaya luar di sana. Contohnya, mungkin kerjasama bersama kru di sana kalau ada peluang,” jelasnya.

Tegas penyanyi yang terkenal menerusi lagu Elegi Sepi dan Seandainya itu lagi, semuanya bergantung pada keperluan atau kehendak seseorang penyanyi itu.

“Bagi saya, untuk kualiti bagus dan harga yang mampu pun boleh dilakukan di Malaysia, kenapa tidak?

“Majoriti, penggambaran hari ini dilakukan dalam studio hanya untuk mendapatkan pelbagai kesan khas,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN