KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pengacara cantik, Mimie Haris, 31, menyifatkan kehadiran individu yang iri hati dan pendengki sebagai kebiasaan dalam dunia selebriti.
Namun, kata pemilik nama sebenar Norshamimi Ahmad Haris, dia tidak akan ambil pusing dan sebolehnya menjauhi manusia yang bersikap sebegitu.
“Pernah berlaku kepada saya, dahulu. Sudah agak lama. Bayangkan nama yang tak berapa nak dikenali seperti saya pun kena, apatah lagi yang lebih berjaya dan popular?
“Bagi saya, tak perlu kita layan si kaki dengki ini. Elok diabaikan sahaja. Lantak mereka,” katanya.
Kata penyanyi lagu Sastera Kupu-Kupu ini lagi, dia berpegang pada prinsip rezeki masing-masing.
Jelasnya, rezeki ketentuan Allah SWT dan sikap dengki mendengki ini perlu dihapuskan dalam diri sesiapa sekalipun.
“Bukan senang nak hadap orang macam ini. Dengki dan nak jatuhkan orang lain. Saya mengaku, sebagai mangsa, memang sakit. Tapi saya abaikan sahaja.
“Dalam industri yang kecil ini, kita kena saling menyokong. Lebih-lebih lagi sesama wanita.
“Hidup kita ini bagaikan roda. Hari ini di atas, esok lusa di bawah. Jadi berpeganglah pada rezeki dan janganlah saling dengki mendengki,” katanya lagi.